Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sup Tulang Sedap dan 8 Pintu Syurga


Saya ingin kongsikan sedikit petikan dari kuliah Zoom oleh Al Fadhil Ustaz Dr. Ashraff Suarin berkenaan pintu syurga. Kita baca blog bukan sekadar untuk ambil resipi sahaja. Tapi kita kena lebih bijak dari itu dengan menggunakan serampang dua mata. Selain dapat ilmu masakan juga dapat ilmu untuk hari akhirat kita. 

Ada 8 pintu syurga yang disediakan untuk kita. Setiap pintu syurga ini ada amalan dan dia akan panggil kita masuk dengan amalan kita. Pintu syurga ini harapkan kita masuk melalui pintunya. Amalan tersebut adalah solat, puasa, berjihad bukan sahaja jihad perang tetapi juga jihad melawan hawa nafsu, tahan mata mengantuk dalam majlis ilmu juga dikira sebagai mujahadah melawan nafsu. 

Keempat, berbakti dan buat baik  pada ibubapa, jaga mak sakit bukan satu bebanan tetapi adalah satu hadiah. Kelima, pintu syurga bagi orang yang melakukan sunnah nabi yang suka dimulakan dengan kanan seperti makan dengan tangan kanan. Keenam, amalan menahan marah. Hidup di zaman ini yang penuh dengan tekanan akan menjadikan seseorang mudah dan cepat marah. Nabi bersabda, jangan marah, jangan marah. 

Ke7 memaafkan orang lain. Hati tak bahagia kerana kita dendam, kita benci dan marah pada orang yang mungkin berbuat salah pada kita. Kisah seorang sahabat yang Nabi sebut dijamin masuk syurga. Bila mendapat tahu, sahabat lain mula mencari apa amalan yang dibuat oleh sahabat berkenaan. Tak ada amalan yang pelik. Minta untuk tidur di rumah untuk mengetahui apa amalan beliau. Lalu sahabat pergi bertanya apa amalan kamu buat sehingga Nabi jamin engkau masuk syurga. Maka dijawab, dia akan memaafkan orang lain dan redha. 

Akhir sekali, amalan sedekah dan yang banyak memberi. Contoh kisah Abdullah ibnu Mubarak yang terlepas kerja Haji kerana sibuk menolong seorang ibu dan anak yang dalam kesusahan. Walaupun dia tak pergi Haji tapi orang nampak dia berada di Arafah sedang bersedekah.

Paling Allah sukai ialah amalan yang istiqamah walaupun sedikit. Nabi bermunajat "Wahai Zat yang Maha membolak balik hati, teguhkan lah hati ku di atas agama Mu dan ketaatan pada Mu". Nabi bersabda pada isteri baginda, yang bermaksud Wahai Ummu Salamah sesungguhnya hati manusia itu ada pada jari jemari Allah iaitu Kekuasaan Allah. Sesiapa dikehendaki Allah akan kebaikan akan diberikan teguh iman, padanya makin dekat dengan Allah. Jika Allah tidak mahu berikan kebaikan, maka dia dibiar hidup dalam kesesatan yang nyata. 

Bila Allah hendak berikan kebaikan dan redhanya, akan dijadikan mudah baginya melakukan kebaikan walaupun tidak berada dalam suasana kebaikan dan ketaatan. Bagaimana dengan diri kita, apakah kita dekat atau jauh dari ketaatan Allah. 

Nabi bersabda, bersikap lurus lah dan tetaplah dalam kebenaran. Tiada seorang pun yang selamat kerana amalannya. Adakah termasuk engkau ya Rasulullah. Baginda menjawab, Ya tapi Allah melimpahi ku dengan rahmat nya. Allah menjaga ku. Sesungguhnya amalan seseorang tidak dapat bawa masuk kita ke syurga. Kita masuk syurga kerana rahmat Allah. Amalan kita yang menjadikan Allah sayang kat kita. Yang paling dicintai Allah ialah amalan istiqamah walaupun sedikit.

