Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Umrah 19 Januari 2023 Ziarah Luar Mekah


Alhamdulillah kita bertemu lagi. Kali ini untuk ziarah luar Mekah pula. Boleh klik entri sebelum ini di SINI. Walaupun namanya ziarah luar Mekah tapi tempat di mana kami diturunkan hanyalah di Jabal Rahmah dan di Masjid Ji'ranah sahaja. Yang lain hanya dijelaskan ketika kami melalui sesuatu kawasan seperti Jabal Tsur, Jabal Nur, Masjid Namirah yang hanya digunakan setahun sekali di musim Haji di Padang Arafah. 

Sesampai di Jabal Rahmah, kena berjalan agak jauh kerana bas tidak dapat masuk. Banyak sekali bas yang telah pun di parking ketika itu walaupun kami sampai masih dikira awal. Ini adalah kali pertama saya menghampiri kaki bukit Jabal Rahmah. Biasanya setiap kali ke sini, saya hanya bergambar dari jauh sahaja. Tidak pernah lagi menghampiri bukit ini, apa lagi memanjatnya. 


Kali ini saya ikut Juita dan Akmar untuk panjat batu untuk berdoa dan bergambar. Bila berdoa mesti mengadap ke arah kiblat. Kita boleh berdoa apa sahaja untuk diberikan jodoh, untuk dikekalkan jodoh dsb. Atau apa apa doa lain juga mengikut apa yang dihajati.



Kami kemudian berkumpul di bawah menunggu semua jemaah sebelum berjalan ke bas. Masya Allah orang terlalu ramai dari segenap penjuru. Terasa seolah musim haji pula. Tidak pernah lagi saya melihat suasana seperti ini di sini.

Kami kemudian bertolak ke Masjid Ji'ranah untuk bermiqat bagi yang mahu melakukan ibadah umrah. Ramai jer yang tidak melakukan umrah. Semuanya terpulang kepada kemampuan masing masing. Ibadah tidak perlu banyak tapi perlu ikhlas dan menuruti segala sunnahnya. 


Oleh kerana telah hampir dengan waktu solat Zohor, bas tidak dapat masuk kawasan hotel. Bas terpaksa berpatah balik untuk masuk dan berhenti di terowong. Ini lah kali pertama saya melihat terowong, selama ini hanya membacanya sahaja. Dari terowong, naik escalator dan terus keluar di hadapan pintu berhampiran pintu 79. Ohh tak jauh sebenarnya dari hotel kami. 

Juita balik ke bilik untuk menyimpan barang barang. Saya terus ke masjid untuk menunaikan solat Zohor. Oleh kerana dah terlewat, saya hanya solat di hadapan pintu masuk masjid sahaja. Selepas solat, kami bertemu di hadapan pintu 88 dan 89. Kami kemudian berjalan masuk pintu King Abdul Aziz untuk melakukan tawaf dan sai secara sendiri. 

Selepas tawaf, kami menunggu solat Asar di dataran Kaabah. Kami kemudian melakukan sai dengan berjalan kaki. Juita bertanya kalau saya mahu menggunakan scooter untuk sai tapi saya lebih suka berjalan kaki. 

Selesai sai, kami balik ke hotel untuk rehat seketika. Bersiap untuk ke masjid bagi solat Maghrib dan Isyak. Haa itulah aktiviti kami seharian pada hari ini buat kenangan dan rujukan saya sendiri. Alhamdulillah jika ianya memberi manafaat kepada anda semua. Boleh klik entri seterusnya di SINI.


Catat Ulasan for "Umrah 19 Januari 2023 Ziarah Luar Mekah"