JJCM Kuala Kangsar Yang Singkat Tapi Menyeronokkan
Setelah lama tidak berjalan jalan cari makan dengan geng alumni, kami bersetuju dengan cadangan YB Senator Dato Setia Salehuddin Saidin untuk mengadakan program mini JJCM ke kampung beliau di Kuala Kangsar. Walaupun singkat tapi sangat menyeronokkan. Banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati. Kali terakhir kami JJCM tahun 2024 adalah awal Februari ke Hanoi. Kiranya program ini adalah penutup untuk tahun 2024.
Kami hanya 6 pasangan sahaja. Kami berkongsi kenderaan sahaja. Bertolak pukul 3.30 petang dari Shah Alam dan tiba agak lewat kerana jalan sesak teruk sehingga memaksa kami mengambil jalan lama.
Kami yang sepatutnya singgah makan laksa Kuala dan cendol di gerai terpaksa minta dibungkus untuk dimakan di rumah DS Salehuddin.
Selepas makan bagi mengisi perut, kami solat dan terus bersiap siap untuk keluar makan malam di Restoran nasi ayam bakar yang baru sahaja beberapa bulan beroperasi. Sangat sedap kerana ayamnya dibakar, tidak digoreng seperti nasi ayam biasa. Selain nasi ayam, ada banyak lagi masakan panas dan juga satay.
Memang sangat mengejutkan bila tanpa pengetahuan kami, DS Salehuddin dan isteri telah mengaturkan untuk meraikan majlis hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke 37 dengan sebiji kek yang sangat sedap. Masya Allah. Terima kasih di atas ingatan. Memang sangat terharu.
Balik ke rumah, kami bersembang seketika sebelum masuk tidur. Pagi pagi lagi kami bangun untuk aktiviti jogging keliling kampung. Geng suami telah bangun awal untuk menunaikan solat Subuh di masjid berdekatan.
Kami berjalan jalan sambil berjogging melihat suasana kampung yang penuh dengan pelbagai pokok buah buahan yang sedang berbuah. Balik dari jogging, kami makan pagi di taman depan rumah keluarga Dato Setia.
Nasi lemak, lontong dan pelbagai kuih tradisional juga dihidangkan. Pastinya sangat sedap kerana ianya dimasak sendiri oleh Kak Nor, kakak ipar Dato Setia dan juga nasi lemak yang dimasak oleh jiran mereka. Kuih bingka ubi kayu yang ditempah khas dari orang kampung juga tersangat sedap.
Selepas makan kami bersiap siap untuk keluar ke muzium di Kampung Warisan Budaya. Tapi sebelum itu, kami bergambar kenangan terlebih dahulu hadapan rumah pusaka DS Salehuddin yang kelihatan masih cantik dan terjaga.
Di Muzium dan Kampung Warisan Budaya ini, kami melihat rumah rumah yang dibina mengikut senibina rumah di negeri negeri di Malaysia. Sebenarnya rumah rumah ini adalah juga homestay yang kita boleh sewa semasa bercuti. Itu sebab pengunjung tidak dibenarkan naik ke atas rumah rumah tersebut.
Kami kemudian berjalan ke jambatan Victoria yang merupakan laluan keretapi yang sangat cantik untuk bergambar. Memang tak puas bergambar di sini setiap kali datang. Tapi jangan tengok di bawah, rasa gayat dan kena hati hati kalau kaki terjerlus di celah kayu kayu di laluan keretapi tersebut.
Selepas bergambar di jambatan Victoria, kami menuju ke tempat makan tengahari di Restoran Sajian Panorama di tepi Sungai Perak. Di sini kami dihidangkan dengan lauk pauk tradisional Perak seperti ikan patin masak tempoyak. Sebelum beredar, kami bergambar di depan restoran dengan berlatarbelakangkan Sungai Perak.
Selepas makan, kami singgah untuk solat di masjid di mana tuan imam telah menunggu kedatangan kami.
Dari situ, kami terus ke kampung Labu Kubung untuk menaiki train. Train melalui sawah bendang dan tepi kampung. Cantik dengan latar belakangkan bendang, sungai dan bukit yang menghijau. Kami singgah di tempat ternakan dan pengeluaran madu kelulut. Kami masing masing beli madu kelulut.
Kemudian kami berhenti bergambar di tengah bendang sebagai kenang kenangan. Kalau sawah padi sedang menghijau, rasanya akan lagi cantik.
Part yang paling tidak boleh dilupakan semasa di sini ialah bila Dato Setia mengambil alih sebagai pemandu buggy train. Memang kecut perut dan terjerit jerit kami dibuatnya. Lagi lagi bila menghampiri selekoh dan mahu mengundur. Hahaha mana lah tahu, kalau silap silap boleh jatuh bergelumang dalam lumpur bendang pulak. Batas yang merupakan laluan buggy tidak besar, cukup cukup untuk dilalui buggy sahaja. Serak serak suara kerana menjerit jerit ketakutan.
Kami kemudian balik ke rumah untuk menukar pakaian. Hari telah mulai mendung dengan hujan renyai renyai. Destinasi seterusnya ialah makan durian. Kami menaiki Hilux kerana untuk masuk ke tempat durian tak boleh menggunakan kereta biasa.
Durian luar musim, walaupun begitu, durian kampung memang sangat sedap. Isi putih tapi pelbagai rasa lemak manis nya. Untuk ke sana, kena menaiki Hilux. Tidak lupa juga terima kasih kepada Che Din dan isteri kerana berusaha untuk mendapatkan durian buat kami. Maklumlah luar musim ni, bukan senang nak cari durian.
Dah lama tak makan durian, makan macam tak hinggat. Nasib baik di situ ada pokok hempedu bumi yang pahit giler yang dikatakan sangat bagus untuk mengawal kadar bacaan gula dalam darah.
Selepas makan durian, kami balik untuk menunaikan solat. Hujan mulai turun dengan agak lebat. Terpaksa berpayung untuk ke kereta. Kami keluar untuk makan di restoran bersebelahan istana kuning.
Makanan sedap terutamanya cucur bawang dan keropok lekor yang rangup dan panas panas. Tapi disebabkan masih kekenyangan, makan pun tak banyak. Sesampai di rumah, kami bersembang sembang seketika di ruang tamu.
Pagi pagi kami keluar makan di restoran yang terletak berhampiran dengan kebun getah. Dalam keadaan hujan renyai, kami kena berpayung. Saya memesan nasi dagang Terengganu. Tapi ya lah kalau nasi dagang Terengganu, kena makan di Terengganu walaupun mereka claim sebagai nasi dagang ori Terengganu. Sepatutnya order masakan Perak, baru lah sedap. Betul tak?
Balik rumah, selepas bersiap siap, kami mula bersedia untuk berangkat balik. Perasaan gembira bercampur sedih kerana secara jujur memang rasa tak puas, rasanya macam singkat sangat percutian bersama kawan kawan. Tapi nak buat macam mana kerana masing masing menpunyai tugas dan tanggungjawab yang masih perlu dilaksanakan.
Dengan itu, berakhirlah percutian ringkas JJCM kami ke Kuala Kangsar. Walaupun singkat, ianya sangat menyeronokkan bila dapat meluangkan masa bersama sama dengan kawan kawan.
Catat Ulasan for "JJCM Kuala Kangsar Yang Singkat Tapi Menyeronokkan"
Add your comment