Sambal Paru Sedap dan Mudah
Assalamualaikum semua. Anda buat apa di hari minggu ini? Jom layan blog saya, jangan lupa klik iklan yang keluar di blog tau. Kerjasama anda didahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Malam tadi kami bersama rakan rakan dari Persatuan Alumni Bekas Penghuni Kolej Ketiga (ethica) Universiti Malaya telah menghadiri majlis resepsi perkahwinan Faisal, anak saudara besan kami, Dato Setia Salehuddin di Putra Glass House. Kami pergi awal kerana tidak mahu tersangkut dalam kesesakan jalanraya lebih lebih lagi musim sekarang hujan boleh turun dengan lebat bila bila masa sahaja.
Bila bertemu, memang tidak sepi dengan riuh rendah ketawa kami. Persahabatan lebih dari 40 tahun menjadikan kami sangat rapat. Kebanyakan kami berkahwin sesama rakan sekolej. Walaupun ada yang bukan dari kolej ketiga tapi sebab kerap bertemu, kami juga sangat akrab.
Insya Allah persahabatan kami akan dikekalkan sehingga ke jannah. Kami sama sama bercuti di dalam atau luar negara. Kegembiraan bila bercuti bersama kawan kawan tidak sama dengan percutian biasa, hatta percutian bersama keluarga.
Hari ini saya menyediakan sambal paru untuk dimakan dengan nasi lemak. Sambal paru adalah kegemaran semua anak anak saya kecuali Nana dan Alain yang tidak makan bahan organ dalaman. Jadi pagi pagi saya dah gigih menyediakan sambal paru yang telah saya rebus semalam. Pagi ini tinggal hiris, goreng dan sediakan sambal.
Terdapat banyak versi penyediaan sambal paru yang bahan utama adalah sama. Cuma ada yang menambahkan serai, ada yang memasukkan sedikit belacan. Selain dari cili kering, ada yang menggunakan cili hidup seperti sambal berlado. Jika tanya saya, semua pun sedap cuma terpulang pada apa bahan yang ada dalam peti ais pada masa itu. Saya suka guna cili hidup kerana masa memasak sambal lebih pendek.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba.....
Sambal Paru Sedap dan Mudah
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 kg paru
3 sudu besar cili kering kisar
2 batang serai - ketuk
2-3 sudu besar gula - ikut kepedasan cili
Garam
1-2 keping asam keping
Minyak
Bahan kisar:
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci halia
Cara cara:
Rebus paru bersama halia dan garam sehingga empuk. Nota: saya menggunakan periuk Noxxa direbus selama 30 minit. Angkat dan tos. Sejukkan.
Setelah sejuk, hiris nipis. Masukkan garam dan serbuk kunyit. Gaul rata.
Panaskan minyak yang banyak dan betul betul panas. Goreng paru sehingga garing. Nota: bila buih dah hampir hilang, paru telah hampir garing. Angkat dan ketepikan.
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serai. Masukkan cili kering kisar. Tumis atas api serderhana sehingga terbit minyak. Masukkan sedikit air. Ulang proses ini beberapa kali bagi memastikan cili benar benar masak dan garing.
Setelah cili garing dan terbit minyak, masukkan gula Melaka, gula, garam dan asam keping. Kacau rata dan masak sehingga warna sambal menjadi sedikit gelap.
Akhir sekali masukkan paru yang telah digoreng dan kacau rata. Boleh tutup api. Nota: jika suka paru yang rangup, sejukkan dulu sambal sebelum dimasukkan paru goreng.
Catat Ulasan for "Sambal Paru Sedap dan Mudah"
Add your comment