Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Talam Pandan Versi Acuan


Hari ini cuti Hari Krismas, anda ada bercuti ke mana mana ke? Saya hanya terperap sahaja di rumah. Cucu cucu semua pergi bercuti. Aween pun pergi ke Pulau Pinang bersama kawan kawan. Haa jangan lupa, sambil baca tu, klik lah mana mana iklan yang keluar di blog ni tau. Terima kasih atas kerjasama anda semua.

Saya teringin juga nak bercuti tapi malas nak bersesak sesak di jalan raya. Kita yang dah bersara ni, pergi waktu tak cuti lagi selesa. Nak singgah makan pun tak perlu nak beratur panjang. Lagi lagi kalau kat Pulau Pinang, time ni lah tempat makan semua ramai orang. 

Haa sekarang kan kes Covid dah mula meningkat. Variant baru pulak tu di mana kita tidak menunjukkan tanda tanda seperti covid yang dulu dulu. Waaupun dah dapat vaksin dan booster, kena juga. Anak saya Nellisa dah 3 kali kena Covid setiap kali keluar atas urusan kerja. 

Mungkin lah covid ni dah macam demam selsema zaman dulu dulu. Kita kena hadap jer lah. Berserah pada Allah setelah kita berusaha menjaga diri dan keluarga. OK setakat ini dahulu, meh kita masuk pula bab masakan. 


Saya sediakan hari ini Kuih Talam Pandan versi acuan kuih lompang. Kalau untuk makan tak ramai, buat setengah adunan pun dah cukup. 

Kuih ni memang antara kuih tradisional kegemaran saya. Gedik gedik manja gitu teksturnya. Menyediakannnya pun cukup mudah dan cepat. Pung pang pung pang, dah siaaap. 

Yang bestnya bila guna acuan kuih lompang ni, senang nak makan. Kira masuk jer terus ke mulut. Tak payah nak belengas kan tangan. Haa tak gituu. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube channel di SINI. Selamat mencuba….


Kuih Talam Pandan
Oleh: Azie Kitchen

Lapisan Bawah:
1 ½ cawan tepung gandum 
½ cawan tepung ubi 
1 cawan gula 
3 cawan air daun pandan - guna 7 helai daun pandan + sedikit pewarna hijau
1 kotak kecil santan kara
Secubit garam

Cara cara:
Satukan semua bahan dan kacau rata. Tapis.

Tuang 1 ½ sudu besar atau lebih sedikit (sudu sukatan metrik) adunan pandan ke dalam acuan lompang yang telah disapu sedikit minyak.

Kukus selama 15-20 minit atas api sederhana semasa mengukus.


Lapisan Atas:
1 ½ cawan tepung gandum
½ cawan tepung ubi
1 kotak kecik santan kara
3 cawan air 
Sedikit garam

Cara cara:
Satukan semua bahan. Kacau rata dan tapis.

Setelah lapisan bawah masak, tuang 1 sudu besar atau lebih sedikit adunan ke dIm acuan tadi. Kukus selama 15 - 20 minit. Setelah sejuk, baru keluar kuih dari acuan.


Nota:
Ikut suka jika nak tuang samada lapisan yang putih atau yang hijau dulu.

Kalau nak kukus daIam loyang saiz 10x10 pun boleh. Alas dengan plastik dan kukus lapisan bawah selama 20 minit.

Saya buat hanya separuh adunan sahaja. 


Catat Ulasan for "Kuih Talam Pandan Versi Acuan"