Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Umrah 15 Januari 2023 Ziarah Sekitar Masjid Nabawi


Alhamdulillah saya ingin menyambung catatan perjalanan umrah pada hari ke4 kami di bumi Madinah. Saya ttidur lena kepenatan kerana aktiviti ziarah luar sebelah siang dan beratur masuk Raudhah sebelah malamnya. Boleh klik entri Raudhah di SINI

Hari ini adalah hari untuk aktiviti ziarah di sekitar masjid Nabawi. Banyak sebenarnya sejarah di sekitar masjid yang perlu kita tahu jika kita mencintai Rasulullah dan para sahabat. Saya walaupun banyak kali juga melakukan umrah tapi saya mengakui jarang mengikuti ziarah sekitar masjid Nabawi kerana ketika umrah Ramadhan, saya banyak beribadah dalam masjid atau menunggu peluang untuk ke Raudhah. Ketika itu, kita bebas untuk masuk ke Raudhah setiap hari.

Oleh kerana ini adalah umrah pertama untuk Juita, dan juga luar Ramadhan, jadi saya ikut serta dalam semua aktiviti yang diatur oleh pihak agensi. Selepas berkumpul di lobi, kami berjalan bersama sama Ustaz Tuan Azfar dan Ustaz Amirul masuk ke perkarangan Masjid Nabawi.

Destinasi pertama ialah pintu masjid Nabawi pintu 21 dan 22. Masuk pintu 22 ada perigi telaga. Saya sebenarnya tidak tahu berkenaan sejarah di sini. Jadi saya sangat menggalakkan anda semua untuk mendengar setiap penerangan yang diberi oleh ustaz dan muttawif. 



Telaga itu milik Abu Talhah Al Anshari, yang kaya di Madinah. Yang paling disayanginya ialah telaga yang terletak di ruang pintu masuk masjid. Rasulullah menggunakan air telaga itu untuk wudhu dan minum. Baginda minum dan rasa manis. Jadi Nabi sentiasa pergi ke telaga tersebut. 

Nabi Muhammad SAW masuk ke dalam kebun tersebut, meminum air dan menjadi sehat. Saat turun nya ayat ini :

لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ"

"Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai" (Qs.3:92).

Anas bin Malik mengatakan riwayat dari Abu Thalhah yang mengatakan: "Dan sesungguhnya harta yang paling aku cintai adalah telaga Ha', maka aku Shadaqahkan karena Allah mengharap kebaikan dan tabungan di sisiNya"

Telaga Ha' berada Di depan King Fahd Gate, di pintu 22 di mana terdapat 3 bulatan di lantai marmar. Jadi untuk kita semua hayati, kita tak akan capai kebahagiaan dan kesempurnaan sehingga infaq sebahagian harta yang kita suka.

Begitu juga dengan kita, bila kita nak bagi orang makan, utamakan orang dekat dengan kita dahulu.  Bagi yang terbaik. Kita kena cakna dan ambil tahu, ada tak antara keluarga yang susah yang kita perlu utamakan. Kefahaman agama untuk Allah lebih sayang pada dia.

Kami kemudian berjalan lagi ke depan sehingga nampak Jabal Uhud yang dia sayang kita dan kita sayang dia. Saidina Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika melihat ke arah bukit Uhud:

هَذَا جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ، اللَّهُمَّ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ وَإِنِّي حَرَّمْتُ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا

Maksudnya: “Ini adalah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya. Ya Allah, sesungguhnya Ibrahim telah mensucikan kota Makkah dan sesungguhnya aku mensucikan di antara dua kota batu hitam (Madinah).”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)

Siapa solat jenazah akan mendapat pahala 1 qirat yang menyamai satu bukit Uhud. Bolehlah kita lihat betapa besarnya pahala yang diperolehi dengan melihat betapa besarnya Bukit Uhud tersebut.  

Kami juga ditunjukkan lokasi di mana terletaknya Taman Bani Saqifah di barat daya Masjid Nabawi adalah sebagai tempat berkumpulnya kaum Anshar dan kaum Muhajirin. Di sini di adakan majlis syura untuk melantik pengganti. Ianya juga merupakan tempat di mana Saidina Abu Bakar di baiat menjadi Khalifah. Rasulullah wafat pada 12 Rabiul Awal. Sama dengan tarikh kelahiran baginda. 

