Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Taugeh Goreng Kicap Yang Sedap



Assalamualaikum semua follower Azie Kitchen yang dikasihi. Semoga hari ini adalah lebih baik dari semalam buat kita semua. Hari ini saya nak kongsi petikan kuliah tajuk Checklist Akhlak bab muflis Ustaz Syed Mohd Norhisyam oleh dimulakan dengan mengingatkan bahawa matawang untuk urusniaga di akhirat ialah dosa dan pahala.

Tak ada lagi Malaysian Ringgit, USD atau harta benda. Istilah di dunia, Muflis ialah orang yang tidak berduit dan tiada harta tapi menpunyai liabiliti hutang yang tak boleh dibayar. Muflis di dunia, kita masih boleh balik kampung, berniaga kecil kecilan kalau ada saudara mara boleh bantu bagi modal. Kalau muflis di akhirat, siapa yang nak bantu inject pahala pada kita. Masing masing nak lepaskan diri.

Sabda Baginda Rasulullah: Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?. Para sahabat menjawab: Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak mempunyai dirham dan dinar serta harta benda. 

Baginda bersabda: Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan diletakkan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa). [HR Tirmizi 2342]. 

Kalau hayati apa yang Rasulullah kata sangat menggerunkan. Kena bayar pada mangsa dengan pahala. Bila pahala habis untuk diberi, lalu diambil dosa mangsa dan diberi kepada kita. Modal pahala di akhirat bukan sekadar 3 pahala sahaja juga termasuk amalan soleh yang lain.

Ada 2 kategori dosa. Dosa dengan Allah dan dosa dengan manusia. Contoh dosa dengan Allah seperti meninggalkan solat, tak bayar zakat, riba, tak puasa, tak tutup aurat dan banyak lagi.

Dalam hadis di atas, apabila ditelek 5 dosa yang menjadi liabiliti adalah berkait rapat dengan manusia yang boleh menyebabkan muflis. Jadi hati hati semua. Jangan memaki hamun, jangan menfitnah, jangan ambil hak orang, tanah orang walaupun sejengkal atau buat dosa dengan manusia.

Bagaimana mengelak dari muflis. Ada 2 pilihan sahaja. Pertama, tidak melaku dosa pada manusia dan sekiranya telah melakukannya, memohon maaf dan redha. Biar bersusah payah dan malu di dunia. Dosa maki hamun hanya terhapus dengan mohon maaf pada orang yang dimaki hamun. Kalau hutang kena usaha bayar atau kena minta halal.

Kena hisab diri kita sekarang. Ada ke staff atau pekerja yang kita maki hamun. Kalau dengan boss, kawan kawan atau pemimpin kita maki hamun tapi di belakang mereka. Ada lagi ke, hutang dengan manusia yang kita belum bayar. Ada ke gaji pekerja yang tak dibayar. Ada ke samseng yang pukul orang. Di hari akhirat, semua ini tidak dapat disembunyi lagi. OK sekarang kita masuk pula bab masakan. 

Hahahaha percaya tak Kalau katakan saya tak pernah makan taugeh Goreng Kicap. Kalau taugeh, biasanya arwah Bonda hanya memasak masak lemak putih taugeh. Tauhu lagi lah tak kenal kerana di tempat saya memang tak ada tauhu pada masa tu.


Jadi ini adalah antara resipi yang awal. awal saya belajar dari kakak ipar. Masa beliau datang rumah kami di Wangsa Maju, dia tolong masakkkan. Masih ingat lagi, berulang kali saya masuk ke dapur buka kuali meratah taugeh goreng yang sangat rangup dan sedap.

Cara saya kalau nak taugeh rangup, saya memang akan akan masukkan air dan kacau goreng sekejap sahaja. Terus tutup api. Jadi taugeh lebih sedap. Lebihkan kicap jika mahu lebih berkuah. Lagi sedap kalau menggunakan udang putih yang kecil kecil tu. 

Jom layan resipi yang saya gunakan dan cara penyediaannya di bawah ini. Saya ada menyediakan video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI


Selamat mencuba….


Taugeh Goreng Kicap

Bahan bahan:
1 mangkuk taugeh
1 mangkuk daun kucai
4-5 ekor udang
1 keping tauhu - goreng
1 biji cili merah - hiris
Kicap lemak manis
Garam
Sedikit serbuk pati ayam - opsyenal
¼ cawan minyak

Bahan hiris:
2 biji bawang merah
2 biji bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang hiris sehingga kekuningan dan naik bau. Masukkan udang dan kacau rata.





Masukkan tauhu, daun kucai, garam dan serbuk perasa. Kacau rata.

Masukkan taugeh dan kicap secukupnya. Akhir sekali, masukkan cili merah. Kacau rata dan tutup api supaya taugeh kekal rangup.


Catat Ulasan for "Taugeh Goreng Kicap Yang Sedap"