Lemang Segera Yang Mudah Dan Sedap
Saya pula yang mengira hari Nana dan famili akan berangkat ke London dan beraya di sana. Pertamanya berjauhan dengan Aliya menjadikan saya sedih, keduanya sedih sebab mereka tiada masa raya.
Ketiganya selepas mereka balik, keadaan tidak akan sama lagi kerana mereka akan balik ke rumah mereka. Sekarang mereka ada di rumah kami sementara Nana buat persiapan untuk menduduji peperiksaan dan juga bulan Ramadhan.
Walau apa pun, sebagai ibubapa kita kena terima hakikat yang satu hari kita pasti akan tinggal berasingan dengan anak anak selepas mereka menpunyai keluarga sendiri. Inilah hakikat kehidupan. Betul tak?
Lemang adalah makanan baru buat saya. Maksudnya sebelum saya berkahwin, saya tak kenal lemang. Di kampung saya hanya ada ketupat palas yang dimakan dengan nise cair yang diperbuat dari nira kelapa.
Setelah berkahwin dan beraya di Perak, barulah kenal lemang. Membakarnya sangat lama dan kalau api terlebih besar, hangus dan pulut pun ada yang mentah. Itulah sebab ada yang mengelak untuk balik kampung awal awal. Hahaha.
Saya sempatlah melihat sendiri bagaimana daun pisang digulung pada batang pelepah pisang dan dimasukkan ke dalam buluh lemang. Kemudian dimasukkan pulut bersama santan yang telah digaul dengan garam. Akhir sekali dituang santan sekadar atas sedikit dari paras pulut. Kemudian disusun untuk dibakar dengan api yang sederhana.
Maaf cakap, kadang kadang saya rasa hairan juga melihat buluh lemang sekarang yang elok jer rupanya. Mungkin kah lemang dikukus dahulu dan dibakar sekadar untuk ada bau hangus dibakar? Hmm tak pasti, hanya mereka yang berjual sahaja yang tahu.
Bila disediakan sendiri, lebih sedap, lebih lemak dan terasa garamnya. Tapi kalau beli, kira nasiblah. Ada ketika sedap, ada ketika ke laut. Sebab teringin nak makan, saya terpaksa menyediakan sendiri secara paling ringkas sebab tak ada buluh lemang kan. Tapi cukup lemak dan rasa garamnya. Saya retort untuk Nana bawa ke London untuk dinikmati pada pagi raya di sana.
Jom layan resipi dan penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Lemang Segera
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
8 cawan kertas
Daun pisang
3 cawan beras pulut - rendam 2 jam
Santan segar secukupnya
Garam
Cara cara:
Masukkan daun pisang ke dalam cawan dan pastikan ianya tinggi lebih sikit dari gelas.
Masukkan pulut yang telah direndam dan ditos sebanyak 2/3 penuh ke dalam cawan. Tuang santan yang telah dikacau dengan garam sehingga melebihi sedikit dari paras pulut.
Susun dalam pengukus dan kukus dalam pengukus yang air telah mendidih selama 40-50 minit.
Angkat dan tekan tekankan supaya padat.
Jika suka bau hangus sedikit, boleh masukkan ke dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180C dan bakar selama 20 minit. Jika tidak mahu bakar, selepas dipadatkan, kukus lagi selama 20 minit.
Angkat dan keluarkan dari gelas. Sedia untuk dinikmati.
Nota:
Lapik pisang di dasar gelas supaya senang dikeluarkan.
Catat Ulasan for "Lemang Segera Yang Mudah Dan Sedap"
Add your comment