Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Umrah 20 Januari 2023 Solat Jumaat Di Masjidil Haram



Alhamdulillah kembali lagi. Hari ini adalah hari aktiviti bebas untuk jemaah. Boleh klik entri sebelum ini di SINI untuk umrah sunat dengan miqat di Tanaim. Hari ini adalah hari Jumaat pertama kami di Mekah. Kami dipesan supaya masuk awal ke masjid kerana hari jumaat, orang akan ramai dan mungkin kita tidak dapat masuk masjid. Jadi kami pukul 8.00 pagi dah berjalan masuk ke masjid melalui pintu King Abdul Aziz. 

Pernah sekali masa umrah Ramadhan, saya keluar lewat untuk ke masjid pada hari Jumaat. Saya terpaksa mengelilingi hampir separuh dari masjid belum menemui jalan masuk ke masjid kerana kebanyakan laluan ke pintu masjid ditutup. Akhirnya kerana kepenatan berjalan di tengah panas dan sedang berpuasa pula, saya berpatah balik ke hotel dan tidur. Saya pergi semula ke masjid selepas selesai solat Jumaat. Memang orang ramai hari Jumaat kerana warga Mekah dan sekitarnya juga akan datang ke masjid untuk bersolat. 

Sebaik masuk ke masjid, kami melakukan tawaf sunat. Setelah selesai solat sunat tawaf, kami berjalan semula masuk untuk menghampiri Maqam Ibrahim. Dulu saya biasa jer menghampiri Maqam Ibrahim kerana ketika itu, orang tidak seramai sekarang. Tapi ketika itu, tiada handphone dan kita tidak dibenarkan mengambil gambar menggunakan kamera pun. 

Maqam Ibrahim adalah dua tapak kaki Baginda Nabi Ibrahim. Selepas selesai membina rumah lama, Nabi Ibrahim berdiri di atasnya dan tapak kaki baginda tenggelam, menandakan pembinaan rumah suci itu. Tanda jari kaki dan tapak tersebut pudar akibat ia terdedah kepada orang ramai, yang disentuh berkurun-kurun lamanya.



Selepas dapat memegang dan melihat Maqam Ibrahim dari dekat, kami kemudian berjalan ke Hijir Ismail. Masya Allah, ketika beratur pun dah bertolak tolak. Apa lagi, bila pagar dibuka sahaja, semua bertolak tolak untuk masuk. 


Seperti biasa lah, bila kita solat, jika tak dijaga, waktu nak sujud, dah tengok ada orang berdiri di tempat sujud kita. Gambar ini saya screenshot dari video yang diambil oleh Juita. Ianya adalah gambar kandid yang tidak dirancangkan pun. Hahaha nampak tak bag hijau di sebelah atas tu, itu adalah bag kasut saya dan Juita yang dah disepak oleh jemaah yang hendak solat di situ. 


Saya pun tak pasti apa yang mereka fikirkan. Apakah yang ada dalam fikiran mereka. Apakah berpuas hati bila mengganggu sujud solat orang lain. Selepas solat sunat 2 rakaat, kami berjalan ke depan menghampiri dinding Hajar Ismail. Setelah bergambar di situ, kami berjalan keluar.


Setelah keluar baru perasan, bag kasut hijau saya dalam gambar di atas tertinggal dalam Hijir Ismail. Itu pun setelah Juita bertanya, mana bag kasut? Hahaha saya segera berpatah balik untuk mengambil kasut. Seperti biasa lah askar Arab ni bukan faham bahasa, bila kita nak explain tak nak dengar, ditarik tariknya telekung saya. Setelah saya ulang, baru dia benarkan saya masuk dan ambil bag kasut. 

Setelah keluar, saya pergi semula pada askar tadi dengan membawa bag kasut dan saya cakap,  "This is my shoes bag. You pushed me just now, please say sorry". Akhirnya dia tunduk dan cakap, I am sorry. Saya faham tugas mereka kena tegas tapi telinga ada, kena mendengar kerana di dataran Kaabah tidak ada orang yang akan berbuat dosa dengan berbohong. Saya memang marah sebab dia menarik telekung saya dengan kasar. 

Kami kemudian berjalan ke Rukun Yamani yang Masya Allah, orang terlalu ramai. Kebanyakannya jemaah lelaki dan mereka tidak akan memberikan kita laluan untuk keluar. Jadi saya terpaksa memeluk dan menarik Juita dari belakang dan keluar dengan cara berundur. 

Terfikir kalau saya dah tak bertenaga, mungkin saya tidak akan menghampiri tempat tempat begini. Seperti mana saya juga tidak lagi cuba menghampiri Hajar Aswad kerana tidak mahu berasak asak dan menyakiti antara satu sama lain. Tapi saya kalau boleh ingin Juita merasai nikmat mencium Hajar Aswad.

Saya pergi pun demi untuk Juita merasai menyentuh Kaabah di Rukun Yamani. Rukun Yamani adalah penjuru di mana kita akan beristilam tanpa mengucup dan kemudian membaca doa "Rabbana Aatina Fiddunya Hasanah, fa fil Aakhirati Hasanah, wa Qinaa Adzhaa bannaar" sehingga kita sampai ke penjuru Hajarul Aswad. Di sini kita memohon kebahagiaan dunia dan kebahagiaan akhirat serta diampunkan segala dosa. Ini sahaja kawasan yang kita diajar doa yang perlu dibaca ketika tawaf. Di tempat lain, sebenarnya tidak ada doa dan zikir yang khusus. 

Kami kemudian pergi mencari tempat untuk duduk di kawasan solat di sebelah kanan Maqam Ibrahim. Sementara menunggu solat Jumaat, kami memperbaharui wudu dengan menggunakan spray. Nota: Lain kali boleh ambil wudu di bawah tangga kawasan solat di belakang Hijir Ismail. Kawasan ini ditutup dengan langsir berwarna hijau. Ada banyak paip disediakan di situ. Cuma berhati hati dengan aurat kerana langsir tidak bertutup rapat, ada kelihatan orang lelaki lalu lalang di kawasan tersebut. 




Kami menunggu di bawah panas terik selama 3 jam. Saya pula jenis tak memakai apa apa sun block atau losyen sepanjang di sana. Memang muka kami menjadi kemerahan. Pada mulanya, rasa nak pindah ke tempat lain yang teduh tapi sayang pula untuk meninggalkan view kaabah di dataran kaabah kerana memandang kaabah sahaja telah mendapat 60 rahmat. Lagi pula, tempat duduk lain semua dah penuh, lebih lebih lagi tempat yang teduh.



Bila hampir waktu solat Jumaat, ada beberapa orang petugas yang mengagihkan air zam zam sejuk di dalam botol. Apa lagi, saya minta dua botol untuk kami bawa balik ke Malaysia. Ada beberapa orang jemaah dari negara Mesir juga memberikan air zam zam mereka untuk saya. Botol ada sticker air zam zam, jadi senang untuk kita menyimpan air zam zam di dalam peti ais tanpa tertukar dengan air minuman biasa. 

Selepas solat Jumaat, kami berjalan ke Safwah Tower kerana Juita ingin membeli sejadah buat saya. Kami kemudian balik ke hotel untuk pembahagian makanan sabil. Tapi sebaik sampai, pembahagian makanan sabil pun dah selesai. Boleh tengok video kami di SINI. Boleh klik entri seterusnya di SINI.



Catat Ulasan for "Umrah 20 Januari 2023 Solat Jumaat Di Masjidil Haram"