Kaum Ansar dan kaum Mujahirin berkempen nak pilih siapa sebagai pengganti. Kaum Muhajirin yang uruskan jenazah baginda dalam masa 3 hari. Pada masa yang sama, perlu memilih seorang khalifah untuk menggantikan Rasululllah. Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar dipanggil. Saidina Umar telah mencalonkan Saidina Abu Bakar sebab beliau adalah sahabat Rasulullah yang paling rapat. Dia tahu keinginan Nabi.

Nabi sampai di Quba 8 Rabiul Awal dan tiba di Masjid Nabawi 12 Rabiul Awal. Madinah ketika itu dikenali dengan nama Kota Yathrik. Raja Tubba datang ke Kota Yathrik untuk menakluk kota ini 1000 tahun sebelum kedatangan Nabi. Sebelah pagi ada peperangan dan di sebelah malam orang orang di Kota Yathrik ini akan merawat askar musuh yang cedera. 

Raja Tubba merasa pelik dan lalu merujuk kepada para pendita. Setelah dikhabarkan, ada nabi akhir zaman akan berada di sini. Maka Raja Tubba pun berasa ingin turut sama menunggu Nabi akhir zaman yang disebutkan itu. Jadi dia menunggu di Yathrib selama setahun sebelum meneruskan perjalanan dan meninggal berdekatan dengan India. Hatta, Raja Tubba ini membina 400 buah rumah untuk 400 orang ulamak yang ingin menunggu Nabi di Yathrib. 

Dalam sirah menyebut, rumah pertama yang Nabi singgah ketika berhijrah ke Madinah pada 12 Rabiul Awal, ketika Nabi berada di atas untanya, ketika mana para sahabat berebut-rebut menarik unta Nabi untuk ke rumah mereka, maka kata Nabi "Biarkanlah, unta ini telah diarahkan oleh Allah Ta'ala tempat di mana yang akan ia berhenti. "Di manakah unta ini berhenti? 

Unta ini berhenti di rumah Tubba yang telah membina rumah tersebut khas untuk Nabi dan rumah itulah yang dimiliki oleh Saidina Abu Ayyub Al-Ansari, yang merupakan salah seorang cucu kepada 400 orang ulamak yang menunggu Nabi di Madinah. Begitu lah serba sedikit kisahnya yang diceritakan ustaz kepada para jemaah.


Ustaz Azfar memberi penerangan tentang maqam di mana terletaknya jasad Rasulullah bersama 2 orang sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar As Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab. Paras bahu baginda yang mengadap kiblat, terletaknya maqam Saidina ABu Bakar dan bahu Saidina Abu Bakar terletaknya maqam Saidina Umar. Inilah kemuliaannya dan kebijaksanaan yang diatur oleh para sahabat ketika itu. 


Diceritakan juga bagaimana keistimewaan Bilal bin Rabbah yang boleh jumpa dengan Nabi bila bila masa. Di hadapan dan berdekatan dengan pintu Babu salam terletaknya rumah Saidina Abu Bakar. Rumah yang tidak ada pintu rumah Saidina Abu Bakar. Di mana kita sunat memasuki Masjid Nabawi melalui pintu Babu Salam dan membacakan doa 

Allahumma antassalam, wa minkassalam, wa ilaika ya'uudussalam, fahayyina robbana bissalam, wa adkhilnal jannata daarossalam, tabarokta robbana wa ta'aalayta, yaa dzal jalaali wal ikram.

Tempat di mana jenazah berkumpul adalah terletaknya rumah Saidina Hamzah dahulu. Jenazah dikumpulkan di situ sebelum diusung ke perkuburan Baqi.




Akhir sekali, kami singgah dan berdoa di depan perkuburan Baqi di mana kelebihan mereka yang ditanamkan di sini ialah mendapat syafaat dari Rasulullah kelak. Ianya juga dikenali sebagai jannatul Baqi. 

Kami kemudian berjalan kaki balik ke hotel. Alang alang dah ke sini dengan Juita dan Ros, kami terus bergambar kenangan. Lebih lebih lagi pintu 25 yang merupakan pintu yang akan sentiasa di kenang sebagai pintu keluar masuk untuk bersolat di Masjid Nabawi. 




Akhir sekali singgah beli minuman di Starbucks. Sedap pula rasa air di sini. Kalau tengah penat dan panas, dapat pula minuman sejuk, memang sedap sangat. Hahaha Terima kasih Juita kerana belanja. Boleh klik entri seterusnya di SINI.




Catat Ulasan for "Umrah 15 Januari 2023 Ziarah Sekitar Masjid Nabawi"