Mee Hoon Goreng Versi Azie Kitchen
Saya ingin kongsikan petikan dari Kuliah online Ustazah Zaidatulakmam dengan tajuk penganiayaan dan kezaliman. Antara contoh kezaliman ialah makan harta orang tanpa hak, mencaci maki tanpa sebab, memukul dll. Semua termasuk dosa besar yang mesti dihindari darinya.
Semua orang tak boleh buat penganiayaan walaupun sekecil sekali hatta pada siapa pun. Walaupun kita rasa kita berhak dan lebih tinggi. Kita sebagai emak, kita boss sekali pun tak boleh walaupun pada orang bawah kita, hatta pada tumbuhan, binatang atau apa sahaja. Kezaliman ialah bila kita buat apa yang tak sepatutnya kita buat. Tak semesti kerana kita emak, kita tak berdosa.
Kita manusia biasa. Pasti ada kesilapan tapi jangan sampai buat penganiyaan dan kezaliman. Tak boleh ambil kesempatan atas kelebihan diri kita. Kalau boleh kita bagi lebih. Biar orang menjual rasa suka nak berjual beli dengan kita. Salah hukumnya. Sebab dia terpaksa dia tak ada pilihan, maka kita pun naikkan harga. Contoh kita nak jual tanah, kalau nak juga aku jual 3x ganda. Boleh? Itu juga kira penganiayaan.
Tak pernah rasa cukup duit dari penganiayaan. Tak tenang dan tak puas. Dulu kita tak tahu, sekarang dah tahu, kena bertaubat. Contoh kes beli rumah lelong, kalau boleh bantu tuan rumah untuk dapat balik rumah tu. Bantulah. Bank lelong harga murah dengan tak ambil kira kos renovation. Letakkan diri kita di tempat mereka. Kalau kita tak sanggup orang buat kat kita, kita jangan buat kat orang.
Dosa orang buat kezaliman, sesungguhnya Allah akan panjangkan umur orang yang zalim. Nabi bersabda barang siapa menyimpan benda kezaliman yang dirampas atau dicuri maka hendaklah minta dihalalkan pada hari ini sebelum datang hari yang tak berguna lagi dinar dan dirham.
Amal soleh akan diambil sekadar kezaliman dia. Jika tak memiliki lagi kebaikan, lalu diambil dosa orang dizalimi dan dibeban atas si penzalim. Kita pulak tanggung dosa dia. Kalau ada, pulangkan lah. Kadang kadang masa muda suka buat suka hati, kita caci dia dan telah malukan dia. Tak cukup bertaubat dengan minta ampun. Kecuali minta dihalalkan dengan puak itu sendiri. Jika tak lepas di dunia, lebih berat lagi di akhirat dengan perlu bayar dengan pahala atau bayar dengan menerima dosa mereka. Menjatuhkan harga diri orang lain atau menyakiti hati orang lain juga dikira satu dosa.
Hadis sohih, Nabi bertanya sahabat, tahukah kamu siapa orang yang muflis. Nabi kata orang yang muflis dari umat ku, mereka bawa pahala solat, puasa, zakat tapi dia datang dengan memaki orang. Kita tak boleh maki orang walaupun dia salah. Maki dengan panggilan buruk seperti hai monyet. Itu kira maki lah. Sekarang maki dah jadi perkara biasa dalam medsos. Tak ada penyaksian pada apa dia buat walaupun dia solat dan bayar zakat. Merampas harta orang lain, merampas kehormatan orang lain, menumpah darah orang lain. Dah habis kebaikan kita dibahagi, perkara dengan orang belum habis, mereka beratur panjang nak minta hak dia. Akhirnya tak ada apa yang tinggal pada kita. Maka kita yang ambil keburukan orang yang kita aniayai. Bab kezaliman dan penganiayaan, jangan sesekali rasa biasa, jangan rasa kecil. Ini hukum yang berat. Memang Allah Maha pengampun.
Pecah amanah pun dikira dosa besar. Contoh guru yang menanda kertas peperiksaan yang ada kesan pada sijil pelajar dan bila mereka nak minta kerja bila habis sekolah kelak.
Boleh minta maaf pada orang yang kita zalimi. Tapi dia mesti nak hak dia. Contoh kalau bab kita ambil hak dia. Tambah tambah lagi kalau benda berharga seperti tanah, emas, rumah dsb. Mesti dia nak minta balik emas dia yang kita ambil. Walaupun dah minta maaf, mesti kembalikan hak.
Ada kemaafan yang secara automatik. Ada kemaafan pula secara bersyarat. Buat haji pun jika buat salah, kena bayar dam. Baru haji cukup syarat. Sama juga, kita kena pulangkan balik hak. Tidak selesai sekadar minta maaf.
Ditanya soalan berkenaan bagaimana kes orang yang zalim meninggal dalam keadaan tak sempat minta maaf tapi orang dizalimi telah sedia memaafkan. Namun syarat taubat ialah orang yang bersalah, tetap kena minta maaf. Atau orang bersalah tahu akan kemaafan yang diberi pada dia.
Kena taubat sungguh sungguh dengan kembalikan hak, tinggalkan dosa, rasa penyesalan dan sungguh sungguh minta ampun, dan melakukan kebaikan lain seperti sedekah, puasa dan baca Al Quran. Tak ada yang boleh bantu melainkan Allah jua.
Rahmat Allah 99 azab Allah 1. Itulah umpamanya. Allah Maha Pengampun. Kita bukan sahaja nak harapkan syurga tapi harapkan keredhaan Allah. Pasrah dan besar Rahmat Allah di saat kita tak lagi terdaya untuk membayar hutang atau menebus dosa kezaliman.
Kena ada jemaah yang saling mengingatkan dia. Saling bertanya khabar kumpulan tadarus untuk saling ingat mengingatkan. Kalau tak katham Quran bulan ni, saya nak kena sedekah rm1000. Kalau tak solat awal waktu, kena selawat 1000 kali. Tapi kena izin suami utk buat nazar. Kalau nazar nak puasa macam mana kalau suami ajak minum.
Saya kongsikan kali ini versi mee hoon goreng versi saya sendiri berdasarkan trial and error yang dibuat selama ini.
Alhamdulillah hasilnya sangat menepati selera saya yang memang cerewet bab mee hoon goreng dan mee goreng. Memang kalau makan di kedai, jarang atau tak pernah menepati selera saya.
Nak makan sedap kena masak sendiri atau yang dimasak oleh kawan kawan bila kita berkunjung ke rumah mereka. Baru jumpa yang sedap.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...
Mee Goreng Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen
Bahan kisar kasar:
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
Segenggam ikan bilis
Bahan bahan:
1 pek mee hoon - rendam seketika
1 sudu besar cili kering kisar - lebihkan jika suka pedas
1 mangkuk fish ball
½ batang karot - hiris panjang
secekak daun kucai
2 genggam sayur taugeh
Bahan perasa:
2-3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
1/2 sudu kecil serbuk pati ayam
1 sudu kecil garam atau secukupnya
Cara cara:
Panaskan minyak tumis bahan kisar sehingga terbit minyak. Masukkan cili kisar. Tumis sehingga terbit minyak dan garing.
Masukkan karot terlebih dahulu.Masukkan sos tiram dan sos cili. Masukkan fish ball. Kacau rata.
Masukkan serbuk pati ayam dan garam secukupnya. Masukkan 1 cawan air dan biarkan mendidih, terus masukkan mee hoon. Kacau rata sehingga mee hoon lembut. Nota: jika belum lembut, boleh tambah sedikit air panas.
Setelah sebati, masukkan daun kucai. Kacau rata. Setelah mee hoon terbit minyak, tutup api.
Akhir sekali, masukkan taugeh dan kacau rata. Nota: jika suka, boleh masukkan cili merah hiris.
Nota:
Saya tak masukkan telur kali ini kerana saya nak makan dengan telur mata.
Catat Ulasan for "Mee Hoon Goreng Versi Azie Kitchen"
Add your comment