Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Percik Azie Kitchen dan Bab Wali Allah



Saya nak share petikan dari Kuliah Zoom Ustaz Mat Esa Deraman, Tokku Pasir Gudang bab Wali wali Allah dari Kitab Ibnu Qudamah. Saya suka sangat dengan huraian bab ini oleh ustaz, setiap patah yang dituturkan oleh ustaz adalah ilmu yang saya ingin mendengarnya. 

Siapa Wali wali atau auliya Allah ada disebut dalam surah Yunus ayat 62-63 Allah berfirman maksudnya ketahui lah wali Allah tak pernah ada kebimbangan atas mereka dan tidak juga mereka berdukacita iaitu orang beriman bertaqwa kegembiraan di dunia dan akhirat kelak adalah kejayaan yang agung.

Menurut sheikh Ibnu Qadamah, antara keutamaan di dunia ialah mendekatkan diri dengan Allah. Inilah tujuan kita diciptakan di dunia. Allah berfirman, Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada aku. Manusia yang tahu tujuan hidup di dunia adalah manusia cemerlang dan tiada cara paling dekat melainkan mentaati Allah. Tiada cara untuk mendekatinya melainkan melalui kalamnya. Allah suka ia didekati dan tidak ada yang lebih suka didekati selain dari kalamnya.

Ibnu Qudamah menyebut penting kita jadi golongan ini dan kalangan wali Allah yang amat mencintai Allah dan dicintai Allah, yang meredhai Allah dan sentiasa sibuk beribadat kepada Allah.

Kalau kita lihat hari hari kita, apa kah kesibukan kita beribadat kepada Allah sedangkan itu tujuan kita dicipta kan dan kita diberi segala kemudahan hidup di dunia. Namun manusia menyibukkan diri pada perkara sementara yang akan mereka tinggalkan. Kamu menghimpunkan dunia yang kamu akan tinggalkan dan kamu meranap akhirat yang kamu akan pergi.

Wahai sheikh kenapa kita takut mati. Sebab kita memakmurkan dunia kita dan meranap akhirat kita. Hidup di dunia untuk sentiasa mentaati Allah. Tidak susah kerana Allah tidak bebankan manusia dengan benda yang sukar. Perintah Allah tidak sukar melainkan kejahilan kita. Bila jahil pada satu benda, maka kita rasa susah, lalu menjadikan ianya nampak benda susah. Bukan benda tu susah. Contoh, bila mana kita tak tahu nak tekan apa. Tapi bila di cerita pada kita, baru kita rasa ooh senang sangat. Sama juga dalam bab mendekatkan diri pada Allah. Ia bukan benda sukar. 

Dekat dan sibukkan diri dengan Allah. Apakah maksudnya saya kena solat sepanjang hari, puasa sepanjang hari? Jawabnya bukan. Caranya ialah, pertama, semua perkara diniat kerana Allah. Kita makan kita minum semua kerana Allah. Dengan niat kerana Allah, semua akan jadi ibadah. Setiap amalan bergantung pada niat. Setiap orang bergantung pada apa yang dia niat. Kelebihan niat ia akan mengubah sesuatu yang menjadi kebiasaan dalam hidup pada ibadah. Benda biasa kita buat jadi ibadah seperti makan jadi ibadah, tidur jadi ibadah. Ini yang beri maksudkan menyibukkan diri beribadah pada Allah. Bila niat pada Allah, maka bermain pun jadi ibadah dan bekerja juga ibadah.


Diceritakan kisah seorang pemuda yang tegak fizikalnya melintas di hadapan baginda, lalu kata sahabat kalau lah dia berperang ke jalan Allah. Lalu berkata Nabi SAW, kalau dia bekerja untuk bagi makan pada kedua orang tuanya, maka sebenarnya ia sedang berperang pada jalan Allah, kalau dia bekerja untuk beri makan isteri dan anak anak kecil, dia juga berada pada jalan Allah. Jika ia mencari rezeki untuk menjaga maruahnya supaya tak meminta minta pada sesiapa, dia sedang berada dalam fiisa ilillah. 

Kefahaman menyeluruh tentang ibadah, semua pekerjaan bila niat kerana Allah akan jadi ibadah. Bagaimana nak tidur boleh jadi ibadah bila ianya diniat untuk lasanakan ibadah dengan sempurna. Maka disebut kalau seorang mengantuk kena tidur dulu. Tak boleh solat. Barangkali dia dalam mengantuk. nak istighfar tapi tersilap maki diri dia. Berlaku kesilapan lidah. Kalau bangun malam dan rasa mengantuk, tidur. Tidur juga jadi ibadah waktu itu. Sebab niat nya untuk bangun. Jadi sama sama kita baiki semua yang kita lakukan dengan niat kerana Allah.

Kedua sentiasa menuntut ilmu kerana dengan menuntut ilmu, dapat jadikan semua ilmu kita sebagai ibadah. Kalau tak menuntut ilmu, yang ibadah pun jadi dunia. Buat perkara akhirat tapi akan jadi dunia kerana kejahilan. Ilmu akan mengubah sesuatu pada ibadah. Padang kering akan jadi hijau dengan ilmu. Batu batan pecah berderai dibentuk jadi rumah cantik. Dengan ilmu, ketaatan pada Allah, akan jadi sempurna.

