Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Umrah 14 Januari 2023 Masjid Quba dan Telaga Iziq



Alhamdulillah hari ini saya akan menyambung aktiviti kami untuk hari ketiga di Madinah. Boleh rujuk entri sebelum ini di SINI. Saya akan membuat beberapa entri untuk ziarah luar kerana terlalu panjang dan banyak gambar yang ingin saya kongsikan supaya kenangan dan rujukan. 

Saya tak pasti dengan orang lain tapi saya setiap kali melihat gambar, ingatan saya pasti menjadi sangat segar dan rindu membara bara. Itu sebab saya lebih mementingkan gambar dari video. 

Kami bersolat subuh di bahagian belakang dekat dengan pintu masuk masjid kerana nak cepat keluar. Sampai sahaja di hotel, kami terus singgah untuk mengambil simple breakfast. Muttawif pesan kena cepat kerana hari ini orang ramai di tempat ziarah dan akan bersesak di masjid Quba. Jadi kami tak mahu terlewat sehingga menyusahkan orang lain untuk menunggu kami tanpa alasan yang munasabah. 


Kami turun dan tunggu di lobi pukul 7.00 pagi. Naik bas untuk ke destinasi pertama iaitu masjid Quba. Masjid Quba ialah masjid yang disebut oleh Rasulullah bahawa sesiapa berwudhu dari rumah dan melakukan solat 2 rakaat di Masjid Quba akan mendapat pahala menyamai satu umrah. Boleh bersolat samada Tahiyyatul Masjid sahaja atau solat Dhuha. Masjid Quba adalah masjid pertama yang dibina Rasulullah sebaik sampai di Madinah. 

Selepas solat, kami berkumpul di mana Ustaz Amirul memberikan sedikit penerangan berkenaan kebun dan telaga iziq yang akan dikunjungi seterusnya. Kami kemudian ke telaga Rasulullah yang merupakan kali pertama saya menziarahnya. Ianya terletak bersebelahan dengan masjid Quba sahaja. 


Dari masjid hanya berjalan kaki sahaja. Terletak di dalam kebun kurma. Sebelum terlupa, di sini, buah tin yang dijual sangat fresh. Mereka bagi sample ketika kita masuk ke kebun. Saya memang suka buah tin, jadi saya beli 1 kilo buah tin untuk dimakan semasa di sini.


Dalam gambar di atas, Ustaz Tuan Azfar memberi penerangan berkenaan bagaimana orang orang Madinah menunggu ketibaan Rasulullah setiap hari dari pagi sehingga ke petang yang panas terik selama berbulan bulan. Ketika itu, tiada alat perhubungan untuk mendapatkan berita bila ketibaan Rasulullah. 

Sebaik tiba di Madinah, Rasulullah tinggal di rumah Khaltoum Ibn Adam selama 4 hari di mana sambil beribadah, baginda mulai membina asas Masjid Quba bersama sahabat untuk mereka bersolat secara berjemaah. Masjid Quba adalah masjid pertama yang dibina selepas baginda menjadi seorang Rasul. 

Di dalam gambar di bawah dikatakan tempat di mana Rasulullah tinggal. Dinding telah dilepa dengan simen kerana terdapat mereka yang fanatik telah mengopek batu bata untuk dibawa balik.




Di tepi tempat Rasulullah tinggal ini terletaknya telaga iziq yang airnya masin dan selepas diludah baginda, air menjadi enak dan boleh diminum. Tapi telaga iziq yang asal telah tiada air kerana airnya dipasang paip dan disalurkan ke telaga iziq yang terletak di sebelahnya. Dalam gambar saya di bawah adalah telaga Nabi yang asal.


Jemaah boleh minum atau mengambil wudhu dengan air di telaga ini. Tapi jangan lah jemaah wanita pula mengambil wudu, nanti terangkat pula aurat. Memang ada jemaah dari negara luar yang mengambil wudu tanpa menghiraukan aurat. 


Dalam gambar di belakang, dikatakan tempat Rasulullah pernah bersolat. Ramai pengunjung yang bersolat di sini sebagai mengambil keberkatan tempat tersebut. 


Alhamdulillah kerana diberi kesempatan untuk melawat dan melihat bekas sejarah semasa Rasulullah tiba di bumi Madinah. Selepas kami balik, tempat ini telah ditutup oleh pihak kerajaan Saudi. Tidak lagi dapat dilawati. Tidak lagi dapat kita melihat tempat Rasulullah tinggal ketika mula mula sampai dan telaga Iziq. 

Tak pasti jika penutupan ini selamanya atau sementara sahaja. Setakat ini dahulu bahagian pertama, ziarah luar masjid untuk kali ini. Nantikan sambungannya di entri akan datang untuk ziarah ke ladang kurma dan makam syuhada Uhud  pula. Salam sayang buat semua... Update: Boleh klik di SINI untuk entri seterusnya. 


Catat Ulasan for "Umrah 14 Januari 2023 Masjid Quba dan Telaga Iziq "