Mee Hoon Goreng Putih Yang Mudah Dan Sedap
Assalamualaikum semua. Harap anda semua sihat sihat sahaja. Jangan lupa patuhi SOP jika anda perlu keluar dari rumah atas urusan mustahak. Juga jangan lupa untuk klik iklan yang keluar di blog saya tau. Klik juga butang Follow Blog untuk mendapat notifikasi setiap kali blog ini di update.
Saya sebenarnya seorang yang tidak berapa suka menanam pokok bunga. Saya lebih suka menanam pokok sayur dan buah buahan. Jadi kalau pokok bunga saya suka, jenis pokok yang berdaun sahaja. Tanpa bunga. Pokok pokok yang ada di keliling rumah saya semuanya yang jenis tahan lasak. Di tanam lebih 10 tahun yang lalu sebelum kami berpindah masuk ke rumah ini.
Setelah hampir setahun lebih saya bersara, baru saya dapat menyesuaikan masa dan aktiviti harian saya. Sebelum ini, saya banyak menanam pokok buah dan sayuran, menebang mana mana pokok bunga yang dah terlalu besar. Saya juga membeli ikan ikan koi Jepun sebagai mengisi kolam rumah kami yang baru dibaiki.
Jadi sekarang ialah masa untuk saya membeli pokok bunga pula. Bunga yang dapat membuatkan saya tidak rasa kebosanan di rumah seorang diri. Bila lock down, Ammar tidak ke sekolah, jadi pengasuh Ammar juga tidak datang ke rumah kami seperti mana pada hari hari Ammar ke sekolah.
Dalam group whatsApp geng Universiti Malaya, masing masing bercerita berkenaan bunga Broomeliads tapi saya memang buat tak tahu jer kerana saya memang tak minat pokok di dalam pasu. Malahan semua pasu di rumah kami telah disimpan di laman dapur. Tapi tiba tiba terasa nak mencuba. Jadi saya minta kawan saya yang menpunyai nurseri untuk menghantar anak pokok yang memang dijual secara online.
Sejak itu, saya jadi macam kemaruk pulak. Setiap masa terluang saya akan google dan melihat lihat bunga ini yang memang sangat banyak. Melebihi 3000 spesis dengna pelbagai bentuk dan warna. Dalam masa beberapa hari sahaja laman depan rumah saya telah penuh dengan pokok pokok Broomeliads ini.
Pokok ini sangat senang dijaga, tidak perlu dibaja, disiram pun hanya seminggu sekali sehaja jika hari tidak hujan. Waah senang sangat. Di tanam pun menggunakan sabut kelapa yang dicincang halus sahaja. Inilah rutin saya setiap hari untuk melihat lihat pokok broomeliads dan mengalih ngalih jika dirasakan cahaya matahari terlalu terik. OK cukup setakat ini dahulu.
Sekarang kita masuk pula bab masakan. Bila memasak, jangan hanya memasak satu jenis sahaja walaupun hanya menggoreng mee hoon. Lama lama kita akan jadi jemu dan bosan kan. Jadi walaupun menggoreng mee hoon, pelbagaikan resipinya, pelbagaikan bahan bahannya serta pelbagaikan teknik penyediaannya. Ianya akan memberikan hasil dan kejadian yang berbeza.
Hari ini saya ingin kongsikan resipi mee hoon goreng putih. Yang berbeza dari yang biasa ialah saya tak guna cili kering kisar, atau tak guna cili padi tapi menggunakan serbuk lada hitam untuk memberi rasa pedas dan perisa.
Bahan bahan lain terpulanglah macam sayuran, pelbagaikan sayuran, pelbagaikan lauk pauk yang digunakan juga. Jangan hanya guna satu macam jer. Betul tak?
Kalau suka pedas, bolehlah buat sambal kicap iaitu hiris cili padi dan gaul dengan kicap atau boleh juga dihidangkan dengan cili jeruk. Terpulang.
Yang penting, mee hoon goreng putih hari ini sangat mudah disediakan, cepat dan sangat sedap. Jadi jom apakata anda mencubanya sendiri. Pasti berbaloi baloi dan sedap berbanding dengan yang dibeli di kedai atau di restoran.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba semua.
Mee Hoon Goreng Putih
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 pek mee hoon vermicelli - 350 gram
1 ikat sawi
1 batang karot - hiris panjang
5-6 biji cili padi
3 biji telur
3-4 keping fish cake - hiris panjang
2-3 sudu besar Seafood sauce/sos tiram
½ sudu kecil serbuk lada hitam
½ sudu besar garam
¾ cawan minyak masak
Bahan hiris;
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
Cara cara:
Panaskan ¼ cawan minyak dan goreng telur scramble, angkat dan ketepikan.
Menggunakan kuali sama, tambah ½ cawan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah hiris hingga wangi.
Masukkan karot dan kacau rata.
Masukkan udang, sotong atau apa apa yang disukai. Kacau rata.
Masukkan batang sawi dan cili padi.
Masukkan sos tiram dan kacau rata. Masukkan fish cake.
Masukkan serbuk lada hitam.
Masukkan mee hoon dan kacau rata. Masukkan daun sawi. Sesuaikan rasa. Masukkan garam jika perlu.
Akhir sekali, masukkan telur yang digoreng tadi. Kacau rata. Bila mee hoon terbit minyak, bolehlah tutup api. Tabur daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan.
Nota:
Mee hoon direndam dalam air sejuk sahaja.
Catat Ulasan for "Mee Hoon Goreng Putih Yang Mudah Dan Sedap"
Add your comment