Kek Pisang Berangan
Saya terbaca satu posting di mana ada ditulis bahawa selebriti dan orang kaya berniaga dan suka buat live. Manakala golongan M40 dan B40 pula leka menonton live sambil sedekah “gift” untuk orang kaya. Adui pelik pelik sungguh.
Saya tak fikir yang bagi gift tu golongan orang kaya atau anak anak orang kaya. Itu pada pendapat saya lah. Maaf lah kalau tidak setuju dengan pendapat saya, saya tengok ramai yang dok komen di posting selebriti sedangkan mereka mungkin tak baca pun komen kita. Apa lagi nak membalasnya.
Setakat ini yang selalu acknowledge komen saya hanya Dato Chef Wan sahaja. Yang lain memang tidak lah. Jadi fikirkan apa yang ditulis di atas. Memang ada kebenarannya. Jangan lah membazir bagi gift. Mereka bukan miskin pun kan. Hahaha jangan marah tau, bagi yang tak bersetuju.
Dek kerana sayang nak membazir pisang berangan yang dah terlebih masak, saya buatlah kek pisang. Pisang kalau dah terlebih masak, tak sedap dimakan. Hanya buat cekodok atau kek pisang sahaja.
Kebanyakan bahan digunakan dalam kek pisang sama sahaja. Yang membezakan adalah sukatan antara satu resipi dengan resipi yang lain.
Sebelum ini saya guna pisang emas sangat moist, boleh klik di SINI. Kalau ditanya saya, saya lebih suka menggunakan pisang emas untuk dibuat kek pisang atau pun cekodok.
Kali ini saya sediakan untuk 1 ½ adunan. Cuma gandakan sahaja dari resipi di bawah. Itu pun masih ada baki pisang yang saya buat cekodok pisang untuk Aliya.
Kek pisang kalau nak ianya lebih moist, balut dengan plastik dan biarkan semalaman, keesokannya akan lebih lembap dan sedap.
Jom kita layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Kek Pisang Lembap dan Gebu
Oleh: Azie Kitchen
Bahan A:
½ cawan gula kastor
½ cawan gula perang
4 biji telur size B
Bahan B:
½ cawan minyak jagung
½ cawan mentega - yang telah dicairkan
Bahan C:
1 cawan pisang berangan - lenyek
1 sudu kecil esen vanilla
Bahan D: ayak
1 ½ cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking soda
1 ½ sudu kecil baking powder
Cara cara:
Putar menggunakan blender semua bahan A selama 1 minit. Kemudian masukkan bahan B dan putar lagi. Akhir sekali, masukkan bahan C dan putar sehingga adunan berubah warna dan kembang.
Tuang adunan basah ke dalam adunan kering (bahan D) sedikit demi sedikit supaya adunan tepung tidak berketul ketul.
Kacau rata hingga sebati. Jangan terlebih kacau. Tuang ke dalam loyang 9”x9” yang dilapik dengan baking paper.
Jika suka, hiris nipis 25 keping pisang untuk hiasan di atas adunan kek. Nota: jangan potong tebal takut pisang tenggelam dan permukaan kek tidak cantik. Saya tak buat kerana kehabisan stock pisang.
Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 160°C selama 40 - 45 minit atau hingga masak. Jika nampak permukaan hampir merekah dan kek belum masak, kurangkan suhu oven.
Bakar sekadar masak sahaja supaya kek menjadi moist. Nota: check dengan kek tester kalau ianya telah keluar bersih, tanda telah masak.
Sejukkan di atas cooling rack dan setelah sejuk, dibalut dengan plastik untuk semalaman, sebelum dipotong.
Nota:
Jika suka tebal, boleh guna loyang 8”x8”.
Jika suka kek yang lebih moist, balut dengan plastik dan keesokannya baru dipotong.
Saya dah silap kerana memasukkan baki adunan agak beza masa dengan yang lain menyebabkan permukaan di tengah tengah tidak rata.
Catat Ulasan for "Kek Pisang Berangan"
Add your comment