Umrah 12 Januari 2023 Kuala Lumpur Ke Madinah
Alhamdulillah setelah 5 tahun tidak menjejakkan kaki ke Tanah Suci Madinah dan Mekah, hati rasa sangat teruja untuk ke sana. Boleh klik entri umrah saya sebelum ini di SINI, SINI, SINI dan di SINI. Entri menunaikan fardhu Haji di SINI. Memang rasa sangat tidak sabar dan bercampur baur. Rasanya macam baru sahaja pergi tapi sebenarnya dah 5 tahun. Semuanya dek pandemik Covid 19 menyebabkan kita tidak dapat mengerjakan umrah dan haji selama beberapa tahun.
Saya kongsikan catatan perjalanan umrah saya dari 12-24 Januari 2023 untuk kenangan dan record saya sendiri serta keluarga. Jika ianya memberi manafaat kepada pembaca semua, saya sangat bersyukur.
Saya membuat sedikit latihan fizikal sebagai persediaan. Maklumlah 5 tahun agak lama juga bila mengirakan umur pun dah bertambah sebanyak 5 tahun. Saya hanya menggunakan threadmill tapi itu pun tak boleh lama. Cepat jer penat.
Jadi saya banyak berdoa agar diberikan kesihatan yang baik, kecergasan, tidak letih, tidak penat dan tidak cramp sepanjang berada di sana. Alhamdulillah kerana semua doa saya diperkenankan walaupun saya batuk dari sini lagi dan berterusan sehingga balik ke tanahair.
Untuk perjalanan umrah kali ini, saya pergi menunaikan umrah dengan anakanda saya Juita. Kami memilih Wira Saujana Travel dan berlepas pada 12 Januari 2023 dengan penerbangan Amal by MH 152 ke Madinah.
Kami perlu berada di KLIA sekurangnya 4 jam sebelum masa berlepas. Jadi kami bertolak dari rumah pukul 5.30 pagi dan tiba di sana pukul 6.15 pagi. Berkumpul di kaunter L untuk mengambil passport dan tiket sebelum meninggalkan bag untuk solat Subuh di surau. Selepas itu kami ke Kaunter K untuk urusan check in.
Nelly dan Boy keluar lewat sedikit dari rumah dan tiba di airport pada pukul 7.30 pagi. Selepas taklimat, kami terus masuk kerana kami harus berada di pintu pelepasan pukul 9.00 pagi. Taklimat mula dan habis agak lewat menyebabkan kami kesuntukan masa untuk bersarapan. Perut dah mula berkeroncong. Pihak Wira Saujana memperkenalkan kami dengan Puan Rosdiana untuk ikut kami ke Golden Lounge.
Kami bersarapan di Golden Lounge dalam keadaan agak tergesa gesa. Keluar dari lounge agak lewat dalam pukul 9.20 pagi, kami bertiga terus berjalan laju untuk ke gate C27 yang terletak agak jauh. Terpaksa berlari lari anak juga kerana dah kelewatan.
Masuk sahaja ke balai pelepasan, terus dibuat pengumuman panggilan akhir untuk masuk. Adui saya memang tak suka berada dalam situasi seperti ini. Dah berusia ni, tak boleh penat berjalan seperti ini. Pihak travel agen kena ambil maklum tentang perkara ini supaya semuanya mesti menepati masa untuk mula sessi taklimat dan menamatkannya dalam waktu yang munasabah.
Penerbangan berlepas jam 10.25 pagi terus ke Madinah mengambil masa selama 9 jam 10 minit. Berlepas dari pintu pelepasan C27. Alhamdulillah, kami dapat seat 4A dan 5A seperti mana yang Juita mahukan.
Sebaik sahaja berlepas, kami dihidangkan dengan sarapan hidangan ringan. Sedap juga nasi goreng dengan ikan bercili serta sambal tauhu dan tempe. Selepas makan, saya mula menulis catatan perjalanan saya. Memang saya tidak suka tidur dalam perjalanan sehingga lah saya tertidur dengan sendiri.
Selepas bangun dari tidur minta milo panas kerana nak mengurangkan masalah batuk jika minum tidak mencukupi. Dan diberikan sekali biskut Luxury yang sedap. Perasa lemon dan calcium. Adui memang boleh cari biskut ni.
Azan disiarkan untuk jemaah yang ingin menunaikan solat Zohor. Ada jemaah yang bersolat dalam kapalterbang. Saya mengambil pendekatan tawaran keringanan yang Allah bagi untuk orang bermusafir tanpa mengurangkan pahala iaitu solat jamak. Waktu Asar di Madinah adalah 3.35 petang. Kapalterbang dijangka tiba 2.45 petang. Jadi kami berniat solat jamak takkhir iaitu solat Zohor dalam waktu Asar sahaja.
Hidangan makan tengahari di hidangkan 2 jam sebelum mendarat. Menunya ialah sate sebagai appetiser dan ayam masak merah dengan nasi sebagai menu utama. Sate nya sangat sedap dengan daging dan isi ayam yang lembut dan juicy serta kuah sate nya yang sedap. Kedua duanya sedap. Walaupun masih kekenyangan, makan sampai licin.
