Terung Sambal Berlado
Assalamualaikum semua. Apa khabar? Hari ini adalah hari keempat kempen PRU15 bermula. Semoga semua jentera pilhanraya tidak mengira dari mana parti dapat mengekalkan keharmonian semasa berkempen.
Jangan ada provokasi, jangan kutuk mengutuk. Jangan berbohong dan menipu kerana segala kata kata yang keluar dari mulut akan dihitung dan dicatat dalam buku catatan amal seseorang. Sebaliknya berkempen lah secara sihat.
Kita pula sebagai pengundi, jangan lupa untuk menjalankan tanggungjawab anda untuk mengundi kerana mengikut data, hanya 60% kalangan orang Melayu yang keluar mengundi, terutama di bandar. Ini berbeza dengan orang China dan India yang peratusan keluar mengundi lebih tinggi.
Mungkin tidak keterlaluan dikatakan kerajaan dan pemimpin majoriti dipilih oleh masyarakat luar bandar. Peratusan keluar mengundi mereka lebih tinggi. Malahan saya tahu beberapa keluarga yang memang tidak pernah keluar mengundi. Bukan kerana tidak ambil peduli tapi kisah jer bercakap bab politik di sana sini cuma tidak ada rasa tanggungjawab untuk mengundi. Sangat menyedihkan. OK sekarang kita masuk pula bab masakan.
Apa sahaja masakan berlado memang kegemaran saya. Saya suka makan kerana sedap dan enak. Hahaha dan saya suka memasaknya kerana mudah dan cepat serta bahan bahan yang ringkas. Siapa geng dengan saya?
Kalau sayur pula, saya suka terung terutama yang jenis isinya halus mulus. Jadi oleh kerana kedua duanya kesukaan saya, iaitu terung dan sambal berlado, maka hari ini saya menyediakan terung sambal berlado.
Sedikit petua supaya terung kekal cantik warnanya, ialah semasa digoreng kena selalu dikacau kacau sehingga sedia untuk diangkat. Jadi warnanya tidak lebam dan nampak lebih menarik warna ungunya dalam hidangan kita. Cer tengok dalam gambar di bawah...
Saya masih menggunakan resipi yang sama, cuma kali ini saya meletakkan sedikit sos tiram. Sos tiram ini dikira sebagai perasa, sama juga dengan serbuk pati ayam. Ia menambah rasa dan keenakan masakan kita.
Jadi kalau nak letak, bolehlah letak. Kalau tak suka atau tak ada stock, tak perlu letak. Kita yang buat dia kan. Jadi ikutlah gerak hati kita masa memasak tu nak letak apa.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Terung Goreng Berlado
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
4-5 biji terung - belah 2
½ biji bawang besar - hiris
1 sudu besar gula
1 sudu besar sos tiram
½ sudu kecil garam atau secukup rasa
Serbuk perasa
1 keping asam keping
Minyak masak
Bahan kisar kasar:
5 biji cili merah merah
5-6 biji cili padi - ikut pedas disukai
5 biji bawang mera
3-4 ulas bawang putih
Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng terung. Sentiasa dikacau supaya warna terutama bahagian kulit terung akan cantik dan tak lebam. Perlahankan api dan angkat. Ketepikan.
Kurangkan sikit minyak jika perlu dan tumis bahan kisar kasar (saya dah terlebih kisar) sehingga terbit minyak. Masukkan sos tiram dan asam keping.
Masukkan gula, garam, serbuk perasa. Akhir sekali masukkan bawang besar hiris dan terung yang digoreng tadi. Kacau rata. Tutup api.
Nota:
Jika minyak berlebihan, boleh ceduk keluar.
Untuk warna terung cantik dan tidak lebam, sentiasa dikacau ketika menggoreng terung.
Catat Ulasan for "Terung Sambal Berlado"
Add your comment