Allah sayang kita, itu sebab Allah masih hidupkan kita lagi. Masih beri peluang untuk kita beramal di dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah ini. Allah sayang kita, Allah nak dengar doa dan rintihan kita. Dosa kita banyak. Dengan waktu yang suntuk tak mampu untuk beribadah dengan sekadar solat sunat taubat dan istighfar. 

Ambil peluang dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah ini di mana Allah nak delete nama kita dan bebaskan kita dari neraka, Allah hendak ampunkan dosa kita. Ada sebab kenapa  kita masih hidup, pertama kerana Allah nak kita sedar yang kita banyak dosa. Kedua, Allah nak bagi kita peluang bertaubat denganNya lebih lebih lagi kita sekarang sedang berada dalam 10 hari awal bulan Zulhijjah. 

Amalan 10 hari awal Zulhijjah adalah lebih baik dari 10 hari akhir Ramadhan. Ramadhan bulan Terbaik. Ada Lailatul Qadr yang lebih baik dari 1000 bulan di 10 malam terakhir Ramadhan. Namun amalan terbaik dalam setahun ialah 10 hari awal Zulhijjah yang menggabungkan semua amalan kerana adanya puasa, ada solat dan ada Haji. 

Jadi bila berada dalam bulan berkenaan samada Ramadhan atau Zulhijjah, kita buat yang terbaik. Tak perlu buat perbandingan. Di bulan mana pun kita berada, kena hargai amalan yang hebat yang dijanjikan dalam bulan berkenaan. Setakat ini dahulu, semoga bermanafaat.


Alhamdulillah sekarang kita berada dalam bulan Zulhijjah, bermakna beberapa hari lagi kita akan menyambut hari raya Korban atau hari raya Aidil Adha. Jadi saya hari ini kongsikan resipi sup tulang yang mudah dan sedap. Kita boleh menggunakan tulang dari korban kita. Pasti lebih sedap kerana daging korban yang baru dan segar. 

Insya Allah saya dan menantu saya, Alain Ilya akan mengerjakan ibadah korban di rumah kakak saya di Kelantan. Walaupun begitu, hanya saya sahaja yang balik kerana Nana akan bertugas pada hari raya. 

Tidak sabar sebenarnya kerana setelah sekian lama, saya tidak balik bersendirian ke kampung. Rasanya sejak saya berkahwin. Kalau balik mesti dengan suami dan anak anak. Kali ini saya balik sendiri, ingin habiskan masa dengan adik beradik seperti mana zaman zaman muda remaja dulu. Saya boleh balik mengikut masa saya kerana tidak lagi terikat dengan kerja dan cuti.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Juga jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…..



Sup Tulang
Oleh: Azie Kitchen

Bahan Bahan A:
500 gram tulang
Rempah 4 sekawan
4 sudu besar rempah sup
2 ulas bawang putih - tumbuk pecah
½ inci halia- tumbuk pecah
Serbuk perasa
Garam

Bahan kisar:
2 biji bawang besar merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan lain:
Buah tomato - potong dadu
Daun sup - hiris
Cili padi - hiris
Bawang goreng - sekali dengan minyak gorengan

Cara cara:
Tumis rempah 3 sekawan dan bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan rempah sup dan sedikit air. Tumis lagi sehingga terbit minyak.

Masukkan daging yang telah direbus sehingga empuk dan kacau. Masukkan air rebusan daging secukupnya.


Masukkan bawang putih dan halia yang dititik/pecah. Masak sehingga mendidih. Masukkan garam dan serbuk perasa.

Sebelum dihidangkan, panaskan sup sekali lagi dan baru dimasukkan hirisan daun sup, cili hiris, bawang goreng, buah tomato dsb. 



Nota:
1. Dihidangkan semasa sup masih panas.

2. Goreng bawang goreng dan ceduk keluar minyak. Biarkan sedikit minyak dalam bawang goreng untuk dituangkan ke dalam sup sebelum dihidangkan.


Catat Ulasan for "Sup Tulang Sedap dan 8 Pintu Syurga"