Ketiga, dengan sentiasa berada bersama dengan golongan orang soleh. Bermakna kita sibuk beribadat pada Allah bila kita duduk dengan orang soleh dalam majlis orang soleh kita telah sibuk beribadah pada Allah dengan ilmu kita dan dengan persahabatan kita. Ini konsep menyibuk diri dengan diri dengan persahabatan kita. 

Masuk umur 50 dan 60 tahun, kita tak boleh lagi berkawan dengan semua orang. Kita mesti memilih siapa kawan kawan kita. Kita tak boleh berkawan dengan semua orang, kerana kawan ini menentukan agama kita dan menentukan kesibukan kita pada usia akhir kita. Bila silap pilih sahabat nanti kita akan sibuk dengan perkara membinasakan akhirat kita. Pilih sahabat lebih hebat dari memilih mana mana harta dunia. Kita pilih lokasi paling strategik nak buat rumah. Pilih saham bagus yang ada kemungkinan bawa keuntungan paling tinggi. Lebih hebat lagi, bila kita memilih sahabat sebab ini lah saham akhirat kita dan keuntungan akhirat kita. Khususnya pada umur kita yang menuju ke arah kematian.

Antara tanda husnul Khatimah bila kita berubah kepada kawan yang baik. Bila Allah nak bagi husnul khatimah, Allah hadirkan kita seorang kawan yang baik. Mula cenderung untuk berkawan dengan kawan yang baik. Hati hati dengan kawan kerana kawan adalah kesibukan kita. Kalau kawan baik maka kesibukan kita kepada perkara baik. Jika kawan tak baik akan sibuk dengan urusan duniawi yang melalaikan dan menyesatkan.

Ada cara untuk kita menempatkan diri kita di kalangan wali bahkan kita menjadi wali. Kita kena ikhtiar untuk usaha jadi wali Allah. Wali Allah ialah orang yang mendekatkan diri pada Allah. kemuliaan yang perlu kita cari ialah kita mampu sibukkan diri pada Allah. Kita kena cita cita nak jadi wali Allah. Bukan kerana mahu mudahkan urusan dunia kita maka kita mahu menjadi wali Allah supaya orang segan supaya orang takut. Menjadi wali Allah supaya menjadikan kita kenal Allah, menjadikan kita kusyuk pada Allah, kita kenal siapa kita dan kita redha dengan segala takdir dan ujian Allah.

Ibnu Qudamah menyebut contoh wali Allah ialah Muaz bin Jabbal. Contoh mereka sentiasa sibuk dengan Allah dan sentiasa berzikir. Siapa Muaz, seorang yang sahabat yang mulia yang dipuji Nabi kerana beliau mendapat hidayah pada usia 17 tahun dia memeluk Islam. Usia 18 tahun terlibat dengan Perjanjian Aqabah kedua. Kalau kita baca hadis siapa Muaz yang disebut kemuliaannya dalam banyak hadis nabi. Nabi kata belajar lah al Quran dari 4 sahabat Abdullah bin Masud, Ubay bin Kaab, Muaz bin Jabbal dan salim.

Nabi bersabda umat aku yang paling penyayang adalah Abu bakar, umat ku yang paling tegas dalam agama ialah Omar, umat Ku yang paling pemalu adalah Uthman. Yang paling tahu halal dan haram adalah Muaz. Ini sifat wali Allah tahu halal dan haram. Nabi sifatnya Menjelaskan sifat halal haram dalam makanan minuman jual beli dsb. Syariat ialah halal dan haram. Kalau tak tahu halal haram, tak boleh jadi wali Allah kerana ia mudah melanggar larangan. Wali tahu. Kalau ditanya apa yang halal dan haram.

Kita kena sentiasa ingat Allah, sentiasa syukur pada Allah. Walaupun pada usia tua dengan sakit macam macam tapi syukur kerana Allah dah bagi banyak nikmat walaupun sekarang tak boleh makan itu ini. Kita telah lalui zaman kita boleh makan semua. Kita dah pergi semua tempat sebelum ini. Apa pun kekurangan usia tua kita, tak boleh mengurangkan rasa syukur kita pada Allah. 

Duniawi berdasar pengalaman. Orang buta pandai buat wiring. Dia ikut dan belajar. Ilmu dunia adalah ilmu berdasarkan pengalaman. Tak belajar pun kalau ikut, boleh pandai. Kalau ilmu akhirat belum tentu pandai. Sebab itu kena belajar. Tak boleh ikut pengalaman. Agama adalah ilmu dan kebenaran bukan pengalaman. Ada orang solat 60 tahun tak semesti betul. Ada orang umur 60 tahun tapi belum sempurna rukuk dan sujud. Bukan bermakna aku dah solat 60 tahun aku lebih pandai dari orang lain. Tak semestinya saya pergi haji banyak kali saya lebih pandai dari orang yang pergi sekali. 

