Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Pulut Dengan Ikan Rebus Goreng



Assalamualaikum semua. Selamat menyambut hari kemerdekaan negara yang ke65 tahun. Semoga negara kita terus merdeka dari penjajahan terutama penjajahan minda yang negatif. Bukan sekadar meraikan pembebasan negara dari penjajah. Semoga rakyat Malaysia kekal menjadi rakyat yang berilmu dan dapat membantu membangunkan negara menjadi sebuah negara yang cemerlang dalam semua bidang.

Kemajuan sesebuah negara tidak akan tercapai tanpa pembangunan modal insan yang sejajar. Di dalam hal ini, bidang pendidikan dan akademik amatlah perlu diutamakan. Adalah sesuatu yang membimbangkan bila melihat survey yang menunjukkan 72% lepasan SPM terutama anak anak Melayu yang tidak mahu meneruskan pengajian kerana mahu menjadi Influencer. Juga alasan kalau bekerja makan gaji pun, gaji sedikit sahaja. 

Bayangkan lah kalau ini terjadi secara berterusan, apa akan terjadi 10 tahun akan datang pada pejabat pejabat kerajaan dan pejabat pentadbiran, pastinya kekurangan anak anak Melayu. Kerana yang saya rasa, anak anak China dan India, masih meneruskan pengajian walaupun aktif menjadi Influencer atau melakukan kerja kerja sampingan. 

Jadi saya amat berharap sebagai ibubapa untuk kita membantu anak anak membuat keputusan yang tepat demi masa depan mereka. Jangan tersalah langkah kerana menjadi influencer adalah sesuatu yang tidak kekal dan kadang kadang ianya hilang bila seseorang telah berusia, bila kecantikan telah hilang jika berkaitan dengan bidang kecantikan. OK sekarang kita masuk pula bab masakan yang ingin saya kongsikan hari ini. 

Sejak bersara ini, saya banyak menggunakan periuk tekanan untuk memudah dan mempercepatkan kerja kerja di dapur. Kalau memasak pulut ini, sangat cepat. Hanya 7 minit sahaja. Jadi sementara itu, kita boleh buat kerja kerja lain.  


Saya memang penggemar makanan sarapan di Kelantan seperti nasi berlauk, nasi kerabu, nasi dagang. Selain itu ada juga pulut pagi yang dimakan dengan ikan kering atau ikan rebus goreng. 

Pendek kata di Kelantan, lebih menjimatkan jika sarapan dibeli sahaja. Pertama lebih murah berbanding dimasak sendiri di rumah dan kedua dapat dibeli pelbagai jenis makanan sarapan. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...


Pulut Dengan Ikan Rebus Goreng
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Beras pulut
Ikan rebus
Kelapa parut muda + garam

Cara cara:
Beras pulut dibasuh bersih dan masukkan air separas dengan pulut dan masak dengan periuk tekanan Noxxa selama 7 minit.


Ikan direbus dengan 1 sudu besar garam dan 4-5 keping asam keping. Rebus sehingga air hampir separuh. Tutup api dan biarkan semalaman. Panaskan minyak dan goreng sehingga garing.

Hidangkan pulut dengan ikan rebus goreng dan kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam. 


Catat Ulasan for "Pulut Dengan Ikan Rebus Goreng"