Nasi Goreng Telur Untuk Medina
Alhamdulillah, hari ini Hot & Roll kami telah beroperasi dengan rasminya di Tropicana Garden Mall, Kota Damansara. Waktu operasi dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam. Jemput datang semua dan sokongan anda amat saya hargai. Kami akan mendaftar secepat mungkin juga di Food Panda dan Food Grab. Doakan agar perniagaan yang baru kami ceburi ini akan berjaya. Aamiin.
Masa saya balik beraya di Kelantan pada hari raya Aidil Fitri minggu lepas, cuaca di sana sangat sangat panas. Dah berbulan tak hujan sehingga kan banyak rumput dan pokok yang kering. Ada juga kesan kebakaran di sana sini.
Bila cuaca panas seperti ini, selain dari mengelakkan diri dari terdedah di bawah cuaca panas, juga kena pastikan kita minum air yang cukup. Di Kelantan seperti biasa lah juga dengan masalah air yang tak pernah selesai. Bilik air kelihatan kotor keperangan seperti air seperti teh tarik tu.
Sejak dari kecil kami menggunakan air dari telaga yang digali berkongsi dengan 2 jiran berdekatan. Telaga tersebut sangat dalam, kalau tak silap 16-18 keping konkrit telaga yang digunakan. Untuk mengangkat naik air satu baldi pun, memang berbelas kali kena mengangkat talinya.
Kemudian, barulah kami memasang paip untuk menaikkan air telaga terus ke rumah dan juga untuk mandi. Air memang jernih sejuk. Zaman dulu, air diminum begitu sahaja tanpa dimasak terlebih dahulu pun. Air disimpan dalam tempayan dan diminum sejuk sejuk dengan menggunakan gayung yang dibuat dari tempurung kelapa.
Namun itu semua tinggal sejarah apabila kami berpindah kerana kerajaan membuat pengambilalihan tanah. Sejak berpindah, baru lah kami mengalami masalah air bila menggunakan air paip yang dibekalkan oleh jabatan air. Ada juga digalikan telaga namun air telaga tidak jernih dan berbau macam tanah liat.
Telah 40 tahun berlalu, bila saya masuk ke universiti dan terus menetap di sini. Tapi masalah masih sama. Serious saya sangat kesian dengan mereka yang terpaksa mengalami masalah seperti ini. Kalau baju putih atau lampin putih bayi, sekali basuh memang tidak akan lagi bewarna putih. Saya tak nampak masalah ini akan selesai sehingga 10 tahun lagi pun kerana saya tidak nampak usaha ke arah mengatasinya. Bertabahlah semua.
Saya menyediakan nasi goreng ini untuk Medina yang datang tidur di rumah kami satu malam. Dia memang agak cerewet makan. Budak budak kan tak suka makan.
Jadi saya menyediakan nasi goreng yang simple simple sahaja. Dengan budak budak, mereka tak suka nasi goreng yang ada sayuran. Tapi letak juga lah daun bawang untuk perisa.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…
Nasi Goreng Telur
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
2 cawan nasi sejuk
2 biji telur
Daun bawang - hiris
3 ulas bawang putih - cincang
Sedikit sos ikan
Sedikit kicap cair
Sedikit minyak bijan
Garam - jika perlu
Serbuk lada putih
Cara cara:
Panaskan minyak dan masukkan telur yang telah dikacau dengan garfu. Kacau rata supaya menjadi scramble. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan kuali sama, masukkan bawang putih dan tumis sehingga sedikit keperangan. Masukkan nasi dan kacau rata.
Masukkan telur goreng dan daun bawang. Kacau rata atas api besar sehingga sebati.
Masukkan kicap cair, sos ikan, minyak bijan, garam dan lada putih. Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan.
anak saya pun...nasi gorengnya letak telur sahaja. bawang kena blender halus.
BalasPadam