Ayam Masak Merah Pasti Sedap A Keeper Recipe
Satu lagi resipi ayam masak merah yang akan saya letak sebagai a keeper recipe untuk ayam masak merah. Sekarang ini resipi dan masakan meriah di media sosial. Semua orang berlumba lumba untuk berkingsi resipi. Tidak seperti dulu, saya terpaksa mengendeng ngemdeng untuk mendapat resipi. Kadang kadang mengambil masa bertahun untuk melengkapkannya.
Resipi menjadi rahsia turun temurun dari emak kepada anak. Kalau mereka kongsikan pun, dari cakap mulut jer kita lah yang terpaksa menyalin dan mengolahnya sendiri.
Resipi juga berdasarkan sukatan agak agak atau campak campak sahaja kerana anak anak melihat ibu mereka memasak, jadi mereka tahu berapa banyak bahan yang digunakan tanpa perlu menyalin. Tapi kalau kita yang tak pernah melihat bagaimana ianya dimasak, memang terpaksalah membuatnya secara trial and error
Ayam masak merah adalah lauk kegemaran kerana ianya sesuai digandingkan dengan nasi minyak, nasi briyani, nasi lemak atau nasi putih juga. Untuk resipi nasi minyak, boleh klik di SINI.
Saya masak lauk ini semasa kedatangan sahabat saya iaitu Puan Nani Rostam, suami Haji Zainal dan anak anak mereka saya memang adore Puan Nani yang sangat multi talented ibu kepada 7 orang anak ini sangat pandai bergaya dan sangat anggun orangnya
Sebenarnya ayam masak merah, menggunakan bahan yang hampir sama untuk setiap resipi cuma yang membezakannya adalah teknik dan cara penyediaannya yang boleh menghasilkan rasa yang berbeza
Saya tak pasti dengan orang lain tapi kalau saya masak ayam masak merah, pasti gandingan utama ialah nasi minyak dan acar timun masak saya memang suka sangat dengan gandingan ini yang lain lain adalah opsyenal samada untuk masak dalca, gulai kawah daging atau lain lain
Jom layan resipi dan cara penyediaannya yang saya kongsikan di bawah ini. Selamat mencuba…
Ayam Masak Merah Pasti. Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan ayam:
1 ekor ayam - 1 ½ kg
1 ½ sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk kunyit
Bahan bahan:
1 biji bawang merah besar - dihiris
5 biji cengkih
5 biji buah pelaga
2 kelopak bunga lawang
1 inci kulit kayu manis
8 sudu besar cili kisar
2 sudu besar tomato puree
3 sudu besar sos tomato
Daun ketumbar
Daun pudina
Daun sup
5-6 sudu besar gula- ikut citarasa
1 ½ - 2 sudu kecil garam
Air secukupnya
Bahan Kisar:
4 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
Bahan Dadih/Tairu:
Jus 1 biji limau nipis - guna 1 ½ biji
¼ tin susu cair - 100 ml
Cara cara:
Satukan jus limau nipis dengan susu cair untuk membuat dadih/tairu. Kacau sehingga pekat dan ketepikan.
Perapkan ayam dengan 1 ½ sudu kecil garam dan 1 sudu kecil serbuk kunyit selama 10 minit.
Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan goreng ayam sekadar 70-80%masak. Nota: Jika ayam masak sepenuhnya sebelum dimasukkan ke dalam kuah, ayam akan keras dan liat.
Dengan menggunakan minyak gorengan ayam, tumis bawang hiris sehingga kelihatan garing, masukkan bunga lawang, kayu manis, buah pelaga dan cengkih.
Setelah bawang garing dan berwarna keemasan, masukkan bahan kisar.
Tumis sehingga bahan kisar mula mengering dan berbau wangi, kemudian masukkan cili kisar. Tumis sehingga cili kisar cukup garing atas api sederhana untuk mendapatkan kuah masak merah yang cantik.
Setelah bahan tumisan mula berwarna gelap dan menjadi pekat, masukkan tomato puree dan sos tomato. Kacau rata.
Masukkan campuran susu cair dan jus limau nipis. Kacau sehingga sebati. Tumis untuk 5 minit lagi.
Masukkan daun pudina, daun ketumbar dan daun sup. Kacau rata.
Masukkan garam dan gula secukup rasa. Jika kuah terlalu pekat, tambahkan 1 ½ - 2 cawan air panas.
Masukkan ayam goreng ke dalam kuah. Tutup dan renihkan untuk 15-20 minit sehingga ayam masak sepenuhnya.
Siap dan sedia untuk dihidangkan. Hiaskan dengan daun pudina, daun sup segar dan bawang goreng.
Catat Ulasan for "Ayam Masak Merah Pasti Sedap A Keeper Recipe "
Add your comment