Nasi Goreng Kampung Azie Kitchen
Hari ini ialah hari lahir yang ke3 tahun, cucunda saya Ammar Yahya. Alhamdulillah Ammar membesar dengan perkembangan yang sangat baik. Sangat petah dan bijak sekali. Mudah mudahan Ammar membesar menjadi anak yang soleh yang berjaya dunia dan akhirat. Aameen.
Pemergian penyanyi Siti Sarah akibat Covid 19 pada pagi hari ini amat meruntun jiwa ramai rakyat Malaysia pada hari ini. Arwah sedang hamil 7 bulan dan pembedahan dilakukan kerana bacaan oksigen dalam darah yang tidak stabil.
Arwah telah melahirkan seorang bayi lelaki yang tidak cukup bulan tanpa sedar. Kematian yang diredhai oleh suami dan didoakan oleh ramai orang adalah satu dari tanda kematian yang baik, Husnul Khatimah. Selain itu, kematian beliau adalah kerana melahirkan anak dan kematian kerana wabak.
Teringat lagu beliau Saat Hilang Cintamu dan Kesetiaan yang satu ketika menemani saya di waktu rehat saya di pejabat. Saya akan memainkan lagu tersebut berulang ulang kali tanpa henti. Lagu itu menpunyai kesedihan yang sangat menyentuh hati saya. Kesedihan yang hanya saya sahaja yang mengetahuinya.
Covid 19 telah meragut banyak nyawa tanpa mengira usia, lebih lebih lagi dengan Variant delta yang mengganas kini. Jadi kita sama sama berdoa agar urusan pengambilan vaksin kita dipermudahkan. Walaupun selepas mengambil vaksin, masih boleh dijangkiti tapi tahap jangkitan tidak begitu teruk.
Di samping itu, kita kena perbanyakkan amalan soleh kerana jangkitan covid 19 ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja walaupun ada yang menulis mereka tidak keluar pun dari rumah.
Walaupun tidak keluar rumah, tapi masih ramai rider yang menghantar barangan dan makanan yang dipesan secara online kan. Perbanyakkan beristighfar kerana istighfar adalah jalan penyelesaian kepada banyak masalah.
Jadikan wabak ini untuk kita mendekatkan diri pada Allah kerana tiada daya dan kekuatan melainkan pertolongan Allah juga. Hanya kepada Nya kita bergantung dan berdoa semoga wabak ini segera diangkat dan kita dilindungi.
Saya hari ini ingin kongsikan resipi nasi goreng kegemaran saya iaitu nasi goreng kampung. Kalau nasi goreng kampung, yang wajib ada untuk saya ialah kangkung. Baru terasa sedapnya nasi goreng kampung.
Saya juga tidak suka menggunakan bahan bahan seperti ayam atau makanan laut. Yang sedap pada saya ialah ikan bilis, telur dan fish cake sahaja. Lagi sedikit bahannya lagi sedap. Itu pada sayalah. Lain orang lain citarasanya kerana saya memang dari kecil pun diajar makan yang simple simple sahaja.
Kepada anda yang belum pernah mencuba resipi nasi goreng kampung, boleh cuba resipi yang saya kongsikan di bawah ini. Jangan lupa untuk klik iklan yang keluar di blog dan klik follow blog juga. Selamat mencuba....
Nasi Goreng Kampung Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
800-900 gram nasi putih
1 mangkuk ikan bilis
1 ikat sayur kangkung
5-6 tangkai cili padi - hiasan
2 sudu besar sos ikan
4 biji telur
1 kiub ikan bilis - opsyenal
½ sudu besar garam
½ sudu kecil gula
1 cawan minyak masak
Bahan kisar kasar:
4-5 ulas bawang putih - saiz besar
6-7 biji bawang merah - saiz besar
3 sudu besar ikan bilis
½ sudu kecil belacan
10 tangkai cili padi merah
10 tangkai cili padi hijau
Cara cara:
Panaskan minyak dan masukkan ikan bilis, perlahankan api dan kacau supaya ikan bilis masak rata. Goreng sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan minyak yang sama, goreng telur. Setelah separuh masak, kacau rata. Angkat dan ketepikan.
Kemudian masukkan bahan kisar dan tumis sehingga terbit minyak.
Masukkan kiub ikan bilis, garam dan gula. Kacau rata.
Masukkan batang kangkung dan kacau rata. Masukkan nasi putih.
Masukkan telur yang digoreng tadi. Kacau rata. Masukkan daun sayur kangkung dan cili padi. Sesuaikan rasa. Jika belum cukup garam, masukkan garam secukup rasa. Tutup api.
Akhir sekali, masukkan ikan bilis goreng dan kacau rata. Sedia untuk dihidangkan. Sedia untuk dihidangkan.
Nota:
ikan bilis, sos ikan dan kiub ikan bilis ada rasa masin, jadi kena rasa masin dulu sebelum dimasukkan garam.
Dah lama tak makan nasi goreng kampung . tengok tajuk pun dah rasa mcm terliuq
BalasPadam