Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Umrah 13 Januari 2023 Masjid Quba dan Shopping Jubah


Selamat bertemu kembali, kali ini saya akan menyambung catatan perjalanan umrah kami pada hari kedua di Madinah. Boleh rujuk entri sebelum ini di SINI

Hari kedua di Madinah, saya terjaga agak lewat mungkin kerana kepenatan. Lagi pula, saya batuk agak teruk sebelah malamnya. Kami bersiap ke masjid dalam pukul 4.00 pagi. Tidak lama selepas itu, azan pertama kedengaran dalam pukul 4.45 pagi. Azan kedua berkumandang sebelum subuh pukul 5.45 pagi.

Oleh kerana hari ini adalah hari aktiviti bebas, kami bercadang untuk ke Masjid Quba. Saya telah lama berazam untuk mengunjungi Masjid Quba beberapa kali sepanjang berada di sini. Saya masih ingat ada seorang jemaah semasa kami mengerjakan Haji dulu, dia beberapa kali berulang alik ke Masjid Quba dalam masa sehari. Balik ke hotel ambil wudhu dan pergi lagi. Sebenarnya sekarang ini, ada jalan pintas untuk berjalan kaki ke Masjid Quba dari Masjid Madinah. Tapi kalau tak mampu, boleh jer ambil teksi atau uber sahaja. 

Masjid Quba merupakan masjid yang pertama dibangunkan oleh Rasulullah SAW di awal peradaban islam aitu pada 8 Rabiul Awal tahun 1 Hijrah sekitar 622M. Masjid Quba terletak di luar kota Madinah sekitar 5 km kota madinah. Masjid ini dibina di dalam kebun kurma dengan seluas 1200 meter persegi.

Banyak kelebihan Masjid Quba yang disebut di dalam hadis hadis yang tidak patut kita sia siakan. Seharusnya kita harus melakukan amalan dan ibadah yang mudah tetapi menjanjikan pahala yang besar. Antara hadis yang menyebut tentang kelebihan Masjid Quba ialah: 

“Barang siapa bersuci di rumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba, lalu ia solat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah" (HR Tarmizi : 298. Ibnu Majah :1401)

Dari Sahl bin Hunaif bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa telah bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, dengan sebaik-baik wuduk, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah". (HR Ibn Majah)

Selepas bersarapan, kami mengambil wudu dan  bersiap untuk ke masjid Quba. Kami mengajak Rosdiana sekali. Kami mengambil uber di hadapan hotel dengan tambang rial 13-14 sehala. 

Sangat luas Masjid Quba sekarang. Tidak seperti dulu. Banyak penambahbaikan di dalam dan di luar masjid yang telah dilakukan dari kali terakhir saya mengunjunginya 5 tahun yang lalu. Tempat solat wanita juga luas. Kita boleh bersolat apa apa sahaja di sini samada Tahiyyatul Masjid atau solat Dhuha.

Selepas solat, kami berjalan ke belakang masjid. Separuh jalan, kami berpatah balik. Pada mulanya, ingat nak cari buah kurma tapi tak jumpa. Dah banyak pembinaan di bahagian belakang masjid. Kalau dulu, turun jer bas dah nampak kedai yang menjual kurma termasuklah kurma segar yang di frozen. 

Kami kemudian bergambar di bahagian hadapan masjid yang banyak sekali burung merpati. Di situ juga tempat ramai jemaah yang selepas solat, turun bergambar buat kenangan. 




Kami kemudian mengambil uber dan balik ke bilik. Sebenarnya banyak jer teksi di situ yang datang bertanyakan kami. Tapi kebanyakan teksi tak ada Apps seperti mana uber, jadi mereka hanya tahu untuk ke Masjid Nabawi sahaja. Bila disebut nama hotel, mereka macam tak tahu. 

Sesampai di bilik, kami bersiap ke masjid untuk solat Zohor. Balik dari solat Zohor, kami terus singgah di mall bahagian bawah Hotel Grand Plaza untuk membeli jubah buat anak anak dan cucu cucu. Hahaha kalau saya datang sendiri, pastinya aktiviti membeli belah ni, tiada dalam agenda saya. 

Hotel Grand Plaza ini hanya terletak berhadapan dengan hotel kami. Hotel yang saya pernah 2 kali menginap semasa mengerjakan Haji dan semasa mengerjakan umrah di bulan Ramadhan bersama Zahafiz Travel. Keluar dari mall, lintas jalan jer untuk ke hotel kami. 

Balik makan tengahari dan menyimpan barang yang dibeli. Terus bersiap ke masjid untuk menunaikan solat Asar. Hajat hati nak tunggu sehingga solat Isyak. Tapi saya mengajak balik kerana rasa badan sangat penat dan mengantuk. 

Pukul 5.00 petang, baru kami berjalan ke masjid untuk solat Maghrib dan menunggu sehingga solat Isyak. Setakat ini dulu, saya akan sambung catatan aktiviti kami di hari kedua di Madinah dengan makan malam di Syareq Qurban. Nantikan tau... Update: boleh klik entri seterusnya di SINI



Catat Ulasan for "Umrah 13 Januari 2023 Masjid Quba dan Shopping Jubah"