Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Selamat Bertunang Juita Dan Faiq



Alhamdulillah kita bersiaran lagi. Telah lama sebenarnya saya tidak menulis mengenai majlis keluarga di dalam blog saya. Yang banyak adalah resipi dan kisah percutian saya. 

Insya Allah hari ini saya ingin mengabadikan satu lagi majlis bersejarah dalam keluarga bila mana anakanda kami Nurjuita Amanda telah selamat melangsungkan majlis pertunangan dengan jejaka pilihan hati beliau. 


Sebagai ibu, saya memang agak memilih dan mengambil masa untuk mengenali dan menerima kawan kawan anak anak saya. Tapi berbeza kali ini, saya terus suka sebaik melihat Faiq pada kali pertama. Pertemuan itu pun secara tidak dirancangkan dan Juita juga belum bersedia untuk memperkenalkan dia pada saya. 



Juita adalah anak keempat dan anak perempuan bongsu yang manja dan rapat dengan saya. Jika saya sakit, dia lah yang akan bantu mengurut dan melumurkan ubat di badan saya. Bila saya perlu pertolongan, dialah yang akan sentiasa ada untuk membantu. 

Selepas pertemuan tersebut, saya menjemput Faiq mengunjungi kami dan saya kemudiannya bersetuju untuk menerima rombongan merisik. Tapi atas cadangan anak anak, terutama anak sulong saya, Nana agar diringkaskan semua urusan dengan terus diadakan majlis pertunangan. 

Sebaik dipersetujui, kami mula membuat persiapan untuk majlis. Kali ini saya lebih relax kerana semua urusan dibuat oleh anak anak. Saya hanya melihat bab pakaian untuk keluarga sahaja. Saya terpaksa membuka wardrobe dan mencari baju baju yang belum pernah dipakai. Maklumlah sukar untuk mencari fabrik dan menempah, kerana masa agak suntuk. Dengan baju yang saya ada, saya mencadangkan warna “light brown” untuk pakaian famili. 

Begitu juga untuk mencari baju sesuai untuk Juita juga agak kesuntukan masa. Saya mencari baju baju ready to wear di Instagram namun tak ada yang berkenan. Akhirnya bersetuju dengan cadangan Juita untuk memakai baju yang ditempah di Butik Fuzana Mokhtaza yang belum pernah dipakai. 


Saya juga membantu Juita dengan mencari sampin songket tenunan tangan dari Kelantan untuk diletak atas dulang hantaran. Seperti biasa, saya membeli di Zuhairi Songket (no hp: +60 19-941 3395). Memang saya banyak membeli sampin untuk suami dan anak anak di sini. Alhamdulillah kerana semuanya dipermudahkan. 

Kami juga berbincang dengan besan kami YB Senator Dato Setia Salehuddin tentang perjalanan majlis. Tarikh yang dipersetujui juga dibuat berdasarkan tarikh di mana besan kami “available” kerana beliau akan menjadi wakil keluarga kami. 



Selain famili, kami menjemput sahabat sejati kami dari zaman universiti iaitu rakan alumni Kolej Ketiga Universiti Malaya. Kehadiran mereka sangat lah mengembirakan kami kerana selain famili, mereka lah yang sentiasa menyokong kami dalam apa jua. Mereka juga sangat sporting dan sepakat untuk memakai baju Melayu. 




Tidak lupa juga rezeki bila dipertemukan dengan wedding planner Illa dan Hafiz dari @weddinglegacy yang menyediakan perkhidmatan lengkap dari pelamin, khemah dan makanan. Ianya sangat memudahkan urusan kami. Alhamdulillah saya merasa lega bila rata rata tetamu memuji keenakan lauk pauk yang disediakan. 




Majlis berjalan dalam suasana sangat meriah dengan adanya berbalas pantun antara besan kami dengan abang sulong Faiq yang mewakili rombongan mereka yang sedondon berbaju warna biru. Selepas sessi memperkenalkan diri kedua dua pihak, Faiq dijemput masuk bagi meneruskan majlis. 



Perbincangan mengenai tarikh, hantaran dan dulang hantaran juga telah dibincangkan dan dipersetujui sebelum Juita berjalan turun ke pelamin. Saya ketika itu, agak gementar dan berharap semoga ianya dipermudahkan. Maklumlah saya pasti dia akan sedikit gementar juga ketika berjalan ke pelamin.





Majlis sempurna dengan acara menyarungkan 1 bentuk cincin emas untuk merisik dan 1 cincin berlian untuk pertunangan oleh Bonda Faiq dan berbalas dengan cincin platinum untuk Faiq. Majlis di akhiri dengan pantun oleh Dr Abdol Aziz Sahat dan doa yang dibaca oleh Haji Kamaruddin Mokhtar. 




Sebelum keluar untuk acara makan, acara bergambar diadakan antara kedua dua belah keluarga, famili dan sahabat handai sebagai kenang kenangan.










Selepas bergambar, kami beredar untuk makan tengahari. Sambil makan, kami juga bersembang sembang kerana setiap kali berjumpa memang ada ada sahaja topik yang dibincangkan. 




Saya juga sempat bergambar dengan Bonda dan Nenda Faiq serta dengan keluarga kakak saya dari Kelantan. Inilah kali pertama saya bersua muka dengan keluarga Faiq dan diharapkan hubungan kekeluargaan akan berkekalan. 




Akhir sekali, terima kasih buat suami, anak anak dan anak anak buah yang membantu sehingga majlis berjalan lancar. Deeana yang walaupun sedang sarat mengandung telah bertindak sebagai jurugambar untuk saya. 

Walaupun menpunyai jurugambar rasmi untuk majlis tapi saya pastinya akan mengambil gambar dengan menggunakan handphone saya. Kak Ngah juga membantu merekod video yang sangat membantu kerana kami memang tidak mengambil khidmat videographer untuk majlis ini. 

Selepas ini, lebih banyak urusan yang perlu dibuat untuk 3 majlis yang pastinya persediaan perlu dibuat dari sekarang. Insya Allah doakan agar semua urusan kami dipermudahkan. Secara jujur, setiap hari saya merasa sedih kerana selepas ini keadaan tidak akan sama lagi. 



Doakan juga agar Juita dan Faiq dipermudahkan segala urusan dan kekal bahagia sehingga ke jannah. Semoga mereka bersabar, saling bertolak ansur dan jujur antara satu sama lain. 

Juga sama sama menjalankan kewajipan masing masing terutama bab nafkah, bab komunikasi dalam perhubungan. Kedua perkara ini mesti dibincangkan dan dipersetujui awal awal. Tak boleh mengambil mudah kerana perkara sebegini boleh menimbulkan masalah di kemudian hari. 

Sejak berita perceraian Fazura dan Fattah Amin, banyak sekali ulasan bab kewajipan nafkah yang biasanya diabaikan oleh para suami diperkatakan dengan meluas di media social termasuk oleh ustaz ustaz. Selain itu, betapa pentingnya komunikasi dalam sebuah perhubungan selain bersifat jujur terhadap pasangan. Dalam istilah sekarang jangan ada penyondol atau orang ketiga dalam sebuah perhubungan. 

Akhir sekali, saya mendoakan agar Juita dan Faiq kekal bahagia selamanya. Aamiin. 



Catat Ulasan for "Selamat Bertunang Juita Dan Faiq"