Daging Phad Phed Ala Thai Yang Sangat Sedap
Alhamdulillah kerana saya dan anakanda saya, Juita kini baru sahaja malam tadi kembali ke tanah air dari Tanah Suci Mekah kerana menunaikan ibadah umrah. Kami memilih travel agent Wira Saujana Travel yang mana saya pernah dua kali melakukan ibadah umrah bersama mereka.
Terima kasih kepada semua follower saya yang telah membantu saya untuk membuat pilihan travel agen untuk kali ini. Mereka memberi cadangan travel agen untuk saya buat pilihan.
Sepanjang berada di tanah suci, banyak yang kita perlu jaga dari segi tutur kata dan perbuatan. Semua perlu diperhatikan hatta niat di dalam hati. Sentiasa berlapang dada dan memohon kelapangan dari Allah. Jika kita memberi ruang dan melapangkan urusan orang lain, Insya Allah kita juga akan diberikan kelapangan.
Bak kata ustaz, sekembali dari melakukan ibadah umrah atau Haji pun, tapi masih perlu menjaga perbuatan dan tutur kata. Jika segalanya masih berada di takuk lama dari segi akhlak dan tahap ibadah, bermakna umrah dan Haji kita menpunyai sedikit masaalah.
Insya Allah, jika ada kesempatan dan ruang masa, saya akan kongsikan pengalaman umrah saya yang kedua di luar bulan Ramadhan ini. Insya Allah. Kali pertama tahun 2004 yang pastinya suasana sangat berbeza kerana ketika itu hotel hotel di sekeliling Masjidil Haram belum lagi dirobohkan. Jadi banyak hotel berdekatan dengan masjidil haram.
Lintas jalan sahaja dan sampai ke pintu masuk masjid. Orang mengerjakan umrah pun tidak seramai sekarang, dapat mencium Hajar Aswad berbelas kali, dapat solat di dalam Hijir Ismail dengan mudah juga. Alhamdulillah atas nikmat dan kurniaanNya. Ketika ini hanya dapat memandang sahaja Hajar Aswad dari jauh. Nak dekat pun dah susah.
Ohh sebelum masuk bab resipi, saya ingin kongsikan hari ini saya menggunakan kuali non stick Vantage saiz 28 cm yang sangat sesuai untuk kegunaan harian. Tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Sesuai untuk memasak setengah kilo daging.
Yang paling saya suka ialah semua produk Vantage adalah ringan dan tidak menyakitkan pergelangan tangan saya yang sebelum ini menpunyai masalah carpal tunnel. Terpaksa beberapa kali bertemu doktor pakar untuk masalah ini. Jadi sebelum anda mendapat masalah ini, baiklah berhati hati terutama mereka yang telah berusia.
Saya dulu selalu tertukar, ingatkan paprik dengan phad phed adalah lauk yang sama. Ada yang eja dengan Phat Phet, ada yang tulis Phad Phed. Tak pasti yang mana satu betul. Tak kisahlah sebab ianya merujuk kepada masakan yang sama. Tapi Phad Phed dengan paprik lain ya.
Walaupun nampak macam hampir sama tetapi bahan bahannya berbeza. Lauk Phad Phed ini lebih berwarna kekuningan sedangkan paprik lebih berwarna kemerahan seperti daging masak merah.
Kalau anda belum pernah merasa lauk Phad Phed, haa boleh cuba sendiri kerana memasaknya pun tak lah susah sangat. Pung pang pung pang dah siaap. Yang lama sedikit pun sebab nak menunggu daging empuk sahaja. Jadi apa lagi? Jom lah cuba resipi phad phed ni tau.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa untuk melihat video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
400 gram daging - hiris nipis
1 sudu kecil kerisik
½ keping asam keping
4 helai daun limau purut
1 biji bawang holland - hiris
Sayur - kacang buncis, bunga kobis, karot, cili merah
Gula perang - sukat
Garam - sukat
¼ cawan minyak masak
Bahan kisar:
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
½ sudu kecil belacan
1 inci halia
Sedikit lengkuas
Sedikit lada hitam
1 inci kunyit hidup
2-3 batang serai
7 tangkai cili padi
5 tangkai cili kering - ½ sudu besar cili kisar
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar dan serai sehingga terbit minyak.
Masukkan daging dan masak sehingga daging empuk.
Setelah daging empuk, masukkan asam keping, kerisik, garam, serbuk lada hitam dan gula perang.
Masukkan daun limau purut, karot dan bunga kobis. Kacau sehingga agak agak karot separuh lembut.
Akhir sekali, masukkan bawang Holland dan sayur sayuran lain.
Kacau sehingga mesra dan sebati. Bolehlah tutup api dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih panas panas.
Nota:
Jika menggunakan ayam, goreng dahulu setengah masak.
Catat Ulasan for "Daging Phad Phed Ala Thai Yang Sangat Sedap"
Add your comment