Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Goreng Cendawan Pedas Yang Sedap



Saya tahu masing masing punya pendapat dan pendirian berbeza dalam satu satu perkara. Setiap orang patut menghormati perbezaan pandangan orang lain. Apa yang saya perhatikan, bila tak setuju netizen secara berjemaah mengecam orang yang tidak sependapat dengan mereka. 

Jangan begitu. Jangan guna media social untuk mendapat dosa. Hidup ini terlalu singkat untuk disia siakan. Simpan sahaja jika rasa kita tidak setuju. Itu lebih baik.  

Sekarang ini, waktu lock down ramai orang susah kerana tidak dapat keluar bekerja untuk mencari nafkah seperti biasa. Tempat mereka bekerja yang jika tidak dalam kategori "essential" ditutup, menjadikan mereka kehilangan pekerjaan. 

Kesusahan sehingga ramai yang menpunyai masalah kewangan untuk membeli barang barang keperluan asas. Ramai orang perseorangan dan NGO yang mengumpul dana dan membeli serta mengagihkan pek makanan keperluan asas di kawasan masing masing.

Tidak kurang ramai orang yang menggunakan media sosial untuk menghantar mesej memohon bantuan susu bayi dan lampin pakai buang. Susu mungkin boleh difahami kerana susu adalah keperluan bagi bayi tetapi lampin pakai buang adalah barangan yang boleh dielakkan bila kita berada dalam kesusahan. 

Lebih lebih lagi bila ibu ibu berada di rumah masa lock down, jadi ada masa untuk menggunakan lampin kain yang boleh dibasuh selepas digunakan dan juga melatih anak anak untuk ke tandas. 

Saya melihat dalam IG, ada ibu yang menpunyai seorang atau dua anak berumur agak agak dalam 3-4 tahun pun minta bantuan membeli lampin pakai buang. Usia seperti ini, kita telah boleh melatih anak anak ke tandas. 

Tapi biasalah ada yang mengecam dan membahaskan bila perkara ini disuarakan dengan alasan masa dulu tak sama dengan masa sekarang. Memang lah masa dulu tak sama dengan masa sekarang. Seperti juga masa senang tak sama dengan masa susah. Tapi nilai dan sikap berjimat cermat adalah nilai yang sentiasa relevan dalam hidup seorang manusia. 

Kita kena membuat perubahan pada gaya hidup. Contoh saya sendiri, waktu saya bekerja dan bergaji tidak sama dengan sekarang selepas bersara tanpa mendapat pencen bulanan. Mahu tidak mahu, saya terpaksa membuat perubahan pada diri sendiri. 

Dari lima orang anak saya, anak yang keempat dan kelima sahaja yang lebih banyak menggunakan lampin pakai buang. Itu pun masih digilirkan dengan lampin kain. Kenapa saya buat perubahan kerana saya lebih mampu ketika itu berbanding dengan sepuluh tahun sebelumnya. Di awal perkahwinan dan mula membina kehidupan, saya memang terpaksa berjimat cermat. Makan pun 2 kali sahaja sehari. Pagi dan malam. 

Saya menulis ini adalah untuk situasi jika kita susah, jika kita mampu tak ada masalah nak pakaikan lampin pakai buang 24 jam pun. Tak jadi masalah. Jadi kalau ada yang tidak bersetuju dengan saya, terpulang lah. 

Kalau rasa mahu membantu mereka yang meminta bantuan lampin pakai buang, boleh sahaja. Tak jadi masalah juga pada saya. Saya ada cara sendiri untuk sedekah dan infaq saya. Saya memilih saluran yang lebih telus supaya sampai kepada lebih ramai orang yang benar benar memerlukan. Itu cara saya. OK sekarang saya tinggalkan bab ini dan saya mohon maaf andai pendirian saya tidak sama dengan pendirian anda.  



Siapa macam saya suka masakan berasaskan cendawan. Masa kecil kecil dulu, biasa mengutip cendawan liar di hutan. Goreng cendawan dengan telur dadar. Atau dimasak lemak cendawan. Sekarang ini, kalau di kampung pun, tak perlu lagi nak cari sendiri. Boleh jer beli di pasaraya. 

Kebetulan pula, saya memang penggemar nasi goreng.  Jadi saya gandingkan nasi goreng dengan cendawan. Tu diaaa, sedap sangat sangat. Nasi tu ada bau bau dan aroma cendawan. 

Jom layan resipi dan cara penyediaanya di bawah ini. Selamat mencuba....  



Nasi Goreng Pedas Cendawan 

Bahan bahan:
4 cawan nasi putih - 500 gram
2 biji telur
2 + 2 sudu besar minyak masak
1 cawan karot 100 gram - potong dadu (atau guna karot frozen)
1-2 cawan cendawan - potong dadu
1 sudu besar Knorr Pasti Sedap - 10 gram
100 gram isi ayam
2 sudu besar sos ikan
½ cawan daun bawang - hiris

Bahan Tumbuk kasar:
3 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 tangkai cili api - ikut pedas disukai

Cara cara:
Panaskan 2 sudu besar minyak dan masukkan telur. Biarkan separuh mengeras, baru dikacau rata dan angkat. Ketepikan.

Menggunakan kuali sama, masukkan baki minyak. Tumis bahan tumbuk sehingga cili masak dan naik bau.

Masukkan isi ayam dan kacau rata sehingga masak.

Masukkan karot dan kacau sehingga lembut (jika guna karot segar), baru dimasukkan cendawan.

Masukkan sos ikan, perasa Knorr Pasti Sedap dan nasi. Masukkan telur yang telah digoreng tadi. Besarkan api dan kacau sehingga nasi berasap dan beraroma.

Tutup api. Masukkan daun bawang dan kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.


Nota:
Jika suka sebelum dihidangkan, tabur bawang goreng.

Boleh ganti 1 sudu besar minyak dengan 1 sudu besar mentega.



1 ulasan for "Nasi Goreng Cendawan Pedas Yang Sedap"