Umrah 14 Januari 2023 Solat Di Raudhah
Saya percaya setiap dari kita yang akan menunaikan ibadah umrah atau Haji akan mengimpikan untuk menziarah makam Rasulullah dan bersolat serta berdoa di dalam Raudhah, antara taman dari taman syurga di dunia ini dengan aman dan tenang. Ohh sebelum itu, jangan lupa anda boleh klik entri ziarah luar kami sebelum ini di SINI. Malah saya mengamalkan setiap kali berangkat dari rumah ke Madinah dengan berniat, "Sahaja aku menziarah Rasulullah dan Masjid Nabawi kerana Allah Taala".
Masih tidak lupa, pengalaman pertama bersolat di Raudhah masa mengerjakan umrah pertama saya tahun 2004, kali pertama sujud bau haruman di karpet hijau itu terasa sangat semerbak yang menyebabkan saya merindui baunya sehingga kini. Banyak kenangan manis berada di dalam Raudhah pada ketika itu, yang teramat manis dan indah.
OK sekarang saya akan coretkan pengalaman di Raudhah tahun 2023 pula. Selepas pandemik Covid 19, Raudhah tidak lagi boleh dimasuk setiap hari seperti dulu dulu. Kalau dulu, kita boleh jer beratur masuk selepas solat Subuh. Tapi kini untuk sekali umrah, jika menggunakan visa pelancung, kita hanya dibenarkan sekali sahaja masuk ke Raudhah. Itu pun menggunakan Apps yang dikenali sebagai NUSUK. Kalau menggunakan visa umrah, boleh masuk 2 kali.
Kami buat booking Raudhah dalam NUSUK semasa di Malaysia lagi sebaik jadual untuk tarikh tersebut dibuka. Ikaa, dari Wira Saujana membuat perngumuman dalam group WhatsApp untuk kami semua memilih dalam NUSUK tarikh dan waktu yang ditetapkan iaitu pada 14 Januari 2023, pukul 10.00 malam.
Jemaah dipimpin oleh Ustazah Fitri yang berasal dari Indonesia tapi telah lama berada di Madinah dan boleh berbahasa Arab. Kami berkumpul di lobi hotel pda pukul 8.30 malam dan berjalan kaki. Masya Allah setelah sekian lama tak dapat bersolat dan berdoa di Raudhah, terasa sangat teruja.
Beratur sangat panjang tapi peruntukan masa menjadikan ianya lebih teratur. Sepanjang masa beratur yang berjam jam itu saya berdoa agar wudu saya kekal dan supaya saya tidak batuk. Tekak saya boleh menjadi tiba tiba gatal dan batuk yang berterusan selama beberapa minit. Jadi saya agak risau kalau tiba tiba giliran dah hampir dan wudu pula terbatal.
Alhamdulillah, group kami dapat masuk ke Raudhah rasanya sesuai dengan masa yang dipilih iaitu pukul 10.00 - 10.30 malam. Kami menunggu di hadapan jalan masuk ke Raudhah 10 minit sebelum pukul 10.00 malam. Raudhah adalah taman syurga yang disebut dalam hadis,
"Di antara rumahku dan mimbarku terdapat taman (raudhah) di antara taman surga."
(Al-Mu'jam Al-Ausath, Thabrani, 2/120).
Masjid Nabawi seluruhnya mulia dan suci, namun kawasan Raudhah menjadi mulia dan barokah kerana Rasulullah pernah berada di sana, tinggal dan hidup di sisinya.
Jadi kita disarankan untuk mengutamakan solat taubat dan solat hajat di sini selain solat Tahiyyatul Masjid. Kalau berpeluang, boleh jer solat tahiyatul masjid semasa beratur yang lama semasa dah berada di dalam masjid.
Raudhah adalah tempat yang mustajab doa. Jadi utamakan doa minta keampunan dari dosa dosa dan mohon syurga Firdaus tanpa hisab. Selain doa doa dan hajat lain yang diperlukan dalam kehidupan kita di dunia.
Alhamdulillah saya dan Juita serta semua jemaah wanita dapat bersolat di saf hadapan berhadapan mimbar. Telah lama tidak dapat sujud dengan tenang. Ustazah mengawasi kami semua bagi memastikan tiada jemaah dari negara luar yang menyelit. Ustazah juga membimbing dengan membaca doa doa bagi menambahkan penghayatan dan doa kita.
Sebelum ini, bila tidak bersolat di barisan hadapan, setiap kali hendak sujud dah ada jemaah negara lain yang solat di hadapan kita. Biasanya jemaah Malaysia dan Indonesia lebih beradab dan tidak menyelit atau berdiri depan orang lain yang sedang solat. Di sini, kita digalakkan untuk berdoa ketika sujud. Sujud lama lama dan berdoa.
Ketika di Raudhah, kita kena perhatikan tiang yang ada kelopak untuk memastikan kita betul betul berada di dalam kawasan Raudhah. Dulu Raudhah ditanda dengan carpet hijau. Sekarang semua Masjid Nabawi telah dipasang dengan carpet hijau. Jadi kena perhatikan tiang.
Seronok kerana inilah pengalaman saya masuk Raudhah beramai ramai bersama jemaah dalam satu kumpulan. Biasanya saya masuk sendiri atau berdua sahaja. Bila dalam kumpulan, kita akan saling menjaga dan memberi peluang antara satu sama lain.
Saya masih ingat pesan Ustaz Salehuddin Nasir dalam kaset beliau yang saya dengar berulang kali ketika kali pertama mengerjakan umrah ialah sebagaimana kita mahu beribadah di tempat yang baik, begitu juga dengan orang lain. Jadi jangan tamak, bagi ruang dan kelapangan pada orang lain, Allah akan bagi ruang dan kelapangan pada kita.
Selepas semua selesai, kami berkumpul di bahagian belakang Raudhah menunggu semua jemaah lain. Sementara itu, kami bergambar dulu. Hahaha kalau dulu, mana ada gambar dalam ni. Dah datang seorang, lagi lah. Siapa yang nak ambil gambar kita kan. Kata ustazah, bergambarlah membelakangkan Raudhah supaya nampak background Raudhah. Haa betul juga. Best ustazah, sporting sangat.
Kami kemudian berjalan keluar melalui pintu Jibril (pintu 40) kalau tak silap. Kami bergambar di hadapan kubah hijau bersama sama Ustazah Fitri. Kami kemudian berjalan balik berdua sementara jemaah lain masih bergambar di kawasan hadapan pintu masjid dekat dengan pintu keluar Raudhah.
Masya Allah perasaan ketika itu, tidak dapat digambarkan.Betapa gembira dan bersyukur kerana diberi peluang untuk bersolat dan berdoa di Raudhah. Mudah mudahan semua doa doa kami dimakbulkan. Aamiin.
Sebaik keluar dari lift, dah nampak ada plastik ayam goreng Al Baik yang kami pesan dengan Ustaz Tuan Azfar tergantung di pintu bilik. Kami order 3 set dengan harga RM84. Harga satu set dalam Riyal17. Masya Allah sedap sangat ayam Al Baik ni. Seperti biasalah, jemaah Malaysia mesti bawa sos cili dari Malaysia kerana di sini, hanya diberikan sos tomato. Wallaaa sedap...
Boleh klik entri seterusnya di SINI.
Catat Ulasan for "Umrah 14 Januari 2023 Solat Di Raudhah "
Add your comment