Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Keli Berlado Kegemaran Anak Anak


Hari ini setahun lagi usia saya meningkat. Alhamdulillah walaupun sekali gus baki usia menjadi semakin berkurangan. Alhamdulillah dengan segala nikmat dan kurniaan yang selama ini mungkin saya lupa untuk mengucapkan banyak banyak kesyukuran. Lupa untuk redha dengan apa yang Allah putuskan. Lupa untuk sabar dengan ujian yang Allah datangkan. 

Saya tiada lagi azam selain dari untuk memperbaiki diri dengan bermujahadah membuang segala sifat yang tidak baik. Ingin mengisi lebih masa dengan keluarga sebagai ganti masa masa lalu yang tidak ditunaikan hak nya. 

Ada yang bertanya apa motivasi saya untuk memasak? Jawapannya kerana saya pencinta resipi sejak dari bangku sekolah. Semoga kecintaan saya memberi manafaat pada orang lain. Keduanya, saya menunaikan hak suami dan anak anak untuk merasai masakan dari air tangan saya sendiri. 

Semoga saya akan terus berukhwah dengan anda semua di social media. Di kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf anda ada keterlanjuran kata dan penulisan. OK sekarang kita masuk pula bab resipi.


Ikan keli sambal berlado adalah lauk kegemaran Boy dan Hubby. Ada 2 jenis ikan keli sambal berlado, ada yang jenis basah samada warna merah atau hijau dan satu yang lebih kering seperti yang saya sediakan hari ini. 

Saya memang tak berapa suka ikan ini. Saya makan jika ianya telah siap dimasak. Hahaha maksudnya kalau saya yang memasak, biasanya saya tak makan. 

Bukan sahaja ikan keli tapi mana mana ikan sungai, saya makan jika ianya dimasak oleh orang lain. Agaknyalah sebab saya dari kecil dah biasa dengan ikan sungai. Memang arwah ayah biasa membawa balik ikan sungai yang ditangkap samada secara menangkap dengan menggunakan bubu di tanah sawah atau dengan memasang tauk (sejenis tali pancing tapi mata pancing yang lebih besar).

Bukan sahaja ikan tapi udang sungai pun saya tak makan sekarang ini. Sejak kecil sehingga berpindah dari kampung, memang kami makan udang sungai yang ditangkap dengan bubu yang dipasang di pokok nipah oleh arwah bapa. Saya juga ditugaskan menjual udang setiap pagi. Berjalan kaki keliling kampung dari rumah ke rumah untuk menjual udang. Aktiviti yang paling saya tak suka. Asal orang menawar jer cepat cepat saya bagi kerana nak bagi cepat habis. 

Saya sebenarnya tak biasa dengan keli jenis ini tapi biasa dengan keli sawah terutama ikan keli lembut yang badanya lebih pendek dan gemuk, bawah badannya sedikit kekuningan dan berbintik bintik. Sedap digoreng atau digulai lemak. Tapi mesti dimasak oleh orang lain. Ianya biasanya banyak didapati di musim banjir.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa subscribe Azie Kitchen Youtube Channel untuk melihat video penyediaannya di SINI. Selamat mencuba......


Ikan Keli Berlado
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan:
4 ekor ikan keli
Serbuk kunyit
½ sudu kecil garam
1 sudu besar gula 
1 asam keping
Sos tiram - opsyenal
Minyak untuk menggoreng

Bahan tumbuk kasar:
4 biji cili merah besar
7 biji cili padi hijau
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih

Cara cara:
Lumur tepung gandum rata raya pada ikan dan basuh.

Kemudian, gaulkan bersama garam dan serbuk kunyit. Tabur sedikit tepung gandum, sejurus sebelum digoreng.


Panaskan minyak, goreng hingga garing. Tutup kuali supaya tak merecik. Angkat dan ketepikan.


Seterusnya, panaskan sedikit minyak, masukkan bahan yang tumbuk tadi. Goreng hingga naik bau. 

Kemudian, masukkan sedikit gula dan garam. Masukkan asam keping. Dah nampak hampir garing boleh tutup api. 


Tuang atas ikan goreng.

Catat Ulasan for "Ikan Keli Berlado Kegemaran Anak Anak"