Nasi Ayam Azie Kitchen Dengan Air Fryer
Alhamdulillah kita telah pun berada dalam fasa 10 malam kedua bulan Ramadhan. Sama sama kita memperbanyakkan amalan ibadah dengan seikhlasnya kerana Allah Taala.
Bila bulan Ramadhan, saya pasti terkenangkan pengalaman mengerjakan umrah di bulan Ramadhan. Namun dari apa yang dibaca, mengerjakan umrah di bulan Ramadhan ketika pandemik Covid 19 ini tidak lagi sama seperti dulu. Terutama dalam bab tawaf sunat dsb.
Saya sangat merindui untuk menjejakkan kaki mengerjakan umrah lagi. Walau sejauh mana kita pergi, tanah suci Mekah dan Madinah akan sentiasa dekat di hati lebih lebih lagi di bulan Ramadhan.
Doakan agar saya dan kita semua dipermudahkan untuk mengerjakan umrah atau Haji bagi yang belum mengerjakannnya. Aameen. Sekarang kita masuk pula bab resipi.
Nasi ayam adalah antara menu kegemaran kami sekeluarga. Saya banyak bereksperimen dengan resipi nasi ayam tanpa jemu. Ada kala saya akan ubahsuai resipi resipi dan digabungkan resipi kesukaan saya menjadi satu resipi “keeper” untuk rujukan akan datang.
Untuk melihat penyediaannya, boleh tonton video di Azie Kitchen Youtube Channel di bawah ini.
Saya kalau masak nasi ayam, satu ekor ayam tak cukup kerana anak anak saya memang suka makan ayam yang banyak. Jadi paling selamat menyediakan 1 1/2 ekor atau 2 ekor ayam.
Jangan lupa mencuba resipi ini pula. Sangat sedap dengan gabungan resipi koleksi terbaik yang telah saya cuba selama ini. Kali ini saya sediakan 2 versi ayam. Satu digoreng dan satu dibalar menggunakan air fryer.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa untuk klik follow blog dan subscribe Azie Kitchen Youtube Channel. Selamat mencuba....
Nasi Ayam Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong 4
2 senduk kicap cap kipas udang
3 sudu besar sos tiram
Madu, jika suka
Bahan Nasi:
4 cawan beras basmathi - basuh dan tos kering
5-6 cawan air rebusan
1 helai daun pandan
1 sudu besar mentega + 5 sudu besar minyak biasa
50 gram halia - kisar
25 gram bawang putih - kisar
Sedikit serbuk kunyit
Bahan Sup:
7 biji bawang merah - kisar
6 ulas bawang putih - kisar
3 inci halia - kisar
1 sup bunjut
3 ketul kiub ayam
¾ sudu besar garam atau secukupnya
¼ cawan minyak masak
Bahan Sambal Cili
3 tangkai cili merah - 60 gram
½ biji buah tomato - 52 gram
1 sudu besar cuka
1 sudu kecil garam halus
1 sudu besar gula pasir
3 sudu besar air
Kuah Sup:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar untuk sup sehingga naik bau. Masukkan 10 cawan air, sup bunjut dan kiub ayam. Setelah mendidih, masuk ayam dan rebus sehingga ayam ¾ masak sahaja. Sesuaikan rasa. Sup mesti sedap dan secukup rasa.
Ayam:
Keluarkan ayam dari air rebusan. Masukkan kicap dan sos tiram secukupnya.
Susun ayam atas aluminium foil di dalam air fryer. Bakar dalam 5 minit. Lumur madu dan bakar lagi selama 5 minit.
Boleh juga digoreng seketika sahaja sekadar ayam masak. Ketuk ayam dengan pisau untuk mengeluarkan air dan potong ikut yang disukai.
Nasi:
Masukkan minyak ayam/mentega dan minyak ke dalam kuali. Tumis bahan kisar sehingga naik bau. Tuang ke atas beras yang telah dibasuh dan ditos kering.
Masukkan daun pandan, sedikit serbuk kunyit dan air rebusan secukupnya. Masak dalam periuk elektrik seperti biasa.
Sambal cili:
Masukkan cili dan tomato di atas di dalam blender dan kisar dengan air sehingga hancur. Masukkan bahan lain secukup rasa. Sesuaikan rasa.
Kuah Kicap:
Kicap lebihan perap ayam tadi dihidangkan dengan nasi ayam.
Catat Ulasan for "Nasi Ayam Azie Kitchen Dengan Air Fryer "
Add your comment