JJCM Taiping dan Pulau Pinang
Sempena hari ini cuti tahun baru Cina, saya ingin menyambung catatan perjalanan ke Taiping dan Pulau Pinang akhir tahun 2021. Hajat hati sebenarnya nak bercuti sambil JJCM ke Teluk Intan kerana nak makan nasi lemak dengan paru yang dikatakan sangat sedap. Gerai milik mertua rakan sekerja saya.
Pada mulanya dia setuju untuk masak paru buat saya kerana paru bukan lauk yang dijual bersama nasi lemak jualan tapi lauk istimewa keluarga mereka masa raya. Tapi kemudian dia beritahu tak dapat membuatnya atas sebab sebab tertentu.
Jadi saya tukar destinasi, untuk bercuti ke Taiping. Manakala malam kedua tidak ditentukan lagi samada ingin ke Lumut atau ke mana mana destinasi lain. Haa kiranya bercuti ikut gerak hati lah tanpa perlu booking hotel dulu.
Sebelum bertolak, kami bersarapan di gerai nasi lemak seksyen 6 Kota Damansara. Saya memilih nasi lemak berlaukkan paru sambal. Selepas itu, barulah kami terus bertolak ke Taiping.
Sesampainya di Taiping, kami singgah di Pusat Penjaja belakang Balai Bomba untuk menikmati yong tau foo. Laa rupanya, gerai yong tau foo dibuka pukul 3 petang. Gerai nasi campur ada dibuka. Hubby dan Aween makan nasi campur. Saya pulak hanya minum.
Dari situ, kami ke Doli Kuey Teow Goreng. Waah sedap. Dulu kali pertama datang awal 90an masih berniaga di gerai. Sekarang dah ada restoran berhawa dingin di tengah bandar. Kami order kuey teow goreng special yang banyak udang dan kuey teow goreng biasa. Memang banyak betul udangnya, sampai tak habis udangnya. Air kopi O ais di sini pun sangat sedap.
Kami kemudian ke hotel untuk check in, kedudukan hotel di tengah bandar sangat strategik untuk ke mana mana dan pemandangannya sangat cantik. Berlatarbelakangkan gunung gunung dan rumah rumah cantik di pinggir bukit. Tak puas merenung pemandangan alam dari bilik hotel.
Selepas solat Asar, kami keluar ke Azrorasa Ikan Sembilang. Jauh masuk dalam kawasan kampung. Terfikir siapa yang tahu kawasan ini kalau bukan kerana media socia. Sesampai di sana, orang belum ramai. Kiri kanan kedai adalah sungai yang airnya mengalir deras.
Oleh kerana sekadar nak merasa sahaja, saya minta hanya 1 ekor ikan sembilang. Searuh dimasak kari dan separuh digoreng. Bila makan suapan pertama, laa sedap pulak. Minta Hubby order tambah tapi kena lama menunggu sebab orang dah ramai. Tak jadi lah nak tambah order ikan. Ikan goreng dan kari sembilang sangat sedap. Di beri sekali kacang botol dan sambal. Seekor ikan berharga RM30 dengan berat lebih kurang 500 gram.
Selepas selesai makan, kami keluar dan terus ke Kuala Sepetang. Hari hujan dan mulai gelap. Saya sebenarnya tak selesa berada di jalan raya yang gelap tanpa lampu jalan. Sebaik nampak mee udang mak jah, hubby patah balik dan terus singgah. Tak nampak gerai lain yang masih ada beberapa lagi sebab hari dah sangat gelap.
Saya sebenarnya bukan lah penggemar mee udang lebih lebih lagi sejak saya mengalami allergi beberapa tahun lepas. Tapi selepas suap satu sudu, macam sedap pulak. Terus habiskan semangkuk. Aween meratah udang celup tepung sahaja. Harga mee udang di sini tidak lah mahal sangat kerana udangnya bersaiz besar dan banyak. Hanya RM12 sepinggan.
Balik ke hotel dan kami masuk ke Taiping Mall. Sekadar nak masuk jalan jalan selepas ternampak Kedai emas Poh Kong. Tapi tak banyak yang menarik. Sebelum naik bilik ajak Hubby singgah makan Yong Taufu di seberang jalan dari hotel. Walaupun masih dalam kekenyangan, Hubby siap order tambah sepinggan lagi. Memang sedap lah yong taufu sini. Patutlah menjadi antara tempat yang wajib dikunjungi bila ke Taiping.
Catat Ulasan for "JJCM Taiping dan Pulau Pinang"
Add your comment