Laksa Perlis Pasti Sedap Dan Cara Rebus Laksa Kering
Saya belajar resipi laksa ini dari sahabat saya, Puan Yarina yang berasal dari Perlis. Jadi laksa ini adalah laksa utara versi Perlis lah. Kata beliau lagi, laksa Perlis memang berwarna sedikit pucat, tidak kemerahan. Kalau suka pedas, masukkan hirisan cili padi gitu.
Saya dah menggunakan resipi ini rasanya dah lebih 20 tahun dan masih setia dengannya. Ini adalah kerana ianya adalah resipi turun temurun keluarga sahabat saya. Saya memang suka menggunakan resipi turun temurun.
Itu sebab saya suka ambil resipi dari blog supaya kita dapat baca sejarah resipi berkenaan. Barulah kita lebih menghargai resipi yang pastinya bernilai berbanding dengan resipi yang kita tidak tahu asal usulnya.
Boleh tengok entri sebelum ini menggunakan resipi yang sama di SINI. Manakala laksa utara yang saya buat selepas belajar resipi seorang peniaga dari Kedah di SINI. Resipi laksa ini pun sedap dan sedikit kemerahan. Ulam ulaman yang digunakan pun simple sahaja.
Musim musim rumah terbuka ini, eloklah sangat kalau disediakan laksa kerana cepat dan mudah disediakan. Yang saya suka, kerana ianya boleh disediakan sehari sebelum, jadi tak ada lah kita jadi rushing dan terkejar kejar pada hari majlis diadakan.
Laksa kering pun kita boleh rendam semalaman, sebelum ianya direbus. Kuah laksa ini selepas sehari lagi bertambah sedap kerana kuahnya dah betul betul sebati.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya seperti di bawah. Jangan lupa untuk klik follow blog bagi mendapat notifikasi entri baru setiap kali saya pos entri baru. Juga jangan lupa untuk klik iklan yang keluar di blog sebagai tanda sokongan moral. Selamat mencuba...
Laksa Utara Perlis
Oleh: Azie Kitchen
Bahan baha
2 pek laksa kering - cara rebus rujuk di bawah
1 kg ikan kembung - rebus & ambik isi
3-4 sudu besar cili kisar
10-15 keping asam keping - atau secukupnya
1 bunga kantan - belah 4
1 ikat daun kesum
Garam secukup
Bahan kisar:
1 biji bawang besar
7 biji bawang merah
1 ibu jari belacan
Bahan hiasan
Telur - rebus & belah 2
Timun - hiris
Salad - hiris
Bawang besar - hiris
Cili hidup - hiris
Limau kasturi - belah 2
Daun pudina - jika suka
Cili padi - jika suka
Otak udang - jika suka
Cara cara:
Rebus ikan dan air rebusan disimpan untuk dibuat kuah. Kisar isi ikan dengan air rebusan. Jangan sampai hancur kerana saya suka kuah yang terasa isi ikannya. Bahagian kepala ikan dan tulang dikisar dan ditapis airnya.
Masukkan bahan kisar dan cili kisar ke dalam periuk dan masak sehingga agak dah masak sikit. Masukkan air rebusan, isi ikan yang dikisar halus, isi yang dikisar kasar dan juga isi ikan yang dicarik carik sahaja.
Masukkan asam keping secukupnya. Masak sehingga mendidih dan benar benar sebati. Masukkan bunga kantan dan daun kesum.
Biarkan merenih atas api perlahan. Masukkan garam dan sesuaikan rasa dan kepekatannya.
Bolehlah dihidangkan dengan meletak laksa di dalam pinggan, tuangkan kuah laksa ke atasnya. Taburkan bahan bahan dan sayuran yang dihiris.
Cara merebus laksa kering
Rendam laksa kering semalaman atau minimum 2 jam. Dengan air rendam tu, rebus hingga mendidih dalam 10 minit. Tutup api dan tutup periuk. Biarkan laksa dalam air panas selama 1 jam.
Kemudian boleh tapis laksa tapi jangan basuh. Biarkan dalam penapis, dah boleh dihidangkan.
Nota:
Ada tips nak bagi sedap, menggunakan dua jenis ikan, contoh ikan kembung dan ikan sardin (selayang).
Catat Ulasan for "Laksa Perlis Pasti Sedap Dan Cara Rebus Laksa Kering"
Add your comment