Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Mee Hoon Goreng Putih Untuk Hidangan Sahur



Dalam hidup ini, mudah untuk kita menulis atau menyebut tapi susah untuk dipraktikan. Saya pernah baca artikel menarik yang menyebut, bila kita memasuki umur 50an, jangan lagi kita memikirkan hal anak anak, hal cucu dsb. 

Tidak mudah kerana kita tetap akan memikirkan hal mereka. Sekarang saya merasa sedih kerana tidak lama lagi Aween akan menyambung belajar di luar negara dan Ammar juga telah berpindah sekolah. 

Anak saya telah pun hampir menamatkan pengajian master di PPUM dan akan kembali bertugas di Hospital UiTM.  Jadi Ammar tidak lagi datang ke rumah kami setiap pagi seperti rutin yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu. Biasanya Hubby yang akan menghantar dan mengambil Ammar ke sekolah di Taman Tun. 

Untuk memujuk hati, saya akan berkata sendirian, inilah hakikat hidup yang dilalui oleh setiap orang termasuk ibubapa kita dahulu yang mungkin sedih bila kita berpindah keluar dari rumah untuk memulakan hidup sendiri di Kuala Lumpur. 

Keadaan juga akan berubah bila Ros, pembantu rumah kami sekarang akan balik for good tidak lama lagi. Sekarang saya masih ada kawan untuk memasak, untuk bersembang dan untuk bergaduh dsb. 

Tak lama lagi saya akan sendirian di rumah bila semua orang pergi ke pejabat.  Tak pasti lagi jika saya ingin mencari pembantu rumah baru kerana dengan covid ini, pembantu rumah tidak dapat masuk ke Malaysia. OK lah sekarang, kita masuk pula bab resipi dan masakan. 

Ada beberapa kali dalam seminggu, saya akan menyediakan mee goreng atau mee hoon goreng untuk hidangan sewaktu bersahur. 

Bukan apa, saya memang tak berselera makan nasi putih dengan lauk pauk waktu sahur. Hari lain, saya akan menyediakan nasi goreng dengan lauk seperti ayam goreng sahaja.  

Saya pelbagaikan resipinya. Kalau biasa masak mee hoon goreng yang berwarna merah kali ini saya menyediakan mee hoon goreng putih. Mee hoon goreng putih ini sangat sedap dan yang penting menyediakan pun sangat mudah dan cepat.


Kita boleh masukkan pelbagai bahan lauk di dalamnya seperti udang, sotong dan telur serta pelbagai sayuran. Jadi dalam satu hidangan, telah ada pelbagai zat dan khasiat.

Saya ada menyediakan video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Jangan lupa subscribe tau. Ada banyak video masakan saya yang disiarkan di blog di dalam channel ini. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba semua...


Mee Hoon Goreng Putih 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 pek mee hoon vermicelli - 350 gram
1 ikat sawi
1 batang karot - hiris panjang
5-6 biji cili padi
3 biji telur
3-4 keping fish cake - hiris panjang
1 sudu besar seafood sauce/sos tiram
½ sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu besar serbuk perasa Knorr Pasti Sedap
¾ cawan minyak masak

Bahan hiris;
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan ¼ cawan minyak dan goreng telur scramble, angkat dan ketepikan.

Menggunakan kuali sama, tambah ½ cawan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah hiris hingga wangi.

Masukkan karot dan kacau rata.

Masukkan udang, sotong atau apa apa yang disukai. Kacau rata.

Masukkan batang sawi dan cili padi.

Masukkan sos tiram dan kacau rata. Masukkan fish cake.

Masukkan serbuk lada hitam.

Masukkan mee hoon dan kacau rata. Masukkan daun sawi. Masukkan serbuk Knorr Pasti Sedap.

Akhir sekali, masukkan telur yang digoreng tadi. Kacau rata. Bila mee hoon terbit minyak, bolehlah tutup api. Tabur daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan.

Nota:
Mee hoon direndam dalam air sejuk sahaja.


Catat Ulasan for "Mee Hoon Goreng Putih Untuk Hidangan Sahur"