JJCM Kuching Day 2 - Makan Malam Di Eden Garden Cafe
Assalamualaikum. Selamat bertemu kembali. Masih lagi dengan catatan perjalanan JJCM Kuching kami di hari kedua. Boleh klik entri sebelum ini di SINI untuk lawatan kami ke Semenggoh Natures Reserve dan Jong’ Crocodile Farm.
Balik hotel untuk solat dan berehat. Selepas solat Maghrib, kami berkumpul di lobi untuk keluar makan malam di Eden Garden Cafe yang di hostkan oleh Puan Hadiah dan suami, Haji Taufik.
Hidangan malam ini adalah ditempah khas kerana hari biasa, hidangan lauk pauk hanya ada di siang hari sahaja. Masya Allah melihat lauk pauk yang terhidang pun dah buat kita kecur. Walaupun saya banyak kali ke Kuching, tapi tak pernah makan masakan Sarawak. Banyak masakan mereka yang sedap sedap dan kena dengan selera.
Rambang mata melihat lauk pauk yang disediakan kerana terlalu banyak sehingga tak tahu mana satu yang hendak diambil. Akhirnya makan nasi sikit jer dan banyak meratah lauk kerana nak merasa semua lauk yang ada.
Kalau tanya saya, lauk yang paling saya suka ialah ikan terubuk bakar yang besar, bertelur dan berlemak. Dapat pulak sedikit telur terubuk, memang nikmat sangat sangat. Lagi pun dah lama saya tak makan ikan terubuk.
Ikan terubuk ini dibawa sendiri oleh Puan Hadiah dari rumah abang beliau. Memang susah untuk dapat ikan terubuk besar kalau bukan musimnya. Bila makan ikan terubuk, memang lah lambat kerana kena asingkan tulang.
Antara lauk pauk yang saya ingat ialah umai udang, sambal tempoyak masak, sambal buah embang, sayur midin, ayam pansuh, ayam kicap, ulam ulaman dan banyak lagi.
Kuih muih pulak ada kuih sagu yang dimakan dengan sambal buah embang, kuih bongkol, kuih tapai nasi yang dibalut dalam daun seperti daun palas, pengat pisang.
Teringat ingat keenakan kuih bongkol yang berlemak dan rasa seperti kuih jongkong. Aroma daun pisang menjadikan kuih ini lebih sedap.
Ada juga buah buahan tempatan seperti buah dabai yang memang tak ada di semenanjung. Buah dabai ini buah bermusim dikatakan paling sedap di Sarawak. Pada saya buahnya rasa berlemak tapi ada rasa tawar sikit. Rasa macam buah avocado pun ada.
Ada juga buah engkalak, juga buah bermusim yang warna merah jambu. Isi berwarna putih susu dan menpunyai rasa berlemak. Ia dikatakan lebih sedap bila dimakan dengan kicap dan garam. Ia juga dimakan dengan nasi. Tapi saya malam tu, makan begitu sahaja.
Selepas makan, kami bersembang maklumlah lama tak jumpa. Terutama geng fakulti sains di mana Dato Wan Nazari adalah Presiden Alumni persatuan Asasi Sains Universiti Malaya. Selepas itu, kami bergambar beramai ramai sebagai kenang kenangan.
Serious sehingga dah balik ke rumah pun, masih teringat ingat kemeriahan makan malam tersebut. Yang pasti, makan malam ini satu kenangan yang akan sentiasa terpahat di hati. Kalau ke sana lagi, Insya Allah akan pergi lagi makan di situ.
Terima kasih kepada Puan Hadiah dan Haji Taufik kerana belanja kami dengan hidangan yang menjadi kenangan seumur hidup di Kuching. Setakat ini dahulu, jangan lupa baca entri seterusnya.
Catat Ulasan for "JJCM Kuching Day 2 - Makan Malam Di Eden Garden Cafe"
Add your comment