Gulai Lemak Perut Lembu
Alhamdulillah hari ini saya mengikuti kuliah zoom Ustazah Dato Dr Fatma Elzahraa berkenaan dengan tadabbur surah Al Baqarah yang merupakan surah terpanjang dengan 286 ayat. Ianya adalah surah kedua selepas surah Al Fatihah dan ianya diturunkan di Madinah, banyak ayat berkenaan keras hati degil kurang ajar kaum Bani Israel di zaman Nabi Musa diceritakan dalam surah ini. Ianya adalah sebagai pengajaran kepada Bani Israel di Madinah supaya jangan diulang. Bani Israel ini juga mengubah kandungan kitab Taurat.
Saya tidak berniat untuk menulis lanjut kerana ianya sangat panjang. Saya hanya ingin berkongsi berkenaan dengan nama surah Al Baqarah iaitu lembu betina kerana didalamnya telah disebutkan kisah tentang perintah Allah SWT kepada Bani Israel agar menyembelih lembu betina untuk mengungkap misteri pembunuhan. Kisah ini bermula daripada ayat 67 sehingga ayat 73. Sebagai seorang muslim, kita patut tahu kenapa ianya dinamakan dengan Al Baqarah.
Kisah ini bermula ketika pada suatu hari ada seorang laki-laki yang tidak memiliki keturunan tetapi kaya raya tiba-tiba meninggal dunia. Tak ada yang tahu siapa pembunuhnya. Maka, agar tidak terjadi saling tuduh menuduh dan terjadi pertumpahan darah kerana masalah ini, kaum Bani Israel pun pergi menemui Nabi Musa AS atas nasihat ahli hikmah di antara mereka.
Setelah mendengarkan kes yang sedang menimpa kaum Bani Israel, Nabi Musa mengatakan, “Sungguh Allah telah memerintahkan kalian untuk menyembelih seekor lembu betina.” “Apakah kamu mengejek kami?” jawab mereka terheran-heran. Mereka memandang perintah tersebut adalah ejekan dan main-main. Mereka ingin solusi atas misteri kes pembunuhan, tapi disuruh menyembelih lembu.
Kaum Bani Israel ini adalah bangsa yang degil, sombong dan keras hati. Tabiat orang Yahudi yang banyak bertanya sehingga mereka telah menyulitkan diri mereka sendiri dengan menanyakan lembu betina yang seperti apa, jenis, umur, warna dsb. Akhirnya Allah pun menyulitkan mereka dengan jenis lembu betina yang sulit ditemui sebab banyak soalan mereka. Itu sebab kita jangan banyak bertanya sehingga menyusahkan orang lain seperti Bani Israel ini.
Setelah menyembelih lembu betina tersebut, Allah melalui Nabi Musa menyuruh agar memukul mayat (laki-laki yang terbunuh) itu dengan bagian dari lembu itu. Setelah dipukulkan ternyata mayat itu dapat hidup kembali. Mereka pun menanyakan kepadanya, “Siapakah yang membunuhmu?”
“Yang membunuh aku ialah anak saudaraku, kerana mengharapkan warisanku, sebab aku tidak memiliki anak, maka dialah yang berhak mewarisi hartaku. Sebab itulah aku dibunuhnya. ” Setelah mengungkap siapa pembunuhnya, ia pun mati kembali. Kerana mendengar keterangan sejelas itu, maka anak saudaranya itu ditangkap dan dijalankanlah hukum qishash atas dirinya.
Hal ini adalah salah satu petunjuk bahwa Allah sangat berkuasa menghidupkan orang yang telah mati, lalu mematikannya lagi. Demikianlah asal usul nama surah Al Baqarah yang dapat dibaca di dalam ayat 67-73 patut kita tahu dan faham. Setakat ini dahulu, semoga bermanafaat.
Anak anak saya memang suka sangat makan lauk masak lemak perut lembu. Bukan sahaja anak anak tapi saya juga. Kalau di kampung dulu, perut akan dicicah dengan air asam. atau. dibuat. kerabu.
Tapi semasa di universiti, saya selalu order nasi lemak Sahur berlaukkan gulai lemak perut lembu. Sejak itu, memang kemaruk lah makan lauk ni. Siap merisik resipi lagi dari Sahur, tuanpunya gerai makan di Kolej Ketiga Universiti Malaya.
Secara jujur, gulai saya hari ini kurang lemak kerana kurang santan. Bila nak masak, tengok hanya ada sedikit jer kelapa parut. Tak ada orang yang nak ke kedai, jadi gunalah juga. Nak sedap kena guna santan pekat pekat sikit.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Juga jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…..
Gulai Lemak Perut Lembu
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
300 gram perut lembu
2 batang serai - ketuk
1 asam keping
2 helai daun limau purut
½ sudu kecil garam kasar
1 ½ santan kotak - saya guna santan segar
Minyak masak
Bahan kisar:
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
10 - 15 biji cili padi - ikut pedas disukai
½ sudu besar cili kisar - supaya kuah berwarna kemerahan
½ inci halia
2-3 hirisan lengkuas
½ inci kunyit hidup
Cara cara:
Kisar kesemua bahan kisar bersama santan. Jika mahu kuah berwarna sedikit kemerahan, tambahkan sedikit cili kisar atau cili merah.
Masukkan sedikit minyak dan panaskan sehingga betul betul panas dengan api perlahan. Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga mendidih dan naik minyak.
Masukkan perut, garam, asam keping dan daun limau purut ke dalam bahan tumisan yang sedang mendidih. Kacau rata.
Masukkan baki santan dan masak sehingga kuah sesuai dengan kepekatan yang kita suka. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.
Catat Ulasan for "Gulai Lemak Perut Lembu"
Add your comment