Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Wajik Durian Musang King dan PRU15



Alhamdulillah dan Insya Allah esok kita semua rakyat Malaysia akan mengundi dalam PRU15 untuk memilih kerajaan yang akan memerintah. Jika dalam PRU14, kita menpunyai 2 gabungan parti sahaja iaitu BN dan Pakatan Harapan (PH) tapi kali ini kita ada satu lagi gabungan parti utama iaitu Perikatan Nasional (PN) dengan parti utama di dalamnya adalah Bersatu dan PAS. 

Ada juga gabungan parti Pejuang tapi rasanya ia tidak memberi saingan yang cukup untuk kali ini disebabkan gabungan ini baru sahaja diwujudkan dan tidak ramai muka yang berkaliber selain Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Secara jujur tidak seperti PRU dulu dulu, kita dah pasti dari awal gabungan mana yang hendak diundi. Dulu dulu juga, saya tidak memilih calon, asal ianya calon parti pilihan, itulah yang akan diundi. Jika di kampung saya, yang pasti kedua calon adalah calon Melayu.

Kali ini adalah kali pertama saya mengundi di luar kampung halaman saya. Kali ini saya diberi pilihan ramai calon dari semua gabungan parti termasuk calon bebas dan calon bukan Melayu. Jadi saya berhadapan dengan persoalan memilih calon atau memilih parti bila kedua duanya tidak "match" dengan pilihan saya. 

Jadi akhirnya saya membuat keputusan memilih calon, bukan parti. Lagi pula saya percaya tiada gabungan parti yang akan menang dengan majoriti 2/3 tanpa mereka kemudiannya perlu bergabung untuk menubuhkan kerajaan. 

Undi adalah pilihan masing masing. Setiap warga negara yang layak mengundi, sepatutnya keluar mengundi untuk memilih kerajaan. Saya tahu sebelum ini ada ramai yang tidak keluar mengundi termasuk mereka yang dikira berpelajaran dan berkerjaya bagus. Tak pasti kenapa mereka tidak berbuat begitu. Mungkin rasa tidak ada "class" untuk beratur panjang panjang untuk mengundi. Tak pasti. Hanya mereka yang tahu.

Bila mengundi hak masing masing dan pilihan masing masing untuk memilih parti mana dan calon mana. Jangan kerana undi, kita bergaduh sesama keluarga. Ada yang left group dalam group WhatsApp keluarga. 

Untuk apa, siapa pun yang menang, adakah mereka yang ada ketika anda susah, ketika anda mengadakan kenduri kendara. Memang ada golongan yang taksub, tak kira ribut taufan pun, tetap nak undi parti ini. Kira hidup mati lah. Adik beradik dan keluarga pun dah jadi nombor dua. Silap silap tak bertegur sapa. Keluarga saya pernah alami macam ini bila mana arwah ibubapa saya dipulau oleh keluarga mereka sendiri kerana berlainan parti. 

Haa lagi satu, zaman socia media ni saya kira ramai yang cerdik pandai dan matang walaupun ternyata bukan semua. Bila menulis komen dalam facebook atau Instagram orang lain jangan anggap orang lain tak cerdik dengan komen macam macam. Kita tak tahu kalau tuanpunya fb atau Instagram tu berpelajaran tinggi dan berjawatan tinggi atau lebih kaya dari anda. Jangan melekeh dan merendahkan orang lain. Hormati perasaan orang lain walaupun kita rasa tidak bersetuju dengan kecenderungan parti yang dipilih.

Lagi satu, ada pulak yang kononnya nak cari blog resipi yang lain. Haa kiranya dengan kata lain, tak nak baca blog saya lah selepas sokongan saya pada seorang calon. Nak saya jawab dengan lebih selamba. Siiilaaaa kaaan. Hidup kan pilihan. 

Bukan saya charge fee pun untuk masuk blog saya. Lebih lebih lagi mereka yang berkira, bila masuk blog saya nak picit satu iklan yang keluar pun berat jari tu. Nak resipi free tapi berkira. Lagi pun saya percaya, rezeki ditentukan Allah. Berapa ramai yang tidak support, rezeki tetap ada bila Allah menentukannya sebagai rezeki kita. OK cukuplah dulu setakat ini. Kita masuk pula bab resipi, nanti ada yang kata saya berceloteh panjang bab keluarga mak esah pula. 


Hari ini saya menyediakan kuih wajik durian yang sangat sedap. Menggunakan durian musang king pulak. Hahaha. Saya memang obsess dengan resipi tradisional seperti kuih wajik ini. Wanita kalau nak jadi hebat di dapur kena pandai memasak semua jenis masakan dan kuih muih moden dan tradisional tau. 

Saya buat hanya separuh adunan sahaja, itu pun dah makan sehingga menambah nambah. Tapi kuih muih ini memang secara azali manis. Kalau bukan manis, macam tak kena rasa kuih. Lagi pula kuih ini dipanggil juga nasi manis kalau di Kelantan. 

Jadi ianya agak manis bagi golongan warga emas. Jadi jika suka, bolehlah dikurangkan sedikit gula. Kalau suka manis, ikut sahaja resipi kerana gula yang banyak ini juga menjadikan kuih ini tahan lama dan sesuai untuk dijadikan hantaran bagi majlis tunang atau kahwin. 

Jom layan resipi yang saya gunakan hari ini dan video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...



Kuih Wajik Durian Musang King 

Bahan-bahan:
600 gram beras pulut
300 gram gula melaka
300 gram gula pasir
500 gram santan
150 gram durian
½ sudu kecil garam
2 helai daun pandan

Cara cara:
Rendam beras pulut selama 30 minit atau lebih. Kukus selama 10 minit atau sehingga masak. Nota: boleh juga tanak seperti biasa. Angkat dan sejukkan pulut. 

Masukkan santan, daun pandan, gula putih dan gula kabung ke dalam kuali. Kemudian kacau atas api kecil sehingga sebati dan menjadi berbuih likat.


Sebelum masukkan pulut, boleh rasa kemanisan adunan tersebut. Jika perlu, boleh tambah atau kurangkan gula kabung dan gula putih lagi.

Kemudian masukkan pulut ke dalam kuali tadi. Kacau sebati sehingga kering dan rasa berat bila dikacau. Jika suka, boleh masukkan isi durian. 



Ketika dikacau, pulut boleh dilipat, menandakan ianya telah boleh diangkat.  


Angkat dan tuang dalam acuan yang disukai. Boleh lapik dengan daun pisang dan dilenser keliling acuan dengan sedikit minyak supaya mudah dikeluarkan dari acuan. 


Setelah sejuk, terbalikkan kuih wajik ke atas pinggan dan bolehlah dipotong mengikut yang disukai. Jika suka, boleh lumur sedikit minyak dipisau supaya lebih kemas potongannya. 


Nota:
Ada 2 jenis kuih wajik. Ada yang lembut pulutnya dan ada yang jenis keras berbiji. Kalau suka yang lembut, pulut boleh ditanak atau dikukus lebih lama sedikit. 



Catat Ulasan for "Kuih Wajik Durian Musang King dan PRU15"