Putu Mayam Kelantan Kuih Signature Arwah Bonda
Sebelum itu, nak tanya kalau anda dah klik iklan di blog saya? Dah klik follow blog di bahagian kanan atau di bahagian bawah jika menggunakan handphone? Kalau dah, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana menyokong saya.
Saya ingin kongsikan petikan kuliah Ustaz Mat Esa Deraman berkenaan Mengenali Dosa Dosa Besar, dalam bab hidup berjiran. Sesungguhnya tidak sempurna iman seseorang sehingga jirannya selamat dari kejahatannya. Kejahatan termasuk lah penipuan pada jiran atau berbuat jahat pada jiran.
Jiran ada hak yang perlu dijaga. Tidak beriman seseorang sehingga jirannya selamat dari kejahatannya. Maknanya tak sempurna iman jika seseorang memberi mudarat pada jiran.
Malaikat Jibril berpesan supaya berbuat baik pada jiran. Jangan sandar kayu pada pagar kita. Tak boleh jadikan ianya sebagai punca perbalahan. Kena memaafkan. Kena bertoleransi. Perbalahan dengan jiran jadikan hidup kita tak aman. Seumur hidup mengumpul duit untuk membeli rumah utk tinggal situ. Jika jiran tak baik kita tak akan selesa.
Akhlak yang buruk iaitu zalim, menipu dan taksuf sebagai contoh buka radio kuat sehingga mengganggu jiran. Start motor kuat sehingga menggangu hak orang lain di tempat kita. Buat majlis tak jemput jiran dan pasang khemah sehingga halang jalan tanpa beritahu jiran. Ini juga dikira sebagai bentuk kezaliman.
Jangan bila mati, kita jadi muflis dengan jiran. Siapa benar benar beriman, muliakan jiran. Bertanya khabar atau ziarah ketika jiran sakit atau hantar jenazahnya bila jiran meninggal.
Selain itu, jaga hak bersama yang bertindih, supaya kita tidak mengambil hatta sejengkal tanah atau hak yang bukan milik kita. Contoh bila membina bangunan pagar, jangan dilebihkan mengambil bahagian jiran. Sebaiknya jika kita yang membina pagar, kita lebihkan batu binaan dinding pagar di dalam tanah kita sebagai tanda toleransi.
Begitu juga reserve jalan antara kita dengan jiran. Jangan mengambil hak bersama ini dengan menanam pokok sehingga mengganggu jalan yang digunakan oleh jiran untuk ke tanah mereka. Daun pokok yang boleh mengganggu kenderaan mereka atau menimbulkan rasa tidak selesa jiran kita.
Ingatlah amat berat untuk seseorang bermuamalah dengan jiran berhubung perkara seperti ini. Jadi kita sendiri kena faham dan bertoleransi untuk mengelakkan dosa menyakiti hati jiran sehingga merosakkan kesempurnaan iman.
Jika kita seorang yang pendiam dan tak pandai bergaul dengan orang, jenis seorang yang berat mulut, paling kurang yang patut kita lakukan ialah jangan beri mudarat pada jiran. Supaya tak ada isu untuk jiran tak puas hati atau nak tegur kita atau perkara yang mereka perlu nasihat pada kita. OK setakat ini dahulu, sekarang kita masuk pula bab resipi dan masakan.
Arwah bapa saya sangat kreatif dan pandai bertukang. Acuan kuih putu mayam dibuat sendiri. Bunga yang diperbuat dari tempurung kelapa juga dibuat sendiri selepas melihat contoh bunga yang dibeli dari pasar seni Melaka. Banyak lagi yang dibuat sendiri.
Arwah Bonda memang selalu membuat kuih putu mayam untuk jualan. Putu mayam kami di Kelantan adalah jenis berkuah. Saya tak pernah makan putu mayam yang dicicah dengan gula perang dan kelapa parut sehinggalah kebelakangan ini sahaja.
Secara jujur saya tidak belajar kuih ini dari Bonda. Cuma yang saya tahu kuahnya dibuat menggunakan santan, gula Melaka dan telur yang dipukul.
Masya Allah sedap dan sangat nostalgia buat saya. Dulu tugas saya ialah mengisar beras dengan pengisar batu yang besar dan berat tu. Jadi bila selesai, memang saya akan lari pergi bermain. Itu sebab masa arwah menyediakan putu mayam, tak tengok. Masuk ke dapur balik untuk makan putu mayam yang dah siap dimasak jer.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Putu Mayam
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
2 cawan tepung beras
2 cawan air
½ sudu kecil garam
1 sudu besar minyak
Cara cara:
Lenser daun pisang dan acuan putu mayam dengan minyak. Panaskan air dalam periuk pengukus.
Panaskan air sehingga mendidih. Masukkan garam dan minyak. Tutup api.
Tuang tepung ke dalam air sedikit sedikit ke dalam air panas. Kacau rata menggunakan belakang senduk sehingga menjadi adunan lembut. Bila suam, uli sehingga menjadi doh yang lembut dan tak melekat di tangan.
Ketika masih suam, masukkan adunan ¾ penuh ke dalam acuan, tekan atas daun pisang secara pusing untuk membentuk seperti lace bulat. Putuskan bahagian akhir kepingan dengan pisau.
Kukus selama 2-3 minit atas api besar dan tutup dengan penutup yang dibalut dengan tuala. Angkat dan biarkan selama 5 minit, keluarkan dari daun pisang.
Nota:
Boleh simpan dalam bekas kedap udara selama 3 hari di dalam peti ais.
Untuk putu mayam warna hijau, guna air jus daun pandan dan serbuk kunyit untuk putu mayam warna kuning.
Kuah Manis
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 kotak santan kotak
2 kotak air
1 biji telur
½ sudu kecil garam
½ cawan gula merah
1-2 sudu besar gula
1 sudu kecil tepung beras
Cara cara:
Kisar semua sekali di dalam blender dan masukkan dalam kuali. Kacau sehingga mendidih. Akhir sekali, masukkan bancuhan tepung beras. Tutup api.
Catat Ulasan for "Putu Mayam Kelantan Kuih Signature Arwah Bonda"
Add your comment