Paru Sambal Berlado Hijau
Setiap tahun kita digalakkan untuk melakukan ibadah korban bagi yang mampu. Ustaz selalu mengajar untuk kita menyimpan duit setiap bulan bagi tujuan ini. Ianya supaya tidak rasa berat dan terbeban.
Saya melihat arwah Bonda setiap tahun melakukan ibadah korban sehinggalah meninggal dunia. Saya berpesan pada anak anak menantu supaya melakukan korban setiap tahun sehingga kita meninggal. Alhamdulillah setakat ini, Juita memang setiap tahun melakukannya. Seterusnya mengajar anak anak mereka perkara yang sama.
Bila bab korban yang jangan berkira dengan duit yang dibelanjakan ke jalan Allah. Ikhlas kerana Allah adalah dengan memilih binatang korban yang terbaik dan terpaling cantik. Bab kata Ustazah Asma’ Harun jangan menipu diri sendiri dengan kata ambil yang murah pun tak apa, yang penting ikhlas.
Kisah Allah memerintahkan anak Nabi Adam iaitu Qabil dan Habil untuk melakukan ibadah korban di mana Allah terima qorban Habil dan tidak menerima korban Qabil. Ramai Qabil moden yang ada dalam jiwa kita. Kita punya sikap macam Qabil.
Habil ambil masa untuk memilih kibas paling sihat dan gemuk untuk dijadikan korban. Qabil pilih binatang korban yang paling kurus yang dia paling tak sayang. Kita tipu diri kita dengan lidah kita dengan perkataan tak apalah asalkan ikhlas. Allah terima korban orang yang bertaqwa.
Kita kena bagi ke jalan Allah apa yang paling kamu cintai. Kalau seringgit hilang kita tak cari pun kecuali orang miskin. Kadang kita tak perasan pun ianya hilang. Ikhlas ialah orang yang memberi kerana mencintai Allah dan memberi yang terbaik. Bukan kerana mencintai harta. Tengok sumbangan pada tabung masjid. Bila dikira jumlah kutipan, banyak jumpa duit seringgit.
Apa dia korban? Maksudnya dekat iaitu ibadah yang mendekatkan diri pada Allah. Tingkatan utama melakukan ibadah korban ialah pilih yang paling besar. Kalau Malaysia, lembu yang besar. Pilih bahagian yang paling besar bagi yang mampu. Paling afdhal. Kalau mampu seekor, ambillah seekor. Sunnah pergi pilih sendiri bila nak buat Qurban. Pilih paling cantik paling elok kejadiannya supaya ada rasa sayang dan cinta pada binatang korban. Yang ni kita sembelih makhluk yang kita cintai supaya kita sembelih rasa cinta kerana Allah.
Korban luar negara rm200 tapi korban di sini seperti yang terdapat di banner masjid, ada yang rm800 satu bahagian. Kita akan bandingkan mahalnya korban di sini. Kalau luar negara baru rm200. Sangkaan mereka haa masjid sini ambil untung atas ibadah korban kita. Kita pun cakap yang penting ikhlas.
Kalau beli handbag, beli yang berkualiti. Kalau bab dunia kita pilih yang terbaik. Korban dalam malaysia lebih utama. Afhdal dalam negara kerana kita ada ramai asnaf fakir miskin. Bila korban dalam negara lebih mahal, ramai pilih luar negara sehingga orang miskin dalam negara tak dapat daging korban. OK sekarang kita masuk pula bab resipi. Nanti masa korban, ada paru boleh buat sambal paru berlado hijau ni.
Sambal berlado ni ada pelbagai jenis yang bergantung pada jenis dan warna cili yang digunakan. Boleh sambal hijau, atau sambal merah atau merah dan hijau. Rasa pun tidak banyak beza kecuali tahap kepedasan. Jadi kita kena seimbangkan tahap kepedasan dengan jumlah gula yang digunakan.
Lauk ini adalah lauk kegemaran anak anak saya terutamanya Nellisa, Juita dan Hazween. Kakak seperti biasa tak makan organ dalaman. Saya pun suka juga cuma makan dalam kuantiti yang sedikit setiap kali kerana bacaan uric asid dah tinggi.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….
Paru Sambal Berlado Hijau
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 kg paru - rebus empuk
1 hiris halia - ketuk
1 batang serai - ketuk
4 helai daun limau purut
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
1 biji bawang besar Holland - hiris
Minyak masak secukupnya
Bahan tumbuk kasar:
10 batang cili hijau
3 biji cili padi hijau
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 biji tomato hijau - boleh ganti dengan asam keping
Cara cara:
Paru rebus dengan halia dan serai sehingga empuk. Cucuk dengan pisau untuk mengetahui kalau ianya telah cukup empuk. Sejukkan supaya mudah dihiris nipis dan lumur garam dan serbuk kunyit. Nota: jika berlebihan, simpan dalam freezer untuk kegunaan akan datang.
Panaskan minyak dan goreng paru sehingga garing yang disukai.
Panas minyak dalam kuali lain dan tumis bahan tumbuk/kisar kasar sehingga naik bau. Masukkan halia, serai dan daun limau purut. Kacau rata.
Masukkan paru goreng. Masukkan garam dan gula. Masukkan air sedikit supaya rempah meresap ke dalam paru. Nota: jika suka paru yang garing, sejukkan dulu sambal, baru dimasukkan paru.
Akhir sekali, masukkan bawang besar Holland, jika suka. Kacau sebentar dan tutup api.
saya memang suka para sambal, tak kisah guna cili merah, hijau atau cili kering..paling besat kalau dapat makan nasi lemak dengan sambal paru..heheh..tq kak kongsi resepi:)
BalasPadam