Sambal Paru Tahan Lama
Insya Allah, pagi esok kami sekeluarga akan berangkat ke London untuk menghadiri majlis graduasi Nana. Sambil sambil itu, kami pergi untuk bercuti kerana telah lama kami tidak bercuti satu keluarga. Kali ini pun masih tidak lengkap kerana Alain tidak dapat ikut serta.
Bila sebut bab bercuti atau berjalan ni, semua pun menyeronokkkan tak kira luar atau dalam negara. Tapi tak pasti dengan orang lain, bila dah berusia ni, perasaan saya tidaklah teruja seperti dulu dulu. Kadang pening memikirkan apa baju nak dibawa. Malas nak membeli sebenarnya. Tapi nasib baik juga kerana cuaca ketika ini tidak lah sejuk, jadi boleh pakai baju biasa jer. Suhu sekitar 26 degree jer.
Saya bila nak bercuti ke mana mana, saya lebih teruja jika pergi ke tempat yang menarik untuk shopping. Haa kebetulan kali ini, kami akan sekali ke Paris. Dah lama kami tak ke sana. Akhir sekali ke sana rasanya awal tahun 2019 sebelum munculnya bab Covid 19. Bukan banyak duit pun untuk membeli macam macam, cuma rasa seronok window shopping jer.
Bercakap bab window shopping ni, setiap kali ke KLCC dan melihat harga harga handbag berjenama di sana, akan menjadi hati rasa sedih dan geram. Apa tak nya, harga naik setiap tahun. Pun gitu, ramai orang berduit yang dok support menyebabkan mereka terus menaikkan harga setiap tahun.
Bayangkan harga handbag yang saya beli semasa PKP, telah naik lebih dari RM10K. Gila tak gila tu. Nasib baik dulu saya ada beli untuk anak anak sekali. Kalau sekarang mereka nak beli, lagi tak mampu. Saya pun terpaksa bersara dari membeli bag kerana harganya dah di luar kemampuan. Saya dah bersara ni, bukan banyak majlis pun untuk dihadiri selain majlis perkahwinan sahaja.
Sambal paru memang kegemaran anak anak saya kecuali Nana dan Alain yang tak makan organ dalaman. Saya menyediakan sambal paru yang tahan lama ini untuk dibawa ke London. Saya masukkan dalam pouch dan ikut kuantiti sekali makan. Rasa nak makan, buka sahaja. Boleh makan dengan nasi lemak, mee hoon goreng atau makan dengan nasi putih sahaja.
Rahsia nak bagi sambal tahan lama ialah masak lama lama atas api perlahan sehingga sambal benar benar garing dan berwarna merah gelap gitu. Jangan masukkan air sedikit pun. Gunakan asam keping. Jadi sambal boleh tahan berbulan walaupun diletak di bawah saji sahaja.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba semua....
Sambal Paru Tahan Lama
Oleh: Azie Kitchen
Bahan-Bahan:
2 kg paru lembu
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu kecil garam halus
Bahan kisar:
4 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
4-5 sudu besar cili kering kisar
2 inci belacan - opsyenal
Bahan lain:
1 batang serai – diketuk
2-4 sudu besar gula atau secukupnya
2 sudu kecil garam atau secukupnya
1 sudu kecil serbuk perasa
40 gram gula Melaka
3 keping asam keping
Cara cara:
Paru dibersihkan dahulu kemudian rebus hingga masak dengan halia. Sejukkan dahulu kemudian dihiris nipis. Nota: rebus dalam periuk tekanan bersama halia selama 35 minit.
Satukan paru, serbuk kunyit dan garam halus gaul sekata. Panaskan minyak secukupnya dan goreng paru hingga garing. Angkat dan toskan minyak. Nota: jangan goreng terlalu banyak paru pada satu masa. Untuk paru rangup, goreng paru hingga buih-buih berkurangan.
Panaskan minyak dalam kuali lain, masukkan serai dan bahan kisar. Tumis hingga terbit minyak.
Kemudian masukkan asam keping dan gaul sekata. Selepas itu letak garam, gula, gula melaka, serbuk perasa secukupnya. Masak sehingga warna sambal cantik gelap.
Akhir sekali, masukkan paru dan digaul hingga merata dan sekata sehingga sambal elok melekat. Tutup api sedia dihidang dan dinikmati.
Nota:
Tips untuk tahan berbulan dan tidak berkulat, masak sambal mesti lama hingga sambal kelihatan merah kehitaman. Bila sambal mengering, perlahankan api supaya bahagian bawah tidak hangus. Teruskan masak sambil selalu mengacau.
Sambal paru lebih sedap jika ada rasa manis sedikit, pedas dan masin secukup rasa.
Catat Ulasan for "Sambal Paru Tahan Lama"
Add your comment