Udang Goreng Mentega Dan Hari Tarwiyah
Insya Allah esok 8 Zulhijjah saya buat pertama kali setelah sekian lama akan balik kampung sendirian untuk berhari raya bersama keluarga saya. Terasa seperti zaman universiti, di mana akan balik kampung semasa cuti penggal pengajian. Saya memang pernah berazam selepas bersara untuk balik kampung lama sikit sebab dah tak terikat dengan kerja dan tak perlu lagi mengambil cuti.
Setiap kali balik kampung pastinya, saya akan membayangkan akan menikmati pelbagai makanan dan masakan Kelantan yang sentiasa saya rindui. Namun baru saya sedar, saya terpaksa mengorbankan keinginan saya kali ini kerana kita yang tidak mengerjakan Haji juga boleh mendapat banyak pahala di bulan Zulhijjah dengan berpuasa pada Hari Tarwiyah yang jatuh pada Selasa 27 Jun 2023 dan Hari Arafah pada 28 Jun 2023.
Kelebihan berpuasa pada Hari Tarwiyah, di mana ada satu hadis yang menyatakan bahawa berpuasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa selama setahun. Manakala berpuasa pada Hari Arafah pula akan menghapuskan dosa selama dua tahun.
Memang sangat besar ganjaran berpuasa pada 8 dan 9 Zulhijjah ini. 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedeqah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.
Jadi jomlah kita sama sama berpuasa esok dan lusa sebagai tanda kesyukuran kita kerana masih diberi peluang hidup di bulan Zulhijjah ini.
Setiap kali ke restoran makanan laut, pastinya lauk ini antara lauk yang dipesan. Sebenarnya menyediakan lauk ini tidak lah susah tapi banyak kerja nak dibuat dan bahannya juga agak mahal seperti telur kuning sahaja dan mentega.
Tapi kalau masak sendiri, lebih jimat dan lebih sedap kerana kita sediakan ikut citarasa dan selera kit sendiri kan. Udang boleh guna udang segar yang bersaiz besar sikit. Kalau di restoran memang ada udang besar tapi harga pun mahal lah sedikit. Jadi jom kita sediakan sendiri di rumah.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Juga jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…..
Udang Goreng Mentega aka Butter Prawn
Oleh: Azie Kitchen
Bahan A:
⅓ buku mentega
Sedikit minyak masak
4 biji kuning telur
Bahan
3 bawang putih - cincang
4 biji cili padi hijau dan merah
1 tangkai daun kari
1 sudu kecil serbuk pati ayam
1 sudu kecil gula
¼ sudu kecil garam
Bahan C:
320 gram udang
Cara cara:
Panaskan minyak atas api perlahan dan masukkan mentega hingga sebati dengan minyak.
Pukul telur dan tapis. Tuang dalam bekas untuk mudah tuang dalam kuali.
Pusing minyak satu arah dengan senduk menggunakan tangan kanan. Tuang telur kuning tinggi secara perlahan lahan sambil terus dikacau menggunakan tangan kiri. Bila berbuih, kacau lagi 30 saat.
Setelah berbuih, masukkan bahan B dan terus kacau selama seketika. Tutup api dan terus kacau.
Tuang ke dalam bekas penapis dan tos minyak.
Guna balik minyak yang ditos dan goreng udang. Angkat udang dan tos minyak.
Letak udang dalam pinggan. Letakkan sarang telur di atasnya. Sedia untuk dihidangkan.
Catat Ulasan for "Udang Goreng Mentega Dan Hari Tarwiyah"
Add your comment