Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Ikan Bilis Mudah Untuk Hidangan Lontong



Saya balik malam tadi dari beraya di kampung halaman saya dulu. Flight delay jadi sampai rumah pun dah pukul 10.00 malam. Terus naik bilik dan tertidur keletihan. Saya pun agak kesedihan bila semalam saya singgah di rumah peninggalan arwah kedua ibubapa. Biasanya saya mengelak dari lalu di situ kerana saya tidak mahu rasa sedih. Entah kenapa kali ini, saya mengajak Husband singgah. 

Rumah ini siap dibina ketika saya berada di universiti dalam tahun 1984. Di rumah ini, saya langsungkan majlis pertunangan, perkahwinan, tempat saya berpantang anak pertama, tempat saya balik beraya dengan anak anak. Rumah itu penuh kenangan buat saya. Anak anak saya bermain sekeliling rumah, memancing dalam tali air depan rumah musim banjir. 

Sekarang rumah itu terbiar tanpa penghuni. Saya tidak sedihkan rumah tersebut kerana ianya bukan hak milik arwah ibubapa saya lagi. Bila kita meninggal semuanya akan ditinggalkan pada waris. Tapi saya sedih mengenangkan kenangan di rumah itu. Banyak yang saya terkilan kerana tidak sempat berbakti kepada mereka saat baru membina kehidupan.

Saya terbayangkan arwah bapa yang suka duduk menyandar di pintu. Kalau saya ada, saya juga akan duduk di situ. Di samping melihat kenderaan lalu lalang, juga kerana untuk mendapatkan angin. 

Bila saya mengintai ke dalam rumah, lagi sedih melihat pintu dapur yang terbuka. Masya Allah sebak dan sayu rasanya. Saya melihat diri saya di situ, tempat saya duduk bersembang sembang di dapur sambil membakar kuih bahulu, dapur tempat arwah Bonda saya membalut ketupat palas sehari sebelum raya. 

Ketika saya muda remaja, setiap kali balik bercuti dari cuti penggal universiti, saya akan menyapu di ruang tamu dan lain lain kawasan dalam rumah, saya juga akan menyapu di luar rumah. Saya juga rajin mencuci tandas kerana mahukan tandas yang bersih.  

Di rumah itu, saya berbulan bulan menangis kesedihan bila putus cinta. Di rumah itu, saya menangis meraung di atas ribaan bonda saya bila cinta saya dipermainkan. Sepanjang cuti penggal universiti, saya berkurung di dalam bilik. Di rumah itu, beberapa keluarga datang untuk "melihat" saya di saat hati saya terluka dan tidak terbuka untuk mana mana lelaki. Segala suka, segala duka tercatat di rumah itu. 

Memang saya tidak mahu lagi mengenang kesedihan episod lalu, tidak mahu lagi menangisi pemergian mereka. Semua makhluk bernyawa pasti merasai mati. Saya hanya mahu mereka berada dalam kedudukan terbaik di alam barzah dengan banyak mendoakan mereka, banyak bersedekah atas nama mereka. Saya ingin memandang tempat abadi yang akan saya datangi. Semalam tidak akan datang lagi dan esok juga belum pasti. Yang ada, hanyalah hari ini. Cukup setakat ini dahulu.


Saya menyediakan sambal ikan bilis untuk dimakan dengan lontong dan kuah lodeh. Simpan dalam peti ais. Jadi senang bila nak guna, cuma terus keluarkan. Masak lontong ni mudah tapi nak menyediakan sambal tu yang memakan masa.

Maklum sambal nak sedap kena masak lama lama sehingga bahan tumisan benar benar masak dan garing. Barulah sedap dan tidak terasa maung bau cili. 

Boleh lihat entri kuah lontong Nur Qaseh, lontong signature recipe Azie Kitchen, simple kesukaan saya di SINI. Saya guna resipi ini dah berpuluh puluh tahun. Pernah cuba resipi lain tapi akhirnya kembali pada resipi ini. Haa nak tahu, kenalah cuba menyediakannya sendiri di rumah.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba.... 


Sambal Ikan Bilis Mudah
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan:
1 mangkuk kecil ikan bilis- dicuci dan ditoskan
2 papan petai - belah 2
Segenggam ikan bilis- direndam seketika
½ sudu kecil pes asam jawa
½ sudu kecil garam
1 sudu besar gula

Bahan kisar:
3 sudu besar cili kering kisar
8 biji bawang merah - 2 ½ biji bawang besar

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak dan warna sedikit gelap.

Ramas ramas ikan bilis yang direndam dan masukkan ke dalam sambal.


Masukkan pes asam jawa, gula dan garam secukup rasa.

Akhir sekali masukkan ikan bilis yang ditos dan 1 mangkuk air. Kacau rata dan renih sehingga kuahnya pekat. 


Nota: jika suka, boleh masukkan petai selepas masuk ikan bilis, kacau rata seketika dan terus tutup api.



Catat Ulasan for "Sambal Ikan Bilis Mudah Untuk Hidangan Lontong"