Umrah 14 Januari 2023 Ladang Kurma Dan Makam Syuhada Uhud
Alhamdulillah saya akan menyambung catatan perjalanan umrah bab Ziarah luar Madinah. Kalau entri sebelum ini berkenaan dengan Masjid Quba dan Telaga Iziq di SINI, kali ini kami ke ladang kurma dan Makam Syuhada Uhud pula.
Sebaik sampai di sini, banyak sekali bas bas yang telah ada di tempat parking. Jadi bolehlah agak memang orang telah pun ramai. Bila masuk, memang orang ramai sekali. Memang sangat berbeza dengan ketika saya mengunjungi tempat ini dahulu.
Sebelah luar kedai memang dah cantik. Ada sofa dan tempat duduk dan boleh untuk bergambar. Ada juga dijual bakso yang dikatakan sedap dan boleh duduk makan di kerusi yang disediakan. Tapi saya tak lah teringin nak makan bakso kerana saya memang kurang percaya dengan makanan viral. Bila berjalan ni, semua makanan rasa sedap walaupun ianya tidaklah sesedap mana.
Sesak sangat. Hahaha langsung tak buka shades sebab malas nak menyimpan kerana tangan dah melekit kerana asyik mencuba kurma di sini. Di sini kita boleh makan dan merasa semua kurma sebanyak mana yang kita sukai. Mereka tak kisah pun kalau makan banyak dan beli sedikit. Banyak mana lah yang kita boleh makan kan. Sekadar merasa sebelum membelinya sahaja.
Saya pernah baca komen seorang di socia media yang menulis berkenaan video menunjukkan seorang jemaah wanita yang mengambil kurma dan makan. Perkara ini adalah biasa kerana ianya dibenarkan ya. Bukan mengambil makan curi curi.
Seperti biasa, saya memang suka makan kurma sukkari. Kalau masa bulan Ramadhan, kurma inilah yang menjadi juadah saya berbuka puasa setiap hari bersama air zam zam. Memang sangat sedap dan berlemak. Tapi saya tak jumpa pula Sukkari yang sama seperti yang saya makan di bulan Ramadhan yang biasanya basah basah sedikit.
Ramai bersesak sesak di merata ceruk dalam kedai ini sehingga untuk membayarnya pun, perlu beratur yang agak panjang dan padat. Aduhai kalau musim covid, memang langsung tiada penjarakan. Tidak seperti dulu dulu. Sangat berbeza dengan waktu terakhir saya datang ke sini tahun 2013.
Sebenarnya setiap kali datang umrah Ramadhan, saya banyaknya tidak ikut ziarah luar Masjid Nabawi kerana dah biasa ikut sebelumnya. Kali ini saya ikut kerana nak memperbaharui pengetahuan tentang tempat bersejarah di Madinah dan juga untuk membawa Juita sekali mengenali tempat ini.
Akhir sekali kami mengunjungi Makam Syuhada Uhud di mana Muttawif memberi penerangan berkenaan peperangan Uhud yang terjadi antara kaum muslimin melawan kaum musyrikin. Di sini terdapat makam 70 Syuhada Uhud yang terkorban dalam peperangan Uhud termasuklah bapa saudara Rasulullah iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib.
Kekalahan dalam perang ini adalah kerana pasukan yang berkubu di Bukit Uhud melanggar arahan Baginda Rasulullah supaya tidak meninggalkan tempat masing-masing. Bila di sini kita disunnahkan untuk memberi salam kepada para syuhada Uhud serta mendoakan mereka.
Ini juga adalah pertama kali saya berjalan kaki dan naik ke kaki Bukit Rumat atau Jabal Rumat yang merupakan lokasi 50 orang pasukan pemanah menyerang musuh semasa Perang Uhud.
Kalau biasanya kami hanya ke makan syuhada sahaja dan melihat bukit Rumat dari jauh sahaja. Sebenarnya bila ke sini, elok kalau kita naik ke bukit ini untuk kita menghayati sejarah peperangan ini.
Sebelum naik ke bas, saya minta Juita belikan ais krim kerana tak pernah makan ais krim yang dikatakan sedap. Ya lah saya biasanya ke sini dalam bulan Ramadhan. Memang tak jumpa lah van yang menjual ais krim.
Saya beli sekadar nak merasa. Mula mula Juita tak nak beli kerana saya memang tengah batuk yang teruk sehingga sebelah malam terdapat wheezing. Akhirnya dia beli satu, itu pun kongsi dengan Juita. Hmm tak adalah sedap mana pun.
Kami kemudian beredar untuk balik ke hotel. Masjid lain seperti masjid Qiblatain, Masjid Bilal bin Rabah dan beberapa masjid lagi, bas hanya lalu sahaja sambil muttawif bercerita tentang sejarah untuk satu satu masjid.
Kami sampai balik di hotel dah agak lewat iaitu jam 12.17 tengahari dan azan zohor telah pun berkemundang ketika kami masuk ke masjid. Memang tercungap cungap kepenatan berjalan laju ke masjid.
Kami bersolat di tepi tempat tong air zam zam kerana tempat dalam masjid telah penuh. Tidak mengapa kerana Rasulullah menyebut pahala bersolat di dalam masjid Nabawi adalah 1000 pahala. Jadi kita kena berusaha untuk masuk asalkan dalam masjid.
Kami kemudian menunggu di masjid dan balik hotel hanya selepas solat Asar dan pergi lagi untuk Maghrib sehingga solat Isyak. Kami cepat cepat balik kerana kami akan berkumpul di lobi hotel pukul 8.30 malam untuk ke Raudhah bersama ustazah pembimbing. Jadual kami mengikut NUSUK ialah pukul 10.00 malam.
Nantikan entri kami di Raudhah dalam entri akan datang... Untuk entri pertama, boleh rujuk di SINI. Entri seterusnya boleh klik di SINI.
Catat Ulasan for "Umrah 14 Januari 2023 Ladang Kurma Dan Makam Syuhada Uhud"
Add your comment