Alhamdulillah hari ini hari kedua kita berada di tahun 2023. Percayalah masa akan berlalu dengan pantas. Alih alih dah masuk sebulan berada di tahun baru. Lepas sebulan sebulan, sedar sedar dah pertengahan tahun dan akhir tahun. Lebih lebih lagi bila kita sibuk dengan shopping sempena Tahun Baru Cina, Ramadhan dsb.
Sempena cuti tahun baru yang panjang ini, pagi pagi saya menyediakan mee hoon goreng untuk sarapan. Selepas siap saya sambung ke dapur untuk menyiapkan gulai ayam Kelantan.
Entah kenapa gulai ayam Kelantan sangat sedap di tekak saya. Walaupun cara penyediaannya hampir sama dengan kari ayam sahaja cuma ianya menggunakan rempah gulai ayam yang dibawa dari Kelantan. Rempah gulai di Kelantan kebanyakannya di jual secara timbang.
Gulai ayam ini juga dijual sebagai lauk nasi berlauk pagi. Ditambahkan dengan timun yang dihiris dan sambal Kelantan. Nak lagi sedap, boleh masukkan telur rebus ke dalamnya. Nasi berlauk ini kemudiannya dibungkus atas sekeping daun pisang. Alahaaai bila dah berbungkus, rasanya akan lagi sedap.
Kalau kita berdiri depan gerai orang yang menjual nasi berlauk pagi, memang kita akan macam nak ambil semua lauk gulai ayam, gulai ikan aya dan kerutuk itik serati. Sebab semuanya nampak sedap dengan kuahnya yang elok terbit minyak.
Nak buat gulai yang cantik dan sedap kena belajar juga tekniknya lebih lebih lagi kalau kita tidak pernah melihat ibu kita memasaknya sendiri. Biasanya kalau kita biasa tengok, baru kita akan pandai mengagak.
Itu sebab kalau resipi lauk pauk atau kuih muih Kelantan, saya tidak akan ambil resipi sembarangan kecuali blogger tersebut orang Kelantan atau belajar dari mertua yang berasal dari Kelantan. Saya memang agak memilih kerana lauk pauk Kelantan, hanya orang Kelantan yang boleh tahu rasanya sedap atau tidak.
Jom kita layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba semua….
Gulai Ayam Kelantan
Oleh: Azie Kitchen
Bahan-bahan:
½ ekor ayam - potong sederhana
½ - 1 sudu besar cili kisar
2 sudu besar serbuk rempah gulai ayam Kelantan
1 mangkuk air asam jawa
½ keping gula Melaka atau secukupnya
½ sudu besar garam
1 biji kelapa parut - santan sederhana pekat secukupnya
2-3 biji lada solok - lebih sedap
½ - 1 sudu besar kerisik
Minyak masak
Bahan kisar:
4-5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
Cara cara:
Panaskan minyak secukupnya. Tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan cili kisar dan kacau rata.
Kemudian masukkan serbuk rempah gulai ayam Kelantan. Tumis atas api serderhana sehingga terbit minyak. Masukkan air sedikit demi sedikit dan tumis lagi sehingga terbit minyak berulang kali bagi memastikan rempah benar benar masak.
Setelah rempah garing dan terbit minyak, masukkan secawan air asam jawa, sedikit garam dan gula Melaka.
Setelah bahan tumisan mendidih dan terbit minyak, masukkan ayam. Kacau rata dan tutup periuk sehingga terbit minyak.
Masukkan santan dan sesuaikan rasa. Jika belum cukup, tambahkan garam, air asam dan gula Melaka secukupnya.
Biarkan gulai merenih atas dapur sehingga kuah kelihatan cantik.
Masukkan kerisik dan kacau rata. Akhir sekali, masukkan lada solok dan boleh tutup api.
Nota:
Boleh masukkan telur rebus yang telah dikupas ke dalam gulai ayam.
Cili solok yang akan menambahkan rasa dan aroma gulai ayam Kelantan.
Catat Ulasan for "Gulai Ayam Kelantan Yang Sedap"
Add your comment