Kuih Akok Sedap Untuk Berbuka Puasa
Saya mengambil kesempatan untuk memberi pesanan akan kepentingannya pelajaran dalam hidup kita. Semua orang tahu. Tapi itu dulu, di mana semua orang mengejar untuk berjaya dalam pelajaran.
Kebelakangan ini kita biasa dengar ada yang berkata, mereka tak ada pelajaran tapi tetap berjaya dalam perniagaan dan hidup kaya raya. Memang betul pun, bila kita tengok sekeliling ramai yang menjadi jutawan dengan membuat perniagaan atau mengeluarkan produk secara online dsb.
Ramai kalangan anak muda sekarang yang tidak meneruskan pelajaran kerana mahu menjadi seorang ahli perniagaan atau menjadi seorang influencer.
Secara terus terang lah, pada saya ada beza orang berpelajaran yang berjaya dengan orang yang tak ada pelajaran yang berjaya dari segi intelektual yang kita boleh tengok dari cara mereka bercakap dan menulis.
Tengok sahaja gelagat mereka di media social. Kadang yang tua pun masih gedik gedik. Itulah yang dikatakan money cant buy class. Betul tak?
Jadi anak anak muda, jangan abaikan pelajaran. Walaupun berpendidikan tinggi tidak menjamin kekayaan, tak apa. Ianya menjadikan kita seorang yang disegani dalam masyarakat. OK setakat ini dahulu. Sekarang kita masuk pula bab resipi dan masakan.
Saya kalau berbuka puasa memang suka makan kuih akok. Kadang 2-3 keping sehari. Memang faveret sangat sangat.
Tapi macam biasalah dok di bandar, bukan senang nak membakar akok cara tradisional menggunakan loyang tembaga dan arang. Jadi kita gunalah cupcake maker ni. Yang penting rasanya tetap akok cuma tiada aroma seperti akok yang dibakar atas dapur arang.
Menyediakannya sangat mudah dan cepat. Sekejap jer dah siap. Untuk setengah adunan dapatlah 14 biji. Cukuplah kerana hanya saya yang suka makan. Anak anak makan juga tapi lah suka sangat.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….
Kuih Akok Kedut
Oleh: Azie Kitchen
Separuh adunan - 14 biji
Bahan A:
3 biji telur - saiz sederhana
½ cawan santan
1 ½ sudu besar tepung gandum - 30 gram
Bahan B:
¼ cawan air
¼ sudu kecil garam
2 keping gula melaka - 80 gram
1 sudu besar gula - 20 gram
1 daun pandan
Cara cara:
Satukan semua bahan B dan masak sekadar gula Melaka larut sahaja. Angkat dan sejukkan.
Satukan air gula Melaka dengan semua bahan A. Kisar sehingga sebati. Tuang dalam jug bermuncung untuk mudah dituang ke dalam acuan.
Panaskan acuan dan masukkan minyak. Setelah minyak panas, tuang adunan agak agak ¾ penuh sahaja. Jika suka garing, tambahkan masa membakar sehingga kuih sedikit keperangan.
Keluarkan dari acuan dan sedia untuk dihidangkan.
Catat Ulasan for "Kuih Akok Sedap Untuk Berbuka Puasa"
Add your comment