Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Tumis Sotong Dan Kisah Anak Anak



Saya seorang yang sangat sentimental terutama dengan anak anak. Masih saya ingat, peristiwa ketika  tiba di rumah selepas balik dari menghantar Nana berangkat ke Egypt, saya naik bilik dan menangis meraung teresak esak selepas melihat kereta Nana yang kami sewa untuk dia guna selama 3-4 bulan. 

Nelly dan Juita juga masuk ke bilik saya dan kami sama sama menangis sambil berpelukan. Ketika itu bulan puasa, kami keluar berbuka dengan mata bengkak.

Ketika membaca coretan Boy di Instagram selepas beliau berkahwin dan berpindah ke rumah besan kami, saya juga menangis teresak esak sehingga bengkak mata. Walhalnya Shah Alam bukan jauh pun dari rumah kami. 

Ketika menulis ini pun, airmata saya mengalir laju. Seolah masih baru lagi kedua dua peristiwa tersebut. Ketika keberangkatan Juita dan Aween ke United Kingdom, walaupun saya bersedih tapi tidak lah sampai menangis teresak esak. Mungkin kerana saya gembira kerana mereka berjaya melanjutkan pengajian ke sana selepas belajar bertungkus lumus. 

Begitu juga semasa Nelly dan Boy meninggalkan rumah untuk program matrikulasi dan diploma di UiTM, begitu sedih dan berat untuk meninggalkan mereka di sana. 

Saya selalu merasa ralat dan tidak memberikan yang terbaik. Belum puas hidup dikelilingi anak anak setiap hari. Lagi pun bila anak keluar dari rumah, keadaan tidak lagi sama setelah mereka kembali. Samada mereka sibuk dengan kerja atau berkahwin. 

Ketika anak sulong saya berkahwin, saya gembira kerana tahu mereka akan tinggal bersama sama kami sementara menunggu rumah yang dibeli siap sepenuhnya. Sekarang pun saya tak tahu macam mana nak hadapi saat bila Aliya dan Ammar berpindah dari rumah kami. 

Selepas balik dari UK, Nana akan mencari rumah baru dan berpindah dari rumah kami. Walaupun lama lagi tapi saya setiap hari menghitung hari untuk masa tersebut tiba. 

Begitu juga dengan Juita, walaupun ada lagi 6 bulan sebelum dia melangsungkan pernikahan, saya telah mula bersedih setiap hari. Setiap kali melihat video dan gambar majlis pertunangan beliau, saya akan bergenang air mata. Walaupun saya mengharapkan Juita untuk terus tinggal di rumah kami, namun saya telah merasa sedih kerana dia akan menpunyai kehidupan dan tanggungjawab baru. 

Saya banyak mendengar kuliah kuliah ustaz untuk “let go” semua urusan dunia termasuk urusan anak anak dan cucu cucu. Namun ianya sangat susah untuk dihadapi. Saya akan tetap belajar untuk mencuba sedaya upaya supaya tidak memikirkan sangat dan lebih memikirkan perkara yang lebih utama untuk difokuskan. Semoga saya diberikan kemudahan untuk melalui hari hari mendatang dengan tenang. Aamiin. 



Saya hari ini kongsikan resipi membuat pes sambal tumis samada untuk sotong, udang, telur atau apa apa lauk dalam jumlah yang banyak. 

Pes tersebut dibahagikan kepada beberapa bekas dan disimpan dalam peti beku. Setiap kali nak menggunakannya hanya dimasukkan lauk yang kita ingin gunakan. 

Kalau sotong atau udang, biasanya lebih sedap jika dilumur dengan garam dan serbuk kunyit kemudian digoreng seketika sahaja. Kemudian masukkan pes tadi secukupnya. 

Jadi kerja dapur menjadi lebih mudah. Yang menjadikan kerja dapur lama ialah kerana nak memastikan sambal benar benar garing dengan menggunakan api sederhana. Part inilah yang agak memakan masa. Jadi alang alang tu, masaklah pes tu lebih sikit. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….


Sambal Tumis Sotong
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
4 sudu besar cili kering kisar
1 keping asam keping
Garam secukupnya
Gula Melaka
Sedikit gula putih
Minyak masak

Bahan kisar:
4 biji bawang besar
1 genggam bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak. 

Masukkan cili kisar dan tumis sehingga terbit minyak lagi. Masukkan air dan tumis lagi sehingga terbit minyak. Ulang proses ini selama beberapa kali bagi memastikan bahan tumis benar benar masak. 

Masukkan asam keping, garam dan gula Melaka. Akhir sekali perasa dengan gula secukupnya. 

Renihkan sehingga sambal benar benar masak. Tutup api. 


Bila nak menyediakan sambal tumis udang atau sotong, lumur garam dan serbuk kunyit. Nota: opsyenal. Jika nak terus masukkan ke dalam sambal pun boleh. 

Panaskan minyak dan goreng sehingga separuh masak. Masukkan 2-3 senduk sambal tumis yang disediakan di atas. 

Kacau rata dan biarkan seketika sebelum tutup api dan sedia dihidangkan. 


Nota:
Sambal tumis yang lebih, disimpan dalam bekas bertutup dan setelah sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk. 



Catat Ulasan for "Sambal Tumis Sotong Dan Kisah Anak Anak"