Kami tiba di airport Prince Muhammad Madinah pada pukul 2.30 petang waktu tempatan. Alhamdulillah, rasa sangat bersyukur ketika melihat bumi Madinah dari udara. Tercapai juga untuk saya menjadi tetamu Allah dan menjejakkan kaki ke bumi ini lagi.
Sebaik turun dari tempat pemeriksaan imigresen, saya terus ke surau yang terletak di belakang escalator untuk melakukan solat jamak qasar Zohor dan Asar di surau. Ingatkan saya yang terlambat bila pergi ke tempat untuk mengambil bagasi kerana tak nampak bag jemaah lain yang sama warna dengan bag kami. Rupa rupanya bag kami yang keluar dulu.
Di sini bag akan di scan sebelum boleh keluar. Ingatkan scan hanya untuk naik kapal terbang sahaja. Hahaha. Kami kemudian keluar dan menunggu di luar. Ustaz Huzaimi dan Ustaz Uzair, dari Wira Saujana Shah Alam telah sedia menunggu jemaah. Sementara menunggu jemaah lain keluar, kami bersembang sembang dulu. Pastinya topik adalah peraturan baru berkenaan dengan air zam zam yang baru dikeluarkan oleh pihak Saudi.
Kami kemudian dibawa menaiki bas bertolak dalam 3.49 petang dan tiba di Hotel Ruve pada pukul 4.10 petang. Perjalanan dari airport ke hotel hanya lah 20 minit. Bilik kami 409 terletak betul betul depan lift. Saya suka hotel sebegini di mana lobi tidak terlalu besar, masuk jer pintu utama, terus jumpa lift dan keluar jer lift dah jumpa bilik. Tidak lah perlu berjalan jauh untuk ke lift dan berjalan jauh untuk ke bilik. Ada setengah hotel kena melalui mall terlebih dahulu untuk sampai ke lift.
Keutamaan saya adalah lebih pada hotel yang dekat dan selesa. Sudah mencukupi, tak perlu hotel mewah seperti mana pergi bercuti. Tapi kalau bercuti juga, saya tidak mementingkan sangat hotel yang mewah. Sekadar cukup untuk tidur yang selesa. Lain orang lain citarasanya.
Kami kemudian bergegas ke Masjid Nabawi dan perasaan ketika itu, sangat sangat teruja. Rasa macam lama betul tak menjejakkan kaki ke sini. Sebaik di dalam masjid, kami terpaksa berpusing pusing juga untuk mencari ruang solat. Terpaksa mencelah celah di tempat jemaah negara lain yang tidur dan berbaring. Kami melakukan solat tahiyatul masjid, berniat iktikaf dan solat Maghrib serta Isyak. Waktu maghrib di Madinah ketika ini ialah 5.57 petang.
Oleh kerana hari ini hari khamis ramai orang Madinah yang datang ke masjid untuk berbuka puasa dan bersolat. Selepas solat Maghrib, barulah lapang selepas ramai yang keluar dari masjid. Ketika itu, barulah dapat tempat solat yang lebih selesa. Saya pula ketika itu batuk ketika solat. Saya sangat bimbang jika terbatal wudhu kerana batuk sehingga keluar air mata.
Balik hotel, terus singgah makan malam di dewan makan hotel di tingkat M. Selepas itu, turun semula ke lobby untuk membeli sim card dengan agen yang telah diaturkan oleh Ustaz Huzaimi dan Ustaz Tuan Azfar.
Sesungguhnya pengalaman nenunaikan umrah di luar Ramadhan adalah berbeza dengan umrah dalam bulan Ramadhan. Yang pastinya tiada makan minum dalam penerbangan kerana berpuasa. Walaupun dibolehkan untuk tidak berpuasa, tapi kami memilih untuk berpuasa walaupun tempoh berpuasa yang sangat panjang dek perbezaan waktu.
Oleh kerana umrah pertama saya di luar Ramadhan dah lama sangat iaitu tahun 2004, saya pun dah tak ingat banyak perkara ketika itu walaupun ianya masih segar di dalam memori. Jika dulu, tiada gambar dalam masjid kerana tidak dibenarkan ketika itu. Semua rakaman hanya direkodkan dalam ingatan dan memori sahaja. Tapi kali ini, ianya boleh direkodkan untuk kenangan supaya rindu sentiasa menggamit untuk mengunjungi tanah suci lagi.
Tambah menyeronokkan bila kali pertama menunaikan umrah bersama anak sendiri. Berbeza walaupun dengan suami kerana bila masuk masjid kena berpisah juga. Begitu juga dengan kawan, ianya juga berbeza.
Sehingga kita bertemu lagi di entri akan datang, salam sayang buat semua. Update: boleh klik entri seterusnya di SINI.
Alhamdulillah syukur...
BalasPadamMoga sy juga diberi rezeki utk kembali ke tanah suci aamin 🤲