Lepat Pisang Tanpa Daun Pisang
Assalamualaikum semua. Apa khabar? Saya bersiaran dari katil hospital selepas menjalani prosedure berkaitan dengan batu karang yang saya alami. Doakan agar semua urusan saya dipermudahkan.
Kadang kadang kita lupa bahawa kesakitan dan ujian yang kita alami adalah untuk memberikan kita lebih pahala jika bersabar dan redha denga ujian yang diberikan
Insya Allah semoga semua yang diuji ujian kesakitan diberikan keringanan dan diangkat segala kesakitannya dan digantikan dengan suatu yang lebih baik. Aamiin. Jom masuk bab masakan.
Tiba tiba teringin nak makan kuih lepat yang dibuat sendiri. Kebanyakan lepat yang dibeli tak sedap, tak banyak pisang. Mungkin itu cara mereka nak kurangkan kos dan dapat lebih keuntungan.
Jadi kalau nak makan sedap, kena buat sendiri. Tetap buat walaupun dalam keadaan kekurangan bahan seperti lepat pisang saya hari ini.
Sekarang bukan senang nak dapat daun pisang terutama mereka yang tinggal di bandar, lagi lagi yang kediaman bukan “landed”. Tak ada tanah nak menanam pokok pisang. Nak beli daun pisang di kedai pun, bukan selalu ada.
Jadi kita boleh buat lepat pisang tanpa daun pisang. Rasanya tetap lah rasa lepat pisang. Tak ada lah pulak rasa cheese cake. Kalau ada sikit daun pisang, boleh letak sekeping sekadar membangkitkan aroma daun pisang.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…..
Lepat Pisang Tanpa Daun Pisang
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
5 biji pisang emas - 200-250 gram
½ cawan tepung gandum
½ sudu besar tepung beras
¼ cawan gula perang
½ sudu kecil garam
½ cawan kelapa parut muda
Cara cara:
Lenyek pisang dan satukan dengan semua bahan lain. Gaul sebati. Nota: jangan lenyek hancur sangat.
Layurkan daun pisang atas api dulu, baru bungkus. Tuang adunan ke atas daun pisang dan bungkus dengan kemas.
Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Kukus selama kukus 20-30 minit.
Nota:
Saya lapik daun pisang dalam bekas dan tuang adunan. Letak lagi daun pisang di atas adunan. Kukus selama 20 minit. Nak makan, hiris.
Boleh juga guna santan di dalam adunan. Makan dihidang dengan kelapa parut yang digaul dengan garam.
SINI
Catat Ulasan for "Lepat Pisang Tanpa Daun Pisang"
Add your comment