Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Daging Nogori Ala Kuala Pilah




Alhamdulillah masih diberi kekuatan untuk berkongsi resipi dan juga berkongsi petikan kuliah oleh Ustaz Najib Kassim tafsir surah Al Muzzamil yang sangat bagus untuk memberi kekuatan pada kita yang sedang diuji. 

Kadang kita diuji dengan ujian kerisauan, ujian kebimbangan pada benda yang belum pasti terjadi. Dalam masa sama, kita tidak pula risau dengan perkara yang pasti berlaku seperti kematian. Kematian pasti berlaku cepat atau lambat dan ianya adalah rahsia Allah yang kita tidak tahu.

Selagi nyawa masih di badan, kita masih punya masa untuk buat persediaan dengan memperbanyakkan amalan soleh. Saya terkesan juga dengan apa yang dikatakan semasa tafsir surah Al Muzzamil di mana Allah memanggil orang yang sedang berselimut supaya bangun untuk menunaikan solat malam dan membaca Al Quran. Kedua dua amalan ini akan memberi ketenangan pada jiwa. 

Ada orang yang sanggup meninggalkan tilam yang empuk semata mata ingin melakukan ibadah bagi mendapatkan keredhaan Allah. Kemewahan dan keselesaan adalah salah satu perkara yang menjauhkan diri seseorang dengan Allah. 

Nabi Muhammad SAW pernah menegur isteri baginda, Saiditina Habsah kerana menyediakan tempat tidur Nabi dengan melipat kain alas tidur kepada 4 lipatan supaya lebih tebal. Baginda meminta Habsah menukar kembali pada 2 lipatan yang asal kerana keselesaan dan nikmat akan menjauhkan diri dari Allah. 

Manusia jadi tertipu dengan nikmat Allah. Walaupun dia buat jahat tapi Allah tetap bagi dia nikmat. Maha pemurah Allah pada semua makhluk. Manusia tertipu dengan Al Karimnya Allah. Manusia jadi naik lemak. Akhirnya terjebak dengan benda lara dan lupa diri. 

Allah angkat darjat mereka dalam keadaan mereka tak perasan pun dia semakin jauh dari rahmat Allah. Mereka rasa diri mereka mulia. Orang yang diberi kemewahan, bagi mereka tempoh masa untuk berseronok. Allah boleh bagi kaya pada orang kufur. Biarkan. Allah sengaja jadikan begitu. Mereka rugi di akhirat kelak. Ini antara petikan surah Al Muzzamil.

Allah boleh bagi dunia pada semua orang yang Allah kasih dan yang tidak dikasihi. Tapi Allah hanya memberi akhirat pada sesiapa yang Allah kasihi. Semoga bermanafaat. 


Saya memang peminat masakan Negeri Sembilan yang banyak berasaskan cili padi. Selain masak lemak cili padi, juga rendang cili padi. Rendang ini hampir sama dengan masak lemak cuma dimasukkan kerisik. Juga masak lemak daun daun dengan tempoyak.

Ada juga rendang Nogori yang menggunakan bawang dan pelbagai rempah tapi kali ini saya menyediakan rendang. cili padi Kuala Pilah yang tidak menggunakan bawang. Hmm sedap dan tidak berapa pedas kerana anak anak kami memang tidak suka pedas. Kalau nak lagi kick, kena pedas dan lebihkan cili padi. Haa atau pun guna cili padi kecil tu. Pasti berdesing pedasnya. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….


Rendang Daging Nogori
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
750 gram daging 
3 batang serai - ketuk
1-2 keping asam keping
500 gram santan segar - guna 1 kotak santan
2 sudu besar kerisik
½ sudu kecil garam kasar atau secukup rasa
Daun kunyit - hiris

Bahan kisar:
1-2 genggam cili padi - ikut pedas disukai
6 batang serai
3 inci kunyit hidup

Cara cara:
Masukkan daging, bahan kisar dan serai ke dalam kuali. Masakkan seketika sehingga air daging keluar dan kering. 


Jika daging belum empuk, masukkan air dan masak sehingga daging hampir empuk. 

Masukkan santan dan masak sehingga daging benar benar empuk atas api perlahan. 

Masukkan asam keping, garam dan kerisik. Masak sehingga kering disukai. 

Akhir sekali, tabur daun kunyit. Kacau rata. Siaap.




Nota:
Kalau guna santan kotak, boleh juga masukkan sedikit minyak masak ketika kuah mendidih. 



Catat Ulasan for "Rendang Daging Nogori Ala Kuala Pilah"