Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Cencaru Sumbat Dengan Air Asam Yang Sedap



Setiap kali melihat cucu saya Aliya Hajar minum susu, saya akan melihat betapa Maha besarnya Rahmat Allah. Setiap orang didatangkan rezeki tersendiri. Setiap anak dilahirkan dengan rezeki sendiri bila mana Allah memberikan susu ibu kepada setiap anak. 

Alhamdulillah setakat ini, cucu saya Ammar Yahya menyusu badan sepenuhnya sehingga berumur 2 tahun. Saya sendiri hanya Aween sahaja saya dapat menyusu sepenuhnya sehingga dia berumur 6 bulan. Aliya juga menyusu badan sepenuhnya. Malahan Haider juga mendapat bekalan susu dari Nana. Jadinya Haider dan Aliya adalah adik beradik susuan.

Ya setiap kita dilahirkan dengan rezeki yang tertulis. Tak perlu risau. Cuma dalam kes susu anak anak, kita yang tak tahu caranya untuk memastikan susu badan terus ada. Caranya ialah ibu kena bertenang dan terus memberi sudu badan walaupun kelihatan seperti tiada air susu yang keluar dari hari pertama kelahiran. 

Dengan cara itu, akan merangsang penghasilan susu badan yang banyak apa bila lebih kerap anak menghisapnya. Saya bercakap berdasar pengalaman sendiri. Anak anak lain hanya menyusu sehingga 3-4 bulan sahaja, itu pun dah dicampurkan secara bergilir dengan susu tepung. 

Sehingga anak yang akhir, nurse di SJMC beria ia mengajar dan menggalakan saya memberi susu badan. Memang terbukti dengan teknik yang betul, susu badan akan banyak. 

Jadi kepada ibu yang bakal melahirkan, tanam lah azam untuk memberi susu sendiri selain khasiatnya juga dapat banyak menjimatkan belanja. Maklumlah bersalin ini memerlukan perbelanjaan yang banyak selain dari wang untuk membayar kos bersalin yang menelan belanja dari RM5-10K jika bersalin di hospital swasta. OK sekarang kita masuk pula bab masakan iaitu ikan cencaru sumbat. 


Serious lah hari ini saya makan nasi putih menambah hingga 4 kali. Makan nasi putih dengan ikan cencaru sumbat dan air asam sahaja. Tak sentuh lauk lain pun. Dah lama tak rasa berselera seperti hari ini. Rasa macam tak boleh berhenti menambah nasi, kalau ikutkan saya boleh habiskan ketiga tiga ekor ikan cencaru tu. Tapi kena ingat juga dengan suami dan anak menantu yang belum makan.

Air asam saya hari ini pun cukup sedap dan secukup rasanya. Saya guna asam jawa tanpa biji yang dibeli di Sg Petani. Sedap rasanya asam jawa ni sebab tiada campuran bahan lain. Agaknya bila kita tak berselera, makan lauk masam masam manis masin ini agaknya yang menaikkan selera. 

Jom layan resipi dan cara penyediaanya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Ikan Cencaru Sumbat
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
3 ekor ikan cencaru - saiz sederhana
¼ sudu kecil pes asam jawa atau secukupnya
1 helai daun limau purut hiris - opsyenal
1 sudu besar cili kering kisar - opsyenal
1 sudu besar gula
Garam
Serbuk secukup rasa
Minyak masak

Bahan kisar kasar:
1 ½ biji bawang besar
2 ulas bawang putih
4 biji cili merah
4-5 biji cili api – lebihkan jika suka pedas
1 batang serai - opsyenal

Cara cara:
Ikan cencaru dibelah belakang, tidak sampai putus. Lumur ikan rata rata dengan sedikit garam termasuk dalam perut. 

Kisar bahan kisar secara kasar dengan sedikit minyak masak dan air sekadar blender boleh mengisar. Nota: Lebih sedap jika ditumbuk.

Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar seketika supaya sambal sedikit masak. Masukkan air asam, gula, garam dan serbuk perasa secukup rasa. Masak sehingga sambal kering. Nota: ada orang letakkan sedikit tepung jagung supaya sambal tidak berderai ketika digoreng. Saya tak letak.

Akhir sekali masukkan daun limau purut, jika suka. Kacau dan tutup api. Biarkan sejuk seketika.


Setelah sejuk, sumbat sambal ke dalam ikan dengan secukupnya, biar nampak gemuk sikit.

Panaskan minyak dan goreng atau bakar menggunakan air fryer. Jika menggunakan air fryer, renjis sedikit minyak supaya ikan tidak terlalu kering. 

Jika menggoreng biasa, pastikan minyak sekadar tenggelam separuh ikan supaya sambal tidak terkeluar dari ikan semasa digoreng. Balikkan ikan dan goreng lagi sehingga masak.  



Angkat dan hidangkan ikan cencaru sumbat bersama air asam, jika suka.

Nota:
Jika guna air fyer, bakar pada suhu 180C selama 15 minit. Kemudian terbalikkan. Masak lagi selama 15 minit. Jika suka garing, boleh lebihkan masa membakar selama 5 minit lagi.

Jika suka, boleh masukkan 1-2 sudu besar cili kering kisar dan 1 batang serai dalam bahan kisar. 


Petua yang dikongsikan supaya sambal tidak terkeluar ialah dengan melumurkan telur yang dikocak pada ikan dan juga pada permukaan sambal.


Jika suka, boleh masukkan sedikit kelapa parut ke dalam sambal.  




Air Asam

Bahan lenyek:
½ biji buah tomato - hiris
½ biji bawang besar - cincang
4-5 biji cili api - hiris

Bahan lain:
1 sudu besar gula 
Garam secukupnya
Asam jawa - bancuh dengan air

Lenyek hingga hancur kasar kasar sahaja. Masukkan air asam jawa dan gula serta garam secukup rasa. Sesuaikan rasa dan biarkan seketika supaya ianya menjadi cukup mesra dan sebati. Nota: jika suka, masukkan dalam peti ais sebelum dihidangkan.


Sos Kicap

Bahan tumbuk: 
5 biji cili api merah
2 biji bawang merah 
¼ biji tomato - dadu

Bahan lain:
2 biji limau kasturi
Kicap lemak manis secukupnya 

Perah air limau kasturi ke dalam bahan tumbuk. Masukkan kicap secukupnya. Kacau rata.  


Catat Ulasan for "Ikan Cencaru Sumbat Dengan Air Asam Yang Sedap"