Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Che Mek Molek



Senario zaman sekarang di mana caci nista secara terang terangan secara berjemaah adalah sesuatu yang sangat membimbangkan. Hatta agamawan juga tidak terlepas dari dikecam dan dicaci maki. 

Saya melihat seorang ustaz yang sangat popular dan disegani telah post, berkenaan seorang pemimpin politik ketika berkempen menggunakan ayat ayat Al Quran tapi beberapa minit kemudian ceramah mula bertukar dengan bahasa yang kesat seperti menggelar seseorang sebagai bodoh dsb. Mungkin sebab nasihat itu berkaitan dengan seorang ahli politik, itu yang dia dikecam. Rasanya kalau orang biasa, tak menjadi apa apa kerana teguran itu betul. Kita tidak boleh sama sekali untuk mengatakan orang lain sebagai bodoh. 

Amat menyedihkan juga bila orang orang agama ditulis dengan perli dan sindiran. Orang agama masih diperlukan untuk menegur perkara yang dirasakan tidak betul. Saya bukan lah orang agama tetapi saya percaya bila kita sakit atau ada kematian, orang orang agama lah yang perlu dicari. Bukan pemimpin politik. 

Penggunaan bahasa seperti “lebai” untuk menggelarkan orang agama dalam politik juga rasa seperti tidak kena. Ianya memberi pandangan tidak baik pada orang bukan Islam apabila mereka melihat perkara ini. Seolah merendahkan para agamawan. 

Memang benar tidak semua ustaz dan ustazah yang betul pandangan politik mereka. Tapi kita perlu menghormati mereka. Jika tidak setuju, kita boleh sahaja berdiam diri atau terus unfollow sahaja. Tak perlu menulis komen yang agak kasar dan keterlaluan. Maaf jika ada yang tidak bersetuju dengan apa pendapat saya. 


Sama lah juga bila berbeza pandangan dengan saya, terus mengancam untuk unfollow blog saya. Secara terus terang, bila kita bergantung sepenuh kepada Allah, kita tidak takut atau mengharap pada manusia. 

Berapa ramai manusia ingin menghalang tapi jika Allah tidak izinkan berlaku, ianya tidak akan berlaku. Begitu juga sebaliknya. OK setakat ini dahulu, sekarang kita beralih pada bab masakan pula. 


Sebenarnya agak lama juga saya tak membuat kuih che mek molek ini. Kalau tak ramai orang di rumah, memang saya tak akan buat kuih tradisional seperti ini. Takut tak habis. 

Membuat kuih ini sangat mudah sangat kerana hanya perlu rebus ubi keledek sehingga lembut sahaja. Sukatan tepung gandum itu diagak agak kerana kita perlu tengok sehingga ianya boleh dibentuk. Kalau sikit gandum, adunan akan melekat di tangan. Kalau terlebih pula, nanti tak berapa sedap. 

Jom layan resipi yang saya guna hari ini dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....


Kuih Chek Mek Molek
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
275 gram ubi keledek lenyek
½ cawan tepung gandum + 1-2 sudu besar 
Gula secukupnya

Cara cara:
Rebus ubi keledek sehingga empuk. Buang kulit dan tumbuk sehingga lumat.

Masukkan tepung gandum secukupnya dan gaul rata sehingga sebati. Ambil dalam 45-46 gram dan bulat bulatkan.


Kemudian ditekan supaya menjadi seperti mangkuk. Masukkan 1 sudu kecil gula dan tutup kemas supaya gula tidak bocor ketika digoreng. 



Panaskan minyak dan goreng atas api sederhana sehingga berwarna kuning keemasan dan agak agak gula telah sedikit cair. Angkat dan tos.  



Nota:
Ada tips untuk masukkan sedikit tepung beras untuk menjadikan bahagian luar rangup dan dalam masih lembut. 

Catat Ulasan for "Kuih Che Mek Molek"