Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Acar Timun Masak



Diam tak diam, kita dah berada di tahun 2022 dah hampir setengah bulan. Usia meningkat setiap hari tanpa kita sedari dan setiap hari juga kita menghampiri kematian. 

Orang yang bijak ialah orang yang banyak mengingati mati dan membuat persediaan untuk kehidupan selepas kematian. Yang pasti, kita akan dibangkitkan semula untuk perbicaraan atas segala perbuatan baik dan jahat kita semasa di dunia. Selepas itu, kita akan diberi balasan samada syurga atau neraka bergantung kepada amalan kita dan rahmat Allah. 

Kemudahan media social ini bagus kerana ia mendekatkan kita dengan berita di seluruh pelusuk dunia. Melihat kehidupan masyarakat di negara Arab yang menjaga dua tanah suci iaitu Mekah dan Madinah sekarang amat menakutkan kerana ianya menyerupai zaman jahiliah. Tapi jahiliah moden. 

Peperangan di sana sini sudah menjadi perkara biasa sehingga kita tak lagi merasa apa apa bila mendengar ramai terkorban kerana serangan dan peperangan. Dah jadi lali dan seolah perkara biasa. 

Ancaman penyakit Covid 19 juga tidak nampak penghujungnya dengan pelbagai varian muncul setiap kali vaksin baru diperkenalkan. Ianya telah mengubah cara ibadah dan dikuatiri kalau anak anak muda tidak merasa solat Jumaat adalah satu ibadah yang tidak boleh ditinggalkan tanpa sebab lebih dari tiga kali berturut turut. 

Belum lagi melihat masyarakat kita sekarang ini yang mana begitu ramai orang yang dulu miskin kini kaya melampau sehingga mampu membeli barangan basic seperti jam dan handbag dengan harga setengah juta atau hampir sejuta. 

Melihat ramai wanita bukan sahaja anak gadis tapi juga ibu ibu yang berpakaian seksi mendedahkan badan dan ditayangkan untuk tontonan ramai tanpa segan silu.  Semua semua ini adalah tanda dunia sudah tenat dan mungkin hampir pada kemusnahannya. 

Faktanya kita memang berada di akhir zaman kerana Nabi Muhammad SAW adalah Nabi akhir zaman. Tiada lagi nabi selepas baginda. Itu cerita 1400 tahun dulu. Jadi pastinya lah kita sekarang berada di fasa akhir pada dunia akhir zaman. Ok setakat ini dahulu. Sekarang kita masuk pula bab masakan. 

Saya memang penggemar acar timun. Tak kira lah samada acar mentah atau pun acar masak. Berbeza dengan acar buah, saya kurang sedikit. Mungkin kerana di kampung di mana saya membesar, tiada acar buah yang mahal. 

Sedangkan acar timun menggunakan bahan bahan yang ditanam sendiri penduduk kampung. Biasanya timun dijual dalam satu plastik besar yang mungkin antara 5-10 kg dengan harga RM5-10 sahaja. 

Kalau ada majlis kenduri di rumah kakak, kami masih mengamalkan memasak secara bergotong royong. Seorang kepala dilantik untuk mengawasi kerja memasak manakala yang lain akan membantu menyiang dan menyiapkan bahan bahan. Selepas masak, secara beramai ramai akan merasa sebelum sepakat rasanya dah sedap, baru diangkat. 



Kalau menyediakan acar masak ni, kena cepat. Selepas semua bahan dah masak dan rasa masam manis masin dah ok, masukkan timun dan kacau rata.  

Terus tutup api kerana bahang panas akan terus memasakkan timun. Kita tak mahu timun terlebih masak dan mengurangkan keranggupannya. 

Saya kalau ada acar timun, makan nasi memang menambah nambah. Saya makan simple jer dan tak suka kuah yang basah atau banjir. Saya lebih suka makan nasi yang kering. Ada kuah acar sikit sikit dan ikan goreng pun dah cukup. 

Jom layan resipi di bawah ini dan cara penyediaannya juga ada di video Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Boleh juga klik di bawah entri ini. 


Selamat mencuba….


Acar Timun Masak

Bahan A:
4 biji bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris
1 sudu besar biji sawi
½ sudu besar serbuk kari
½ sudu besar serbuk kunyit
¼ cawan minyak masak

Bahan B:
6-7 sudu besar cuka
1 sudu kecil garam
5 sudu besar gula

Bahan C:
1 biji timun
½ batang karot
1 biji cili merah
5 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah sekawan dan bawang serta halia hiris sehingga wangi. Masukkan biji sawi, serbuk kunyit dan serbuk kari. Kacau rata sehingga garing.

Masukkan cuka, gula dan garam. Masukkan bawang putih dan bawang merah. Kacau rata.


Masukkan timun dan karot. Kacau rata. Setelah semua sebati, masukkan cili merah. Tutup api.



Catat Ulasan for "Acar Timun Masak "