3 buruan para wali. Kalau pemburu, apa yang mereka nak buru. Tapi buruan para wali Allah ialah pertama, berpuasa iaitu mereka berlapar di dunia kerana mereka mahu berbuka di syurga. Besar kelebihan berbuka maghrib pun dah rasa seronok, apa lagi berbuka di syurga lagi seronok. Besar kelebihan orang berpuasa. 

Kedua qiyam. Kisah kekasih Allah di mana malam itu adalah saat mereka paling gembira kerana mereka akan bertemu dengan Allah dan bermunajat. Ketahui kemuliaan seorang beriman itu ialah qiamullail. Hendaklah melazimi qiyam kerana ianya adalah jalan orang soleh sebelum kamu. Dalam al Quran banyak menyebut tentang kelebihan malam. Makin dekat dengan Allah malam makin bernilai malam. Makin jauh dengan Allah, makin lara,  kemuncak orang lalai ialah bila dipenuhi malam dengan tidur sahaja. Mereka tak sabar tunggu subuh. Tidak pada kekasih Allah. Malam ialah malam penuh dengan kemanisan dan kelazatan ibadah. 

Kalau siang lebih kita cinta dari malam, kita kena nilai balik diri kita. Kalau kita lebih cintakan malam kerana ada qiyam dsb maka, kita sedang alami peningkatan iman. Secara sejarah tunjukkan kita sekarang tidur susah makin kurang tidur, pening kepala. Sebenarnya Allah nak bagi hadiah pada kita malam. Macam kera dapat bunga. Tak tahu nilai bunga, maka dikoyak koyakkan. Kita tak tahu nilai malam. Itu sebab kita paksa diri kita tidur dengan telan pil tidur. Tak boleh tidur malam adalah azab. Sebenarnya tak boleh tidur malam hari, adalah nikmat bagi orang beriman.

Ketiga buruan ulamak dan wali ialah bila lutut berlaga dengan para ulamak. Maksudnya sibuk dengan majlis ilmu. Dengan halaqah baru bersifat dalam talian zoom juga satu ruang untuk mendekati pada Allah. Ini buruan para wali. Allah mencipta malaikat untuk cari manusia yang berada dalam majlis ilmu dan bersama dengannya mengembangkan sayap. Umur tua ni kena sibuk dengan majlis ilmu. 

Selama ini teraba raba siapa wali Allah. Lalu diberikan contoh. Ada yang salah faham. Bila sebut Wali Allah mereka tak nampak sahabat Rasulullah. Mereka fikir generasi selepas Rasulullah. Sejak zaman dulu dah ada wali Allah selain para nabi dan Rasul. Ini kelompok orang yang Allah pilih. Mendekati diri dengan Allah. Manafaat harta benda dan tenaga yang kita ada untuk dekat dengan Allah. OK cukup setakat ini dahulu, sekarang kita masuk bab masakan. 

Saya memang cerewet makan terutama makanan yang biasa saya makan dari kecil Sedap sesuatu masakan atau makanan memang bergantung kepada seseorang tapi bagi saya, kalau makanan Kelantan mesti mempunyai rasa seperti mana yang saya nikmati sejak kecil.

Ayam percik Kelantan ini adalah hasil ubahsuai cara memasak yang telah saya lakukan dulu dulu kalau di kampung saya, ayam akan dilumur dengan bawang putih, halia dan garam kemudian dikukus sehingga masak.

Cuma jika direbus, ayam menjadi lebih sedap dan berperisa kerana bahan kisar akan meresap ke dalam ayam dan ayam juga masak sempurna. 

Serious ayam percik saya kali ini sangat sedap dan sangat menepati citarasa saya. Saya makan siap meratah ratah lagi. Ayam percik ori Kelantan mesti dalam gambar saya dan bukan dimakan dengan kuah percik yang cair. Kuah percik sepatutnya melekat lekat pada ayam. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....



Ayam Percik Azie Kitchen

Bahan rebus:
1 ekor ayam - buang kulit
1 ½ biji bawang besar - kisar
3 ulas bawang putih - kisar
1 inci halia - kisar
1 serai ketuk
Gula
Garam
Sedikit pes asam jawa

Bahan Percik:
1 kotak santan kotak + ½ kotak air
10 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
¾ sudu besar cili kering kisar
1 sudu kecil garam
3 sudu besar gula
1 keping asam keping
½ sudu besar tepung beras - bancuh dengan sedikit air

Cara cara:
Rebus ayam dengan semua bahan sehingga ayam benar benar masak.

Kisar dan masak bahan kuah sehingga mendidih. Bila hampir pekat, masukkan bancuhan air tepung beras.


Ayam rebus dibakar di dalam kuali ajaib dan dicucurkan dengan kuah percik. 


Bakar semula dan cucur lagi kuah di kedua dua permukaan sehingga kuah perciknya melekat di ayam.


Nota:
Boleh juga guna air fryer. Nak lagi sedap, guna dapur arang.

Catat Ulasan for "Ayam Percik Azie Kitchen dan Bab Wali Allah "