Umrah 16 dan 17 Januari 2023 Umrah Wajib
Alhamdulillah saya menyambung kembali catatan perjalanan umrah kami kali ini dengan entri ibadah umrah wajib pada 16 Januari 2023. Boleh klik entri kami bertolak dari Madinah sehingga tiba di Mekah dengan Haramain High Speed Train di SINI.
Sebaik sampai di Makkah Tower, kami menunggu Muttawif mengambil kami di depan Butik Rolex. Kami menginap di Tower 3 tingkat 9 bilik nombor 9 Makkah Tower. Alhamdulillah biliknya luas dengan adanya 3 katil dan meja serta 2 kerusi. Ada juga pantri kecil untuk memasak air atau maggi. Kami juga boleh melihat Masjidil Haram dari tingkap kayu di bilik kami.
Selepas mengambil kunci, kami naik ke bilik, kedengaran azan Isyak berkumandang. Kami menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak di bilik. Ikutkan hati dah tak sabar untuk ke Masjidil Haram bagi menunaikan solat di dalamnya. Tapi kena sabar dan berehat terlebih dahulu untuk memberikan tenaga untuk melakukan tawaf dan sai. Walaupun perjalanan dengan train tidak lama tapi tetap terasa penatnya.
Sementara menanti group bas tiba, kami tertidur kepenatan. Bas tiba dalam pukul 10.00 malam. Kami berkumpul pukul 10.45 malam di lobi untuk berjalan dan mula melakukan ibadah tawaf pukul 11.00 malam. Kami berhenti di dataran masjid untuk check tapak selipar masing masing, kemudian menyimpan di dalam bag dan mula berjalan masuk melalui pintu King Abdul Aziz.
Selepas menuruni escalator dah terus boleh nampak kaabah. Saya mengikut apa yang diajar oleh Ustaz Shamsuri, sebaik sahaja nampak Baitullah, apa yang kita perlu lakukan ialah beristighfar dan terus memohon ampun dalam bahasa kita sendiri. Mohon ampun dengan sesungguhnya sementara berjalan menuju garisan Hajaratul Aswad untuk memulakan tawaf.
Ini adalah kali pertama saya mengikut ustaz melakukan tawaf di mana kami diberikan transmitter untuk mendengar dan berkomunikasi dengan ustaz. Ustaz akan membimbing dengan membaca ayat dan zikir terpilih dari penjuru Hajarul Aswad sehingga penjuru Syami sebelum memberikan ruang untuk jemaah berdoa secara individu sehingga sampai ke Rukun Yamani. Begitulah seterusnya sehingga selesai. Kami berjalan secara berkumpulan supaya tidak ada yang terpisah dengan jemaah wanita berjalan di tengah tengah.
Hahaha detail pula saya bercerita, macam lah orang lain tak biasa kan. Ya mungkin pada orang lain tapi pada saya biasanya, saya bertawaf bersama suami, atau bersama seorang atau dua orang kawan sahaja setiap kali datang menunaikan umrah. Jadi pengalaman begini adalah baru bagi saya terutama dengan penggunaan alat komunikasi yang lebih canggih ketika ini. Kecuali pengalaman umrah pertama saya tahun 2004 yang dibimbing oleh muttawif. Selebihnya kami melakukannya sendiri. Serious nasihat saya, lakukan lah bersama muttawif supaya kita lebih menghayati setiap bacaan dan doa semasa bertawaf, walaupun kita dah biasa atau setiap melakukan umrah sekali pun.
Selesai tawaf dan melakukan solat sunat tawaf serta berdoa dalam pukul 1.30 pagi. Kami kemudian bergambar kenangan dahulu secara beramai ramai. Nasib baik Ustaz Amirul sporting dan telah mengambil banyak gambar jemaah yang mungkin dah kepenatan dek perjalanan dengan bas yang jauh dari Madinah.
Istimewanya umrah kali ini ialah kerana saya melakukan ibadah umrah bersama dengan anak saya, Juita. Jika biasanya saya bersama suami atau keseorangan bersama kawan kawan. Tercapai hajat saya untuk membawa Juita melakukan ibadah umrah.
Saya sangat gembira dan terharu. hajat ini tertangguh beberapa tahun bila Juita berangkat ke Manchester. Bila dia menamatkan pengajian, masalah Covid 19 pula melanda menyebabkan umrah tidak dapat dilakukan sebelum Juita mula bekerja.
Kami kemudian beredar untuk minum zam zam dan berjalan ke tempat sai. Saya seronok bila kalau tidak silap Dr Asari, jemaah yang telah terlebih dahulu selesai melakukan ibadah sai mengambil gambar kami ketika sedang melakukan ibadah sai.
Hahaha ini gambar candidi yang real. Kami tahu pun setelah ianya dikongsikan dalam group Whatsapp. Terima kasih kerana mengambil gambar ini yang sangat berharga dan penuh kenangan buat saya.
Selepas selesai sai, kami bergunting rambut dan kemudian berjalan kaki keluar melalui kawasan rumah Saiditina Siti Khadijah. Bila menyebut bab bergunting, haa kena gunting rambut sendiri terlebih dahulu sebelum menggunting rambut orang lain terutama mereka yang pertama kali lah. Kalau tidak, kenalah bayar dam.
Saya memang biasa di kawasan ini dahulu dan rasa sangat dekat di hati kerana ia berhadapan dengan hotel yang kami tinggal semasa mengerjakan ibadah Haji Disember 2006 - Januari 2007. Selepas kami balik, barulah semua hotel dan bangunan sekeliling masjid dirobohkan untuk projek pembesaran Masjidil Haram dan pembinaan hotel hotel baru yang lebih mewah.
Ketika itu, inilah laluan kami ke Masjidil Haram melalui pintu Babu Salam setiap hari selain dari laluan pintu tingkat 1 tempat sai, Bukit Marwah. Entah kenapa kawasan ini menjadi sangat nostalgia untuk saya berbanding kawasan hotel lain yang pernah saya tinggal. Mungkin kerana tempoh berada di sini semasa ibadah Haji lebih lama berbanding dengan umrah Ramadhan yang padat dan hampir tiada masa untuk berjalan pun. Hanya ulang alik dari masjid ke hotel sahaja.
Alhamdulillah, selesai umrah wajib kami dalam pukul 2.40 pagi. Masa sai, memang sangat mencabar, mata pun dah mengantuk dan badan pula dah kepenatan tapi sebab bila dilakukan secara berkumpulan, kami tetap bersemangat. Kami kemudian berjalan balik ke hotel dan terus tertidur kepenatan tapi sangat gembira.
Bangun agak lewat untuk solat Subuh di Masjidil Haram. Rupanya bila sampai di pintu 88 dan 89, pintu masjid masih ditutup dan terpaksa menunggu dalam 15 minit sebelum azan Subuh kedua, barulah ianya dibuka. Balik dari solat Subuh, kami sambung tidur dek kepenatan. Boleh klik entri hari aktiviti bebas pertama kami di SINI.
Catat Ulasan for "Umrah 16 dan 17 Januari 2023 Umrah Wajib "
Add your comment