Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Minyak Sedap Menggunakan Periuk Noxxa



Nasi minyak adalah nasi yang sangat nostalgia buat saya. Dari kecil dulu, saya tak kenal, nasi lain selain dari nasi putih kecuali nasi minyak. Bila mengunjungi rumah mak saudara masa raya, inilah nasi yang dimasak.


Kiranya setahun sekali jer makan nasi minyak ni kalau kenduri di kampung saya dulu pun, orang kampung hanya menyediakan nasi putih. Mungkin lah ada tempat istimewa mereka menyediakan nasi minyak untuk majlis kawin.

Jadinya sehingga kini bila nak memasak nasi, saya pasti akan memilih nasi minyak. Bukan nasi tomato, bukan nasi beriyani juga bukan nasi lemak. Nasi ini semua nasi baru yang saya kenal setelah saya berkahwin dan berpindah di ibu kota.

Hari ini adalah kali pertama saya memasak nasi menggunakan periuk tekanan Noxxa. Memang sangat cepat disediakan. Pendek kata kalau ada tetamu, tak sampai setengah jam dah boleh siap masak.

Tapi kalau anda tidak menounya periuk tekanan, boleh jer masak atas dapur biasa. Tumis semua bahan dan satukan semua sekali di dalam periuk nasi elektrik. Masaklah seperti biasa.

Nasi minyak saya hari ini sangat elok kejadiannya dan cukup lembut. Kami menggunakan beras basmathi jenis steam menjadikan nasi lebih lembut. Saya cuma rendam dalam 20 minit sebelum dimasak.

Boleh klik di SINI untuk melihat gandingan nasi minyak saya iaitu Ayam Masak Merah, Ayam Masak Merah Keeper Recipe di SINI  dan di SINI untuk Acar Timun Masak. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…


Nasi Minyak Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
3 cawan beras basmathi
3 cawan air
1 cawan susu cair
½ cawan kismis 
2 helai daun pandan - siat dan simpul
1 batang serai - titik

2 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar minyak jagung
½ sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk secukup rasa
Pewarna kuning telur

Bahan Hiris:
1 inci halia - hiris kasar
4 biji bawang merah 
2 ulas bawang putih 

Rempah tumis
2 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum cengkih
3 biji pelaga

Cara cara:
Rendam beras dalam 20-30 minit. Tos dan ketepikan.

Tekan fungsi Stir Fry dan masukkan minyak sapi dan minyak. Masukkan serai, rempah 4 sekawan dan bawang serta halia hiris. Tumis sehingga bawang keperangan.

Tutup fungsi Stir Fry. Masukkan susu, air, garam, serbuk perasa dan daun pandan. Masukkan beras.

Tekan fungsi RICE 8 minit dan masak sehingga cukup masa. Bila nasi dah masak, Lepaskan wap, masukkan kismis dan titiskan pewarna. Dan tutup semula periuk. Biarkan sehingga 8-10 minit lagi sebelum nasi digembur perlahan lahan.

Angkat dan kacau dengan perlahan lahan. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
Jika masak 5 cawan beras, saya guna 5 cawan air dan 1 cawan susu, 3 sudu besar minyak sapi dan 1 sudu kecil garam.

Guna beras Basmathi steam, nasi minyak menjadi lebih lembut.




Catat Ulasan for "Nasi Minyak Sedap Menggunakan Periuk Noxxa"