Gulai Kuning Udang Dengan Ubi Badak stail Kelantan
Berpuluh tahun juga saya tak makan ubi badak dan lain lain ubi kampung yang biasanya akan terdapat dengan banyak di musim banjir. Musim biasa agak sukar untuk menemuinya.
Kali ini ubi badak yang digunakan ialah ubi badak nasi yang sedap dimakan selepas direbus dan dicicah dengan kelapa parut. Ubi badak ini dibawa oleh abang saya dari kampung.
Sejak beberapa hari ini, berita di media socia banyak berkongsikan keadaan banjir yang agak teruk tahun ini di Kelantan dan Terengganu. Rumah sahabat saya di Wakaf Stan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini juga, telah naik air sehingga paras anak tangga rumah.
Sedih melihatkan video di mana air sehingga paras pinggang dan ada yang hampir menenggelami kereta kereta yang tidak sempat dialihkan ke kawasan tinggi. Kawasan Besut juga terputus hubungan dengan kawasan sekitar kerana jalan jalan dinaiki air. Banyak kawasan telah diputuskan bekalan elektrik.
Sejak semalam saya agak sedih membaca kisah 3 beradik yang mati terkena renjatan elektrik ketika mengharungi banjir di kawasan rumah mereka. Memang sebak. Maklumlah musim banjir pastinya kita tidak pasti kalau ada wire elektri yang rosak dsb.
Saya masih ingat pengalaman menginap di sebuah hotel di bandar Johor Bahru sewaktu menpunyai urusan kerja di BNM Johot Bahru. Saya bangun mengambil wudu untuk solat Subuh. Dalam keadaan bilik hotel masih gelap, saya cuba untuk membuka standing light dan tanpa sedar, saya terpijak wire lampu tersebut di lantai.
Saya merasa seperti aliran elektrik yang sangat tajam menusuk ke seluruh badan. Saya cepat cepat menarik diri dari situ dan tutup lampu. Mungkin ada wire yang rosak pada lampu tersebut. Saya menggeletar dan merasa sangat trauma mengingati kejadian itu.
Alhamdulillah dan syukur kerana saya tidak mengalami apa apa kecederaan ketika itu. Jadi di musim banjir ini, kita perlu lebih lagi berhati hati kerana masalah kerosakan wire elektrik boleh terjadi.
Hari ini saya ingin kongsikan satu resipi orang Kelantan iaitu gulai kuning kunyit kkuas (lengkuas) udang dengan ubi badak. Resipi masakan tradisional sangat ini. Memang tak jumpa tempat lain. Kalau nak rasa memang kena masak sendiri.
Ketika musim tengkujuh ini, banyak ubi Badak dijual di pasar pasar. Jadi kalau jumpa, boleh beli. Separuh digunakan untuk masak gulai kuning udang dengan ubi badak. Wallaaa.
Kalau gulai seperti ini tak perlu makan dengan banyak lauk. Cukup sekadar ikan kering goreng, telur masin, ulam dan sambal belacan Kelantan sahaja. Dah cukup sedap dan rasa seperti makan di Kelantan.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….
Gulai Kuning Udang Dengan Ubi Badak
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
½ biji ubi badak - potong dadu kecil
10 ekor udang
½ sudu besar cili kisar
1 asam keping
1-2 biji cili hijau
1 ½ cawan santan - guna 1 kotak santan kotak + air secukupnya
Sedikit gula
Garam
Bahan kisar:
4 biji bawang merah
½ inci lengkuas
2 inci kunyit hidup
Cara cara:
Kupas kulit ubi badak dan dipotong dadu. Basuh dan bilas beberapa kali sehingga hilang lendir pada ubi.
Masakkan bahan kisar, cili kisar dan kunyit hingga masak dan air sedikit kering. Masukkan santan dan asam keping.
Bila hampir mendidih masukkan ubi badak. Bila ubi empuk, masukkan udang, sedikit gula, garam dan cili hijau. Kacau rata seketika. Tutup api.
Nota:
Setelah sejuk, kuah akan menjadi sedikit pekat. Jadi kuah kena sedikit cair sebelum ditutup api.
Ubi badak sedikit berlendir jadi kena dibasuh dan dibilas beberapa kali.
Catat Ulasan for "Gulai Kuning Udang Dengan Ubi Badak stail Kelantan"
